Alhamdulillah, syukur kita masih dipanjangkan usia untuk menikmati tahun seterusnya. Ramai yang mengeluh, tahun sudah (2020) tidak meninggalkan begitu banyak memori manis. Apa lagi kejayaan dan kemenangan. Ya, dek pandemik yang melanda seantero dunia, banyak impian dan perancangan sebelum ini terbantut dan hancur.

Ada yang hilang punca pendapatan. Ada yang ditimpa masalah kesihatan. Ada suami isteri bercerai-berai. Tidak kurang juga tertunda projek dan agenda. Anak-anak tertangguh pendidikannya. Hubungan sesama insan-insan tersayang juga tersekat. Tidak banyak yang indah untuk 2020 itu.

Namun, adakah kamu sedar sesuatu? Dalam sesak dan sengsara, kita berjaya juga melalui hari-hari sepanjang 2020 itu sehingga selesai. Ya, walaupun sakit, namun kita sampai ke garis penamat. Kita tidak bunuh diri kerana kecewa. Kita tidak berhenti berdoa kerana berasakan gagal. Kita masih punya Allah untuk terus bergantung harap.


Pasang Azam Sederhana, Doa Yang Paling Tinggi

Jadi, untuk tahun 2021 yang akan dilalui nanti, tidak perlu kita sasarkan yang ‘besar-besar’. Cukuplah dengan dapat melalui kehidupan ini dengan tenang, gembira dan dijauhkan daripada ujian yang tidak mampu ditanggung kita. Tidak perlu doa untuk jadi kaya-raya, kalau dapat kecukupan rezeki tanpa perlu berhutang juga sudah memadai.

Mohonlah pada Tuhan ketetapan hati kepadanya, sentiasa ingat akhirat dan tidak terus membesarkan dunia semata. Apabila kita ingat akhirat, hati menjadi lebih aman kerana tidak terkejar dengan masalah dunia semata. Kita tahu dunia ini pentas sementara. Hanya akhirat kekal selamanya.

Ayuh, sama-sama kita pasangkan niat 2021 ini untuk jadi manusia yang sederhana dalam segala segi. Bukan bererti kita tidak boleh bercita-cita besar untuk mencapai kejayaan, namun pastikan kita mampu untuk kawal kekecewaan kita jika ditakdirkan ia tidak mampu dicapai. Senaraikanlah apa saja azam tapi dengan keyakinan hanya Allah yang mampu memakbulnya.


Kredit Foto: Google


Doa Mohon Kebaikan dalam Segala Hal yang Pernah Diminta Nabi


اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ
ALLAAHUMMA INNII AS-ALUKA
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu


مِنَ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ
MINAL KHOIRI KULLIHI ‘AA-JILIHI WA AA-JILIHI
Seluruh kebaikan yang segera (dunia) dan yang tertunda (akhirat)



مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ
MAA ‘ALIMTU MINHU WA MAA LAM A’LAM
Kebaikan yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui



وَأَعُوْذُ بِكَ
WA A’UUDZU BIKA
Dan aku berlindung kepada-Mu



مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ
MINASY-SYARRI KULLIHI ‘AA-JILIHI WA AA-JILIHI
Dari segala keburukan yang segera (dunia) dan yang tertunda (akhirat)



مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ
MAA ‘ALIMTU MINHU WA MAA LAM A’LAM
Yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui



اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ
ALLAAHUMMA INNII AS-ALUKA
Ya Allah, aku meminta kepada-Mu



مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ
MIN KHOIRI MAA SA-ALAKA ‘ABDUKA WA NABIYYUKA
Kebaikan semua doa yang pernah diminta oleh hamba dan nabi-Mu



وَأَعُوْذُ بِكَ
WA A’UUDU BIKA
Dan aku berlindung kepada-Mu



مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ
MIN SYARRI MAA ‘AADA BIHI ‘ABDUKA WA NABIYYUKA
Dari keburukan yang hamba dan nabi-Mu pernah berlindung darinya



اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ
ALLAHUMMA INNII AS-ALUKAL JANNATA
Ya Allah, aku memohon surga kepada-Mu



وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ
WA MAA QORROBA ILAI-HAA MIN QOULIN AU ‘AMALIN
Dan segala perkataan dan perbuatan yang mendekatkan kepadanya



وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ
WA A’UUDZU BIKA MINAN NAARI
Aku berlindung kepada-Mu dari neraka



وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ
WA MAA QORROBA ILAI-HAA MIN QOULIN AW ‘AMALIN
Dan segala perkataan dan perbuatan yang mendekatkan kepadanya



وَأَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لِيْ خَيْرًا
WA AS-ALUKA AN TAJ’ALA KULLA QODHOO-IN QODHOI-TAHU LII KHOIRON
Aku meminta segala sesuatu yang telah Engkau takdirkan untukku, hendaklah Engkau jadikan kebaikan bagiku


Ertinya:
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu seluruh kebaikan yang segera (dunia) dan yang tertunda (akhirat), kebaikan yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui. Dan aku berlindung kepada-Mu dari segala keburukan yang segera (dunia) dan yang tertunda (akhirat), yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui. Ya Allah, aku meminta kepada-Mu kebaikan semua doa yang pernah diminta oleh hamba dan nabi-Mu, dan aku berlindung kepada-Mu dari keburukan, yang hamba dan nabi-Mu pernah berlindung darinya. Ya Allah, aku memohon surga kepada-Mu dan segala perkataan dan perbuatan yang mendekatkan kepadanya. Aku berlindung kepada-Mu dari neraka dan segala perkataan dan perbuatan yang mendekatkan kepadanya. Aku meminta segala sesuatu yang telah Engkau takdirkan untukku, hendaklah Engkau jadikan kebaikan bagiku.”

(HR. Ibnu Majah)


Rujukan: Umma.id.com