Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Jangan Sendakan BENTUK FIZIKAL Orang, Tolonglah!” — SHERRY ALHADAD Minta Rakyat Malaysia Jadi Sensitif

Public Anonymous User
28/05/2018 04:37 MYT

Oleh: Amiza A. Kadir

KEYAKINAN, keberanian dan kesungguhan jauh memicunya meneruskan perjalanannya ke hadapan, melangkaui pandangan gelap masyarakat yang kerap menilai dunia seni. Baginya, nyah segala kata-kata orang kerana seni itu adalah hidupnya.

Bersama InTrend, nadi seni, Sherry Alhadad berkongsi mengenai impian dan cerita karier. Moga sisi positifnya diserap bersama para pembaca.

Hai Sherry! Ceritakan perkembangan terkini anda?

Sekarang ini on air untuk Drop The Beat bersama Nabila Huda, Dennis Yin dan DJ Nas T. Dan The Sherry Show pula setiap Ahad 11 malam. Selain itu juga sibuk dengan penggambaran drama raya serta kempen Knorr Ramadan dan Raya bersama Wawa Zainal.

Sibuk tapi Sherry masih sempat ke gimnasium. Melihatkan kepada gambar dan video Sherry, sejak bila Sherry melakukan aktiviti kecergasan dan adakah Sherry sedang berusaha menurunkan berat badan?

Saya mula ke gimnasium pada awal tahun 2018. Lebih tepatnya pada 19 Januari. Tarikh keramat saya menjahanamkan diri. Sakit badan dibuatnya.

Untuk pengetahuan, walaupun saya bertubuh besar, saya seorang yang aktif. Saya suka berbasikal dan mendaki. Ketika menuntut di Aswara, saya sudah biasa dengan aktiviti-aktiviti mengeluarkan peluh.

Cuma selepas tamat pengajian, saya kurang melakukannya dan lama-kelamaan jadi malas. Tiba-tiba saya mahu kembali aktif. Ya inilah masa terbaik dan saya mulakan dengan pergi ke gim. Setiap hari saya paksa diri sebab saya tahu jika saya kata nanti, memang tak akan buat.

Kalau ikutkan kata hati, memang berat kaki ini hendak melangkah. Namun persekitaran banyak mendorong saya untuk melakukannya. Saya beruntung mempunyai rakan yang prihatin dan rajin memotivasikan saya.

Memang ada yang bertanya sama ada saya melakukannya untuk menguruskan badan. Ini bukan kerana saya hendak kurus tetapi lebih ke arah untuk menjaga kesihatan diri dan mengamalkan gaya hidup sihat. Tapi kalau kurus, itu bonus.

Paling penting, saya dapat mengekalkan stamina dan sihat. Saya ke gim tiga kali seminggu, lazimnya pada waktu pagi. Satu sesi cuma satu jam sahaja. Untuk tiga bulan pertama, ada coach yang membimbing, Jika okey, saya akan mempertimbangkan untuk meneruskannya.

Melihat kepada penampilan Sherry baru-baru ini, kelihatan tubuh Sherry susut. Nampaknya apa yang Sherry lakukan menunjukkan hasilnya?

Alhamdulillah, berat badan saya turun sembilan kilogram. Pemakanan juga kena jaga. No sugar, no carb. Saya pula ‘sejenis’ yang suka makan, lebih-lebih lagi makanan manis seperti kek dan coklat. Tapi bila teringin sangat, dugaan betul.

I’m so lucky, My PA, my friend. Jadi ke mana sahaja saya pergi, dia ada. Pasti kalau saya berseorangan, saya akan curi-curi makan. Bagus juga dia melarang saya. Jika tidak, ke laut juga.

Khabarnya Sherry juga mengikut jejak rakan artis mengusahakan bisnes?

