Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Highlights

Jangan Suka PADANKAN MUKA Orang, Nasib Kita Belum Tahu Kerana Hidup Ini Umpama Roda.

Afiza Kamarulzaman 05/10/2020 | 13:57 MYT
Susah untuk kita meraikan kejayaan musuh kita, bukan? Dan, sulit juga untuk kita mendoakan kebaikan buat orang yang kita benci! Tunggu nanti kalau orang yang kita tidak suka itu ditimpa bala bencana, lekas saja kita tersenyum. Dalam hati pelbagai perkataan bahagia ingin dicanang.
Jika itulah yang terjadi dalam hati kamu, maka perlahankan langkahmu seketika. Fikirkan sejenak, adakah hati kamu itu bersih? Atau ada titik hitam padanya? Ketahuilah, belum cukup kuat iman kita jika kita boleh bergembira dengan kesusahan saudara kita sendiri dan terus mencerca atas ujian yang dihadapinya.
Kredit Foto: Google
Ujian Orang Lain, Ujian Untuk Kita Juga
Kita selalu melilhat ujian seseorang itu terjadi hanya kepada orang itu sendiri. Pasti ada benda buruk yang dilakukan sehingga dia diuji sebegitu. Sedangkan, kita tidak terfikir di luar kotak, adakah sebenarnya ujian untuk dia itu sebenarnya ujian untuk diri kita juga?
Contohnya, kita melihat jiran itu ditimpa kesusahan, keretanya rosak. Kemudian, dia datang kepada kita untuk menumpangkannya ke tempat kerja, sedangkan waktu itu kita pun mengejar waktu. Adakah pada waktu itu kita rela berkorban untuk membantunya? Atau menolak bulat-bulat?
Nah, tidakkah itu juga dikira ujian untuk kita akibat daripada bencana yang melanda jiran kita itu? Mungkin, kalau kita tidak suka kepada jiran kita itu, kita akan kata, “Itulah balasan Tuhan, hidup tak nak campur orang. Bila susah baru tahu cari jiran!” Sedangkan kita tidak tahu apakah yang menyebabkannya dia jadi begitu?
Di sinilah, Tuhan mahu melihat bagaimana hati kita pula dalam menyantuni orang yang kita tidak suka itu? Adakah terus berdendam atau mulakan hubungan baru yang lebih baik dengan membantunya? Dalam tak sedar, rupanya cerita jiran itu adalah cerita tentang kita sebenarnya. Inilah indahnya sebuah kehidupan, kalau kita bijak menterjemahkannya.
Kredit Foto: Google
Bersangka Baik, dan Sentiasa Muhasabah Diri
Jika orang itu diketahui sikap buruknya dan kemudian ditimpa musibah, maka janganlah kita menghukumnya. Hanya Allah yang layak untuk menghuku makhluk Nya, lebih daripada kefahaman kita yang cetek. Sebaliknya, bersangka baiklah akan hikmah yang mungkin menunggu orang itu, yang kita sendiri tidak terpilih untuk melaluinya.
Dan, sebaiknya, jadikan musibah atau ujian seseorang itu sebagai muhasabah untuk diri kita sendiri agar menjadi lebih baik hari demi hari. Jika kawan kita diuji dengan penyakit, maka muhasabah diri sendiri untuk lebih menjaga kesihatan diri. Ada kala, Tuhan menegur kita melalui orang lain agar kita bersedia untuk menghadapinya.
#Musibah #Bersangka Baik #Muhasabah
;