gaya hidup
Jejak Ebit Lew – Misi Bantuan Afrika Selatan, Buka Mata Dan Hati Untuk Lebih Mensyukuri Nikmati Ilahi
Memang menjadi cita-cita dan impian Ustaz Ebit Lew selama ini untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan di Afrika Selatan. Bermula dengan melihat sekeping foto, terbit dihatinya bagaimana anak-anak ini hanya belajar di bawah pokok? Dan persoalan itu seterusnya dipanjangkan hingga membawa kepada rombongan misi kali ini yang turut didokong kedutaan Malaysia disana.
Misi Bantuan Ke Susulu, Johannesburg, Afrika Selatan
Menjengah ke kawasan pedalaman, misi pertama ini dimulakan dengan mencari penduduk yang hanya menginap dirumah yang dibina daripada zink. Ketibaan rombongan misi disambut dengan tarian kebudayaan dan ritual masyarakat setempat yang mengalu-alukan kedatangan tetamu. Meriah sambutannya dan penduduk pun sudah mula berkumpul. Terharu dengan bantuan yang dihulurkan masyarakat disini cukup menghargai apa yang diberikan. Mereka cukup berterima kasih dengan sumbangan barang keperluan dapur seperti beras, pampers dan sebagainya.
Melihatkan cara penghargaan yang ditunjukkan masyarakat disini membuatkan Ustaz Ebit Lew berasa lapang dada untuk terus membantu. Sekali gus mendidik kita untuk lebih mensyukuri nikmat yang saban hari kita kecapi. Menurut Ustaz Ebit lagi, masyarakat disini jika ada yang meraih pendapatan RM100 (jika ditukar dengan matawang kita) sudah cukup besar bagi mereka. Allahu, betapa besarnya nilai itu bagi mereka yang sememangnya hidup dalam serba kekurangan.
Misi Bantuan Membaiki Rumah Terbakar Durban, Afrika Selatan
Misi seterusnya membawa penonton melihat sendiri sumbangan Ustaz Ebit Lew kepada mangsa kebakaran disini. Dilaporkan terdapat 16 buah kediaman musnah dijilat api. Sudahlah hidup serba kekurangan, diuji pula dengan musibah kebakaran benar-benar menjentik hati sesiapa yang melihatnya. Bukan calang-calang kesukaran yang terpaksa mereka tempuhi.
Menurut penduduk setempat, ada yang terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya untuk mendiami rumah baru. Mungkin setahun, lima tahun, bahkan berpuluh tahun menunggu. Jelas terbukti terdapat jurang yang terlalu besar dalam kalangan mereka. Berbeza di negara kita, walaupun ada yang susah tetapi tidaklah terlalu lama perlu menunggu permohonan diluluskan kerajaan seperti apa yang mereka lalui.
Tidak betah melihat penduduk setempat yang kehilangan tempat tinggal, diusahakan juga untuk membina rumah baru. Barang keperluan dibeli daripada kedai untuk membina semula rumah mangsa yang terbakar. Menurut Ustaz Ebit lagi, “Ada yang macam tak percaya kita nak tolong mereka dalam tempoh masa yang singkat itu,” ujarnya sambil mengimbas kenangan semasa berada disana.
Hari kedua misi membina rumah zink diteruskan. Usai membeli barang asas dan barang keperluan lain, syukur dalam tempoh tiga hari mereka berjaya menyiapkan dan membina 16 buah rumah baru. Rata-rata penduduk yang ditemui mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pertubuhan Kasih Umat Malaysia yang dikemudi Ustaz Ebit Lew. Betapa mereka bersyukur dan amat menghargai bantuan yang dihulurkan. Ucapan terima kasih itu diungkap tanpa henti kepada rombongan misi yang membantu.
Pesan Ustaz Ebit Lew
Kita anggap mereka seperti sebuah keluarga besar. Walaupun berlainan agama dan anutan budaya tetapi atas dorongan belas ehsan dan kemanusiaan kita semuanya sama. Bagi mereka bantuan yang diberi terlalu besar ertinya. Mungkin ia hanya rumah yang dibina tetapi bagi mereka ia bagaikan satu kehidupan baru telah diberi.
Misi Bantuan Golongan Asnaf
Sedang mereka mencari golongan gelandangan untuk diberi makan, terlihat susuk seorang lelaki berkulit putih dalam keadaan tidak terurus. Rambutnya panjang dan sekali pandang tidak ada sesiapa yang berani menegur. Mungkin dek kerana terlintas di akal lelaki ini tidak waras. Tetapi apabila Ustaz Ebit Lew menyapa bertanya khabar, bersuai kenal lelaki beranama Scott tadi tampaknya selesa untuk meneruskan perbualan.
Dan apabila diusulkan untuk memotong rambutnya, dia pada awalnya menolak. Namun usaha Ustaz Ebit tidak terhenti disitu. Dibawanya Scott ke kedai pakaian berhampiran untuk membeli baju baru buatnya. Malah peniaga kedai tersebut kaget bagaimana Ustaz Ebit Lew mampu memujuk dan membawanya masuk untuk memilih apa jua pakaian yang sesuai untuknya. Berumur 60 tahun, sudah 11 tahun dia hidup sebagai gelandangan. Tiada rumah, hari-hari yang dilalui tak punya arah tuju yang jelas. Cuma mengharapkan simpati orang yang lalu lalang, adalah juga yang menghulurkan wang buatnya.
Apabila diusulkan untuk memotong rambut, Scott pada mulanya enggan walaupun sudah masuk ke kedai gunting rambut. Kisahnya, berkali-kali pemilik kedai mau memotong rambutnya tetapi dia melarikan diri. Dipujuk berkali-kali jua namun dia tetap menolak. Mungkin rezeki Ustaz Ebit, selepas beberapa hari mendampngi, Scott akhirnya akur. Dibawanya lelaki berkulit putih ini ke hotel tempat mereka menginap untuknya membersihkan diri.
Pesan Ustaz Ebit
Momen bersama Scot akan menjadi kenangan dan saya teringin untuk berbuat perkara yang sama dan bantu mereka yang sepertinya di Kuala Lumpur pula. Mana yang boleh kita bantu, kita akan bantu.
Must-Watch Video