Saya berkolaborasi dengan Asyikin Exclusive bagi mengetengahkan pakaian untuk mereka yang bersaiz besar dengan label Sherry Alhadad X Asyikin Exclusive. Ada pakaian kasual dan insya-Allah untuk hari raya yang bakal tiba nanti akan ada koleksi raya. Setiap koleksi terdapat saiz UK18 hingga UK25 dengan harga serendah RM80 hingga RM150.

Kali pertama terlibat dalam dunia perniagaan ini agak mencabar buat saya. Bunyi seperti mudah tetapi banyak dugaannya. Ini bukan bidang saya dan barulah saya tahu susahnya berniaga.

Tambahan pula menjual pakaian plus size agak sukar kerana ukuran tubuh mereka yang bersaiz besar ini amat berbeza. Banyak bentuknya. Ada yang besar di bahagian atas tubuh, kecil di bawah dan ada pula berpunggung besar atau besar keseluruhan tubuh. Inilah cabaran utama dalam menghasilkan pakaian plus size.

Jadi saya amat mengalu-alukan pelangan untuk datang ke butik di Setapak Sentral dan mencuba sendiri. Saya jenis begitu apabila membeli pakaian dan tidak pernah membeli secara online.

Siapakah rujukan Sherry dalam berfesyen?

Selalunya dalam bab ini, Sherry merujuk kepada gaya artis bertubuh besar seperti Adele. Saya tidak suka fesyen yang ‘extravaganza’ sebaliknya lebih memilih yang minimalis tetapi cantik.

Lagi pun orang berbadan besar tidak boleh terlalu sarat dengan corak, perincian dan sebagainya. Saya pernah menjadi fashion victim, jadi cukuplah pada waktu itu sahaja.

Paling penting ialah bagaimana kita menggayakan pakaian tersebut. Kalau diikutkan saya sukakan gaya yang ringkas dan selesa. Namun sebagai artis yang memerlukan saya selalu hadir ke majlis, saya ada stylist yang bertanggungjawab membantu memikirkan busana yang disarungkan ke tubuh saya.

Jika salah berpakaian, misalnya terlalu ketat atau tidak sesuai, Sherry tak takut dikecam?

Saya rasa kecam- kecaman ini hanya dapat diatasi dengan satu cara, iaitu dengan tidak memberi kuasa kepada mereka hanya kerana untuk menilai kita. Mungkin kerana mereka melihat kehidupan seseorang, terutama sekali selebriti, tetapi ia bukan tiket untuk memperkatakan hal orang. Jelas, ia tidak sepatutnya menjadi budaya.

Apabila ada yang memberi komen tentang penampilan saya hingga ada yang mengatakan saya tidak sedar diri, saya bermuhasabah diri. Saya melihat kembali gambar saya. Saya menerima setiap komen dan respons sebaiknya tetapi tidak pula menolak pandangan negatif mereka.

Saya tidak boleh jadi seorang yang bodoh sombong. Saya mengambil yang negatif itu, memahaminya dan ubah menjadi lebih baik. Jika kita terlalu memikirkan apa yang orang cakapkan, kita akan membenci diri sendiri. Itu penyakit.

Jadi kenapa kita hendak mengambil berat perkara negatif sedangkan ada yang positif tentang diri kita? Dalam pada itu juga, kita kena ingat dalam 10 orang ada sembilan orang yang sayangkan kita.

Seorang saja yang tidak sayangkan kita dan kenapa kita pula terlalu memikirkan yang seorang itu tetapi tidak pada yang sayangkan kita.

Sherry selesa bekerjasama dengan designer? Seperti sedia maklum, pernah timbul isu selebriti yang enggan menggayakan pakaian pereka dengan alasan tidak bersesuaian, komen?

Saya juga pernah berhadapan situasi tersebut. Designer menyediakan pakaian yang tidak bersesuaian dengan saya. Hendak menolak, saya perlu sedar diri kerana ia adalah tajaan. Lagi pun orang Melayu, adabnya menjaga hati. Disebabkan tidak mahu kecewakan mereka, apatah lagi kesusahan mereka menyediakan pakaian untuk saya, saya terima.

