Walau diuji dengan tempoh PKP, ada perkhabaran suka dan duka daripada kisah keluarga yang pernah menghiasi paparan Jejak Ebit Lew. Bahagia cara mereka, setiap hari dilalui dengan penuh kesyukuran. Walaupun kekurangan, tetapi seadanya sahaja apa yang dijamah, keadaan rumah dan kesihatan masing-masing.




Danial Ceria Jalani Kehidupan Baru Di Madrasah
Masih ingat lagi kisah seorang pelajar lelaki yang kehilangan kedua ibu bapanya dan hanya tinggal di kaki lima di sekitar Klang? Kisah adik ini pernah dipaparkan dalam siaran Jejak Ebit Lew (JEL) dalam episod 26 yang lalu. Dan terkini mengenai perkembangan Danial selepas dihantar ke Madrasah Tahfiz Al Quran Ibnu Talib, Merlimau, Melaka dia gembira menjalani kehidupan disana. “Seronok tinggal sini. Ada ramai kawan-kawan,” tuturnya ketika dihubungi kru JEL menerusi panggilan video.

Menurut Pengerusi Madrasah Tahfiz Al Quran Ibnu Talib, Ustaz Ahmad Rabbani Ismail pula, “Adik Danial ni periang orangnya, suka tolong orang. Ada dua tiga keluarga di kampung ni yang nak ambil Danial tinggal bersama. Saudara-mara dalam kampung juga ada yang datang bawanya ziarah kampung. Memandangkan PKP ni kami tak boleh keluar jadi masih kekal disini,” kongsinya lagi.




Kelebihan bagi Danial, ketika pelajar dan rakan-rakannya yang lain belajar secara online dirumah kerana keluarga masing-masing membawa pulang pelajar sebelum tempoh PKP; tetapi Danial dan beberapa kawannya tidak berpeluang merasai sedemikian. Walaupun tidak dapat merasai suasana selesa dirumah tetapi nyata peluang dan kelebihan ini memberi rezeki tersendiri buatnya apabila dapat belajar secara bersemuka dengan ustaz-ustaz disini. Menjadi harapan Ustaz Ebit Lew untuk Danial dapat belajar bersungguh-sungguh dan berjaya menjadi anak yang soleh serta menjadi seorang pemimpin pada masa hadapan.

Syukur Emak Firdaus Akhirnya Pulang
Sedutan episod 27 yang menceritakan kisah seorang adik terpaksa menjaga kakaknya, seorang OKU selepas ibunya ditahan pihak Imigresen Thailand susulan masalah passport; cukup meruntun hati penonton. Terpaksa berulang alik ke kelas hinggakan pernah dua kali ular masuk ke rumah, Nik Mohd Firdaus Nik Ismail cekal dan tabah melaksanakan tanggungjawab sebagai anak dan adik.



Dan akhirnya berkat pertolongan juga ikhtiar Pertubuhan Kasih Umat Malaysia yang diterajui Ustaz Ebit, urusan membawa balik emak Firdaus akhirnya membuahkan hasil. Emaknya, Saidoh Rosa pulang ke rumah pada Syawal ke tujuh yang lalu dengan menggunakan pas khas. Bercucuran air mata anak perempuannya tatkala si ibu akhirnya dapat balik dengan selamat setelah berbulan terpisah. “Alhamdulillah seronok jumpa anak-anak” ujarnya berkongsi kegembiraan dan perkembangan terkini menerusi panggilan video. Sambil mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Ustaz Ebit Lew, doa dititipkan buat keluarga ini. Semoga Allah terus melimpahkan rahmat yang mencurah-curah kepada keluarga ini dan dipermudahkan urusan Firdaus juga emaknya yang cekal menjaga anak OKU ini.



Keluarga Zakuan Diuji Positif Covid-19
Menyorot kembali episod 17 yang berkongsi paparan mengenai anak-anak istimewa dari Kiwanis Klang turut mendapat perhatian Ustaz Ebit untuk mengetahui perkembangan terkini. Salah seorang keluarga yang dipaparkan kisahnya iaitu keluarga adik Zakuan baru-baru ini diuji apabila kesemua ahli keluarga ditakdirkan Allah positif Covid-19 kecuali hanya seorang sahaja abang Zakuan yang tidak dijangkiti. Walaupun tidak menunjukkan sebarang gejala, gelagatnya sihat seperti biasa cuma sesekali sahaja meragam.

Bermula dengan keadaan bapa Zakuan yang tidak sihat sehari sebelum Aidilfitri, demam yang dialaminya berpanjangan hingga akhirnya melarat. Memandangkan demam yang masih belum sembuh, ibu dan kakak sulung Zakuan membawa ayah mereka untuk menjalani ujian swab. Dan selepas beberapa hari keputusan mengesahkan bapanya positif. Menurut ibu Zakuan, Asmah Abu Talhah mereka sekeluarga kuarantin dirumah dan suaminya terpaksa dibawa ke hospital. “Banyak dapat bantuan makanan kering daripada adik-beradik, ADUN, ketua kampung. Cuma barang basah aje susah nak beli. Jadi kami makan apa yang ada,” kongsinya menerusi panggilan video.



Dulmedan Misman Teruja Rumah Baru Siap Dibina Pada Hari Lahirnya
Sedutan episod ke 24 pula membawa ingatan penonton mengenai kisah sebuah keluarga yang tinggal di sebuah pondok dalam kawasan kelapa sawit. Bekas tapak rumah yang dahulunya terbakar, Dulmedan hanya mampu membina pondok untuk didiami isteri dan anaknya. Setelah tular kisah keluarga ini, Ustaz Ebit tampil membantu dengan meminta bantuan seorang penduduk kampung untuk membina rumah yang selesa buat mereka.



Awalnya Ustaz Ebit meminta bantuan penduduk kampung ini untuk menyiapkan binaan sebelum raya sedangkan ketika itu hanya berbaki kurang 10 hari sebelum 1 Syawal. Takdir Allah, tanggal 21 Mei hari Jumaat yang kebetulan jatuh pada hari lahir Dulmedan rumah ini siap dibina. Lengkap dengan sebuah bilik, bilik air dan bekalan air, Dulmedan terharu dengan hadiah istimewa ini. “Ngam-ngam 21 haribulan lima rumah tu siap. Itulah hadiah hari jadi yang paling hebat saya terima daripada Ustaz,” luahnya terharu.



Keadaan kesihatan Dulmedan juga tidak mengizinkan. Selepas menghidap pelbagai penyakit, hasil pemeriksaan doktor mendapati kurang 30 peratus buah pinggangnya masih boleh berfungsi. Dan kini masalah buah pinggangnya semakin kronik selain perlu menjalani rawatan di hospital di Johor. Tempoh PKP juga menjadi kekangan baginya untuk mencari besi dan dijual kerana ketika ini kebanyakan kedai masih tidak beroperasi. Hanya makan berbekalkan apa yang ada disekeliling seperti pucuk ubi, pucuk paku dan seumpama dengannya; itulah yang dijadikan lauk untuk mengalas perut.

Moga ada sinar dan Allah permudahkan setiap hari yang mereka jalani dalam waktu sukar ini. Jika kita sendiri merasa susah sepanjang PKP ini, dengan keadaan mereka yang tidak berkemampuan dan serba-serbi kekurangan lebih meruntun hati. Justeru, bersyukur dengan apa yang ada dan jika berkelapangan atau berkemampuan, hulurkan sumbangan untuk membantu meringankan kehidupan mereka. Moga Allah membalas setiap kebaikan dan asbab amal jariah yang kita usahakan.