Orang tua dah lama pesan buat baik berpada-pada, buat jahat sekali. Perbuatan jahat, kezaliman, pengkhianatan dan menyakitkan hati orang lain sangat ditegah dalam kehidupan bermasyarakat juga dalam agama sendiri. Ia merosakkan silaturahim dan keharmonian hidup sesama kita.


Kita hidup bukan untuk diri dan keluarga saja. Hidup sehari-harian banyak berhubungan dengan orang sekeliling. Dan, jika kita mati nanti, bukan hanya amal ibadatn sendiri yang dipersoalkan, malah hubung kait kita dengan orang sekitar juga akan ditimbangtara.


Kerana itu, orang selalu kata dosa dengan Allah, boleh minta ampun terus kepada Allah dan Insya Allah, Allah itu maha pengampun tapi kalau dosa sesama manusia, selagi tidak diampunkan, dibawa dituntut sampai ke akhirat.


Jadi, sebelum terjadi sesuatu keburukan fikir-fikirkan sebelum berbuat kerosakan sesama makhluk. Kadang-kadang, Tuhan bayar ‘cash’ saja di dunia. Tidak perlu ditunggu tuntutan selepas meninggal.


Apatah lagi, doa orang yang dikhianati makbul. Mungkin kesan sakit hati orang itu mendorongnya mendoakan sesuatu yang ‘tidak baik’ kepada kamu yang telah berbuat kejahatan kepadanya.


Namun, ada pula segelintir orang berasa angkuh dan megah apabila perbuatan jahatnya tidak dibalas kepadanya. Katanya, dia orang baik-baik, Allah sayang, tak mungkin terkena apa-apa.


Sedangkan dia tidak perasan dan tidak pernah muhasabah diri, ada kala perbalasan itu tidak ditimpa secara terus kepadanya, tapi mungkin melalui orang-orang yang disayanginya. Bukankah ia lebih menyakitkan apabila orang yang disayangi lebih menderita asbab dosa kita sendiri?


Maka, berhati-hatilah wahai manusia. Sekali pun hati tak mampu dipujuk untuk menjadi baik dan bersih tapi paksalah mulut dan perbuatan kita untuk tidak mengikut hawa nafsu melakukan perbuatan jahat kepada orang kita tidak suka.


Cara terbaik adalah dengan menguatkan iman kita dengan mendekatkan diri dengan sang pencipta. Mohon Allah kurniakan kita hati yang bersih dan sentiasa bersangka baik dengan setiap hamba Nya, usirkan perasaan dengkin dan iri.


Jika tidak mampu juga, hindari orang yang boleh menyebabkan kita berasa dengki itu. Bukan niat bermusuh tapi untuk mengelakkan diri daripada terus tunduk dengan hasutan iblis untuk melakukan perbuatan mungkar ke atas orang itu.


Banyakkan sedekah untuk melembutkan hati yang keras dan basahkan lidah dengan berzikir daripada berkata-kata yang dusta lagi melalaikan.