Saya belajar untuk selesa dengan pakaian kerana keselesaan itu penting. Selagi tangan saya boleh digerakkan, kaki boleh melangkah, insya-Allah, I can carry it. Apabila tampil di khalayak, sebelum saya keluar, saya pejamkan mata.

Saya beritahu diri bahawa ia bukan apa yang saya pakai mahupun luaran saya tetapi apa yang mahu berikan pada orang ramai. Namun jika ada yang berkata saya terlebih keyakinan, jawapan saya satu. I love myself. Apa yang Allah beri, saya tidak merungut, apatah lagi tentang fizikal saya.

Sherry kerap menerima pertanyaan mengenai perawakan Sherry? Bagaimana Sherry menanggapinya?

Sesiapa pun bertanya saya akan menjawabnya. Rakan segandingan saya, Alif Satar juga ada bertanya sama ada saya bertubuh besar dari kecil. Ya, saya dari kecil berbadan besar. Tidak ada apa yang perlu saya selindungkan.

Memang saya akui ketika remaja saya stres apabila sering dimomokkan bahawa bertubuh besar menjadi penghalang kepada banyak perkara, terutamanya sukar mendapatkan pekerjaan. Terus terang saya akui mengambil ubat kurus.

Ubat itu membuatkan jantung berdegup laju dan mood swing. Saya pula jenis yang tidak duduk diam dan ini membuatkan saya runsing. Saya berhenti mengambilnya. Kemudian saya terfikir mengapa saya perlu menyeksa diri dan berubah untuk orang lain.

Saya terima diri saya seadanya. Namun itu bukan bermakna saya menggalakkan orang lain untuk bertubuh besar. Ia terpulang kepada individu. Cuma apabila berbalik kepada saya, cukuplah saya merasakan penyeksaan itu.

Lagi pula pada waktu itu kita kurang pendedahan mengenai keburukan produk-produk yang menurunkan berat badan. Cuma sekarang ini barulah mengetahui bahawa ia boleh memberi kesan seperti merosakkan buah pinggang.

Melihat betapa positifnya sisi diri Sherry, pastinya ada yang mahu meniru cara penerimaan Sherry?

Ada kalanya saya kasihan apabila ada yang menghantar mesej kepada saya memberitahu mereka tidak percaya pada diri, takut dengan kutukan dan menjadi seorang yang pemalu. Kenapa jadi begitu? Sebenarnya apa pun saiz tubuh kita, rupa kita, please choose to love yourself. Lagi-lagi sebelum nak sayangkan orang lain.

Apabila mereka yang mesej saya minta dibantu, ia bukan perkara untuk diajar tetapi mereka boleh belajar. Cari ilmu untuk membina keyakinan. Seperti saya, saya belajar teater kerana minat tetapi secara tidak langsung ia membuatkan saya lebih berkeyakinan, menyayangi diri dan mengetahui kebolehan mahupun kelebihan saya.

Ternyata, dunia teater mengajar memanusiakan manusia.

Bagaimana Sherry membina keyakinan diri?

Saya membina keyakinan sejak kecil. Memandangkan saya sukakan bidang seni, saya menyertai pertandingan bercerita daripada sekolah. Saya asah bakat, saya belajar untuk atasi ketakutan di atas pentas dan hilangkan rasa gementar.

Saya berusaha dan terus berusaha serta tidak pernah berhenti untuk mencuba. Lagipun saya seorang yang suka mengambil risiko. Saya melakukan apa yang saya mahu lakukan. Setidak-tidaknya saya tahu apa yang sesuai untuk saya. Jika tidak elok untuk saya, okay, this is not for me.

Selain itu, saya mencari kekuatan diri. Saya teringat ketika saya di Aswara, saya pernah ‘hilang’. Stigma orang, pelakon perlu cantik dan membuatkan saya agak tertekan. Mujur ada pensyarah yang memberi bimbingan dan meminta saya mencari kelebihan diri.

