Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Jangan Salah Bagi Nasihat, Kadang-Kadang Orang DEPRESI Ni, Dia Cuma Nak Telinga dan Bahu Je” – Dynas

Afiza Kamarulzaman
08/07/2021 07:57 MYT
Masalah kemurungan, tekanan dan anxiety dilihat semakin meruncing kebelakangan ini, ditambah dengan kes bunuh diri yang turut meningkat dalam kalangan masyarakat. Ia satu situasi yang sepatutnya dipandang serius. Ternyata ia keadaan yang tidak sihat dan tidak betul dalam komuniti kita.


InTrend berkesempatan mengadakan sesi siaran langsung bersama pelakon, Dynas Mokhtar baru-baru ini untuk berkongsi pengalaman beliau yang turut pernah berada dalam ‘fasa gelap’ itu beberapa tahun yang lalu, sekitar usianya awal 30an.


“Saya ni sebenarnya seorang yang sangat positif, ceria dan tidak pernah rumit dalam memikirkan masalah hidup ni. Entah kenapa tiba-tiba saja saya diuji dalam bentuk itu. Benarlahkan, kalau Tuhan tu nak uji, dia akan cari satu ujian yang paling kita kuat untuk mendepaninya,” luah Dynas di awal bicara.



A post shared by dynas mokhtar (@dynasmokhtar)





Penceraian Menjadi Trauma Hidup Dynas


Dynas akui detik penceraiannya yang lalu memberi impak besar dalam hidupnya. Dia sendiri tidak sangka dugaan itu mampu mengheretnya ke tahap depresi dan menganggu kesihatan mentalnya. “Selama ini, datanglah apa pun dugaan, akan saya tempuh dengan baik. Malah, kalau orang datang luahkan rasa simpati pun, saya masih cakap saya okey. Saya tak suka orang berasakan saya tak okey, sehinggalah saya benar-benar diuji selepas bercerai.”


Tambah Dynas lagi sebagai seorang yang mengalami masalah itu, dia sendiri tidak perasan akan perubahannya. Daripada seorang yang ceria, dia jadi pemurung. Daripada yang mesra, menjadi pemarah. Daripada yang positif, menjadi sensitif.


“Kakak saya yang perasaan saya waktu tu. Kita sebagai pesakit kita tak akan mengaku yang kita bermasalah. Walaupun saya tak nak ikut, kakak berjaya juga bawa saya berjumpa doktor dan melalui sesi kaunseling. Selepas itu saya diberikan ubat. Saya ambil tapi saya tak makan pun.


Saya yakin yang saya boleh baik tanpa ubat. Saya taklah nasihatkan untuk ikut cara saya tapi kalau kamu rasa kamu tak mahu makan ubat, maka kamu perlu ada kekuatan diri untuk melawan ‘sakit’ itu. Jangan pula ubat tak makan, usaha pun tak. Orang lain mungkin hanya mampu bantu seadanya,” nasihat Dynas.




A post shared by dynas mokhtar (@dynasmokhtar)





Support System Sangat Penting


Sebagai orang yang paling dekat dengan mereka yang mempunyai masalah ini, kamulah berperanan penting untuk mengenalpasti simptom-simtom ini. Keluarga, pasangan dan kawan-kawan antara individu yang perlu ada sikap peduli jika terlihat perubahan tidak normal dalam diri mereka.


“Dan, saya juga ingin nasihatkan kepada mereka yang didatangi pesakit ini, jangan sesekali memberi nasihat ikut sedap mulut saja. Tidak semua mampu memberikan kata-kata yang baik untuk pesakit seperti ini. Jika tidak arif, bawalah mereka ke medium yang betul. Ada kala, mereka tidak mahu pun kata-kata atau pendapat, cukuplah telinga sebagai pendengar dan bahu untuk mereka tumpang menangis,” ujar Dynas lagi.


Dynas juga berharap lebih ramai masyarakat kita yang prihatin dengan masalah kesihata mental ini. Jangan sesekali menghakimi mereka dan sebarangan menuduh mereka sebagai ‘attention seeker’ atau sengaja berdrama hanya kerana mereka meluahkan perasaan di media sosial dan sebagainya.


“Jangan kita tambah burukkan keadaan mereka dengan komen-komen yang tidak bermanfaat. Jika tidak mahu bantu, lebih baik diam. Kita tidak berada di situasi mereka dan pasti tak mampu untuk memahaminya. Semoga semua kita mampu menjalani ujian pandemik ini dengan baik dan untuk yang sedang mengalami situasi buruk ini jangan segan untuk mencari sesiapa saja yang dirasakan mampu membantu, percayalah ramai di luar sana yang prihatin dan peduli. Boleh juga DM saya sementelah saya dan beberapa rakan juga sedang mengusahakan bantuan sumbangan makanan untuk mereka yang terkesan,” akhirinya.




A post shared by dynas mokhtar (@dynasmokhtar)

#Dynas Mokhtar #Depresi #Kemurungan
;