Highlights

Jumaat Tanpa Solat Jumaat – Hidupkannya Dengan 10 Amalan Sunat. Moga Bermanfaat Dan Beroleh Berkat.

gempak
Huda Hussain
17/04/2020
03:17 MYT
Sponsor Banner
Jumaat Tanpa Solat Jumaat – Hidupkannya Dengan 10 Amalan Sunat. Moga Bermanfaat Dan Beroleh Berkat.
Mengikut perkiraan, hari ini sudah lima kali kaum Adam tidak dapat tunaikan solat Jumaat di masjid. Dan suasana mendung pagi ini sekitar kawasan Cheras seolah-olah mengerti akan perasaan yang dirasai segelintir daripada kita yang rindukan rutin harian setiap Jumaat. Tatkala menjelang tengah hari, berpusu-pusu kaum adam membanjiri masjid berdekatan bahkan hingga ke luar masjid. Berdedai-dedai para muslimin memenuhi saf-saf di dalam dan diluar masjid.
Kredit Foto: Google
Ada yang datang membawa sendiri sejadah ditemani anak kecil, ada yang masih dalam pakaian kerja (misalnya uniform khusus seperti anggota polis, bomba, tentera dan lain-lainnya). Tidak kurang juga ada yang menghirup ais cendol buat pelepas dahaga kala cuaca terik mentari. Dan ada segelintirnya yang mengisi perut di gerai-gerai tepi jalan kerana tidak mahu berlama-lama usai solat Jumaat. Malah banyak lagi suasana dan persekitaran ketika solat Jumaat yang pastinya menggamit rindu kaum adam.
Kredit Foto: Google
Namun suasana dan pemandangan sebegitu tidak lagi kelihatan sejak lima minggu PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu. Dan nampak gayanya, suasana itu juga tidak lagi dirasai menjelang minggu-minggu akan datang kerana tempoh PKP kini dilanjutkan sehingga 28 April. Jika kalian ingat lagi, Perlis adalah negeri pertama yang membatalkan solat Jumaat dan digantikan dengan solat Zohor di rumah pada 13 Mac lalu selepas mengambil kira situasi semasa penularan wabak Coronavirus Covid-19.
Serentak dengan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri kluster Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata solat Jumaat tidak perlu diadakan sehingga 31 Mac bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19. Hal ini adalah selari dengan PKP yang sedang dilaksanakan. Malah kini berterusan hingga 28 April selepas ia dilanjutkan. Merujuk kepada kenyataan Kesatuan Ulama Sedunia yang turut mengeluarkan fatwa hukum penangguhan solat Jumaat adalah diharuskan ekoran penularan Covid-19 yang diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kredit Foto: Google
Justeru apa ikhtiar kita untuk menghidupkan hari Jumaat biarpun tiada solat Jumaat? Berikut disenaraikan 10 amalan sunat yang dilakukan pada hari Jumaat sebagai tanda untuk memuliakan dan mengagungkan hari Jumaat serta