Bermula itulah saya belajar teknik berhadapan dengan orang. Saya mengacara majlis-majlis besar di Aswara dan ini amat membantu saya.

Saya sentiasa mengejar ilmu dan kelilingkan diri saya dengan individu- individu yang positif. Saya jauhkan negative vibes kerana ia nyata tidak elok dan boleh memakan diri.

Menyentuh soal kerjaya, nama Sherry Alhadad begitu sebati dengan watak komedi?

Lahiriah, saya memang suka hiburkan orang. Dari kecil, saya mulut banyak dan seorang yang spontan. Bagaimanapun itu bukan tiket untuk saya bergelar pelawak. Untuk menjadi pelawak, lain tahapnya.

Saya tidak mampu kerana selama ini saya cuma diberikan skrip dan memegang watak komedi. Hendak membuat orang ketawa itu susah. Lagi senang untuk membuat orang menangis. Hendak menjadi pelawak perlu bijak kerana mereka harus kenal audien.

Perlu kaya dengan pengetahuan am, tahu perkembangan politik dan hal semasa. Pengisian kena bagus dan jitu. Saya tidak ada kelebihan untuk membuat stand-up.

Saya memang kagum dengan pelawak stand-up seperti Douglas Lim, Harith Iskandar dan Joanne Kam yang boleh berdiri, bercakap dan menghiburkan penonton tanpa prop, bantuan audio mahupun pencahayaan.

Dah pratice dari kecik senyum tu????

A post shared by sherry_alhadad (@sherry_alhadad) on

Bagi Sherry, mengapa pelawak hari ini lebih mendominasi industri hiburan? Ini dapat dilihat melalui program lawak yang lebih banyak menguasai siaran TV, begitu juga peranan sebagai DJ radio dan pengacara.

Manusia mencari hiburan yang menyenangkan setelah lelah dengan rutin. Program lawak, program bergenre komedi menjadi pilihan untuk elak mereka tambah tertekan dan tidak memerlukan mereka berfikir.

Sama seperti peniaga produk, mereka tidak akan mengeluarkan produk yang tidak dibeli orang. Sama konsepnya dengan hiburan. Itu yang menyebabkan banyak program seumpamanya dihasilkan.

Namun saya pula melihatnya penonton sebenarnya cuma spoon- feed. Mereka menonton dan menerima apa yang diberikan. Makin lama jadi kebiasaan.

Apakah watak yang Sherry idamkan?

Saya amat selesa dengan watak komedi kerana saya mengenali diri yang sesuai dengan peranan itu. Namun saya ingin memegang watak wanita psiko. Saya pernah melakonkan watak di atas pentas teater tetapi tidak di drama dan filem. Saya tercari-cari cara untuk memecahkan persepsi watak itu.

Melangkah ke dalam industri sebagai pelakon tetapi Sherry lebih menyerlah sebagai pengacara. Sejujurnya, mana yang lebih sukar untuk Sherry lunaskan?

Lakonan adalah forte saya, bukan mengacara. Sudah tentu pada saya tugas mengacara lebih sukar. Namun rezeki saya lebih ke arah itu berbanding lakonan menyebabkan pengikut hiburan kerap melihat saya sebagai pengacara.

Saya telah berusaha dalam bidang seni agak lama. Jadi apabila saya mendapat peluang dan kepercayaan, saya hanya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

Kongsikan tips yang Sherry gunakan sebelum mula memegang mikrofon?

Ada tiga faktor penting yang perlu saya lihat sebelum memulakan tugas. Acara, gandingan dan demografi yang hadir. Jika acara hiburan, sudah tentulah saya perlu mencipta keseronokan.

Apabila perlu dipasangkan dengan pengacara yang lain, saya perlu mencipta keserasian. Bukan mudah ya. Bunyinya seperti mudah tetapi menjadi sangat susah jika tiada keserasian. Perlu kerap praktis dan kedua-duanya harus ada persefahaman.

Selain itu juga saya menitikberatkan penonton yang hadir. Saya perlu ‘masuk’ bersama mereka. Dalam perkara ini tidak boleh syok sendiri. Kadang-kadang kita ingat orang suka tapi tidak gelak. Jadi kena segera adjust situasi. Bagaimanapun saya suka menjadi diri sendiri. Skrip hanya panduan.

Dalam menunjangi karier, siapakah idola yang diangkat Sherry?

Sudah tentu Tan Sri P. Ramlee. Namun sebenarnya saya telah berjumpa dengan ramai orang yang memberi positive vibes seperti ibu bapa, para guru termasuklah Datin Marlia Musa. Itulah yang menjadi idola sama ada dalam bidang lakonan dan kehidupan.

Tika di pentas, tentu Sherry punya pengalaman apabila tiba-tiba ketandusan idea. Kongsikan?

Jika penulis mengalaminya disebut writer’s block tetapi saya menghadapi mental block. Saya tahu perkara ini akan terjadi, pada masa yang tidak terjangka. Kalau shooting filem atau drama, boleh cut dan buat semula tetapi kalau tengah berlakon teater ataupun sedang mengacara, boleh menangis dibuatnya.

Untuk atasinya, saya lakukan ad lip atau improvisasi. Dalam hal ini, partner tahu yang saya perlu dibantu. Kalau berseorangan pula, ketika bermonolog, saya menggunakan teknik ad lip sehinggalah saya dapat menangkap semula idea.

Lazimnya sebelum memulakan sebarang acara, saya cuba kosongkan minda. Saya set dalam minda saya, beri saya tempoh untuk dua jam sahaja. Saya tidak boleh fikir apa yang berlaku di rumah atau apa sahaja yang mengganggu hidup. Saya perlu kawal diri dan fokus kepada kerja sahaja.

Komen Sherry mengenai lawak yang menyentuh kepada fizikal seseorang?

Saya tidak begitu menyukainya. Pada saya, biar saya sendiri yang membahan diri sendiri kerana saya membuatkan kelemahan diri menjadi kelebihan. Tapi tidak untuk mempersenda orang, apatah lagi fizikalnya. Takut menyentuh sensitiviti sehingga menyinggung perasaan.

Bagi perkara seperti ini, sebaiknya berbincang terlebih dahulu dan respek pendiriannya. Kemudian praktis. Namun selagi boleh elak, saya elakkan. Lagipun pengikut industri seni ini sudah bijak menilai. Mereka tahu bentuk komedi apa yang okey atau sebaliknya.

Dalam industri seni, Sherry pernah rasa didiskriminasi?

Diskriminasi berlaku dalam apa-apa bidang pun. Memang saya pernah merasaikan ketika di set. Tidak dilayan dengan baik hanya kerana fizikal. Ketika itu saya kecewa dan tertekan kerana ini bidang yang saya sukai.

Sudah tentu saya sedih. But I’m a fighter. Biarlah orang mengutuk, tidak sesekali saya mengalah dan menangis. Saya semat dalam hati, tiada yang membezakan saya dengan yang lain. Kita sama saja, manusia kerdil di sisi Allah.

Sherry insan penghibur. Namun siapa diri Sherry yang sebenarnya?

I’m a very sensitive person. Memang orang melihat saya menghiburkan orang. Lepak, berborak, bergelak gembira. Tapi untuk mereka yang mengenali saya, mereka tahu saya seorang yang sangat sensitif.

Mak tegur saya menangis. Melihat orang tua berniaga di depan kedai, haiwan terbiar juga boleh membuat saya menangis.

Apatah lagi melihat orang yang hidupnya susah, mudah saja air mata saya mengalir. Bukan itu sahaja, membaca atau melihat video kisah kejayaan seseorang pun saya menangis.

Saya tidak pernah masukkan diri sebagai selebriti apabila di luar. Saya pergi pasar, masuk kedai dua ringgit dan saya buat apa yang saya suka. Sebagai manusia, saya mahu hidup dalam keadaan yang biasa.

Tidak hipokrit ke? Buat orang tertawa tapi diri sendiri mudah rapuh?

Hipokrit? Bergantung pada situasi. Saya jenis happy go lucky tapi apabila hati saya tersentuh, saya menangis. Emosi tidak mampu menipu. Jadi bila saya rasa nak menangis, saya menangis.

Apa yang Sherry lakukan pada masa lapang?

Saya pergi menonton performing arts. Inilah ruang untuk saya berfikir, berhibur dan mencari idea. Selain itu, saya juga suka melancong. Tengok dunia luar dan menghayati kebudayaan mereka.

Kongsi bersama pembaca impian Sherry?

Saya ada banyak impian dalam hidup. Antaranya, saya ingin mengelilingi dunia, mengembara dan bertemu dengan ramai orang. Namun saya mahu melakukannya secara solo. Mungkin sebagai backpacker.

Keduanya, jika ada rezeki saya berhasrat untuk membuka sebuat pusat untuk kanak-kanak dan remaja untuk mempelajari bidang seni secara percuma.

Daripada mereka buat perkara yang tidak tentu hala, di pusat ini mereka diajar tentang tarian, lakonan dan sebagainya. Ini cara saya untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

A post shared by sherry_alhadad (@sherry_alhadad) on

Pada usia menginjak 34, bagaimana Sherry merencana kehidupan peribadi?

Ini juga impian saya yang belum terlaksana. Saya seperti wanita yang lain sudah tentukan inginkan sebuah perkahwinan. Ada suami, ada anak. Ya, sebuah keluarga yang lengkap. Ketika di sekolah menengah selalu berbual dengan kawan-kawan yang saya mahu berkahwin pada usia 25 tahun.

Melalui pembacaan saya, kononnya itulah umur yang paling ideal untuk berumahtangga. Namun apabila sudah bekerjaya, pemikiran bertukar dan melepasi usia 25 tahun, saya tidak lagi memikirkan soal perkahwinan.

Ada juga yang mengatakan saya terlalu memilih sedangkan saya orangnya mudah sahaja. Saya tidak mencari lelaki yang kacak, hidung bak belatuk, mahupun tinggi lampai. Cukuplah kami sekepala ketika berbual.

Bagaimana Sherry meletakkan diri pada lima tahun akan datang?

Sukar untuk saya jangkakan. Saya sebenarnya hendak menjadi guru. Pengalaman menjadi tenaga pengajar di Aswara dulu menyeronokkan cuma tidak dapat diteruskan kerana sukar untuk saya menguruskan masa. Selain itu, saya mahu menguruskan perniagaan sendiri.

Sherry berpuas hati dengan pencapaian sekarang?

Apabila bangun daripada tidur, saya seperti tidak percaya dengan apa yang saya lalui sekarang. Jika empat tahun dahulu, apabila ada yang bertanya tentang keinginan saya dalam bidang ini, saya mahukan talk show sendiri.

Alhamdulillah, tahun ini saya berpeluang berdiri di pentas sendiri, The Sherry Show. Walaupun gementar saya tetap teruja. Saya juga menerima Anugerah Ikon Wanita Muda (Kesenian) yang dinilai hasil bakat dan sumbangan saya dalam industri seni.

Siapa yang harus Sherry berterima kasih?

Ibu bapa, Syed Abdullah Syed Ali dan Lily Chee. Emak dulu tak setuju saya belajar teater, kini dia peminat nombor satu saya. Begitu juga ahli keluarga yang selama saya belajar tidak pernah berkira soal kewangan. Untungkan menjadi anak bongsu?

Juga mahu berterima kasih kepada para guru terutama di Aswara atas ilmu yang dicurahkan dan membantu saya menjadi manusia. Terima kasih juga kepada rakan-rakan dan semua peminat yang menyokong karier seni saya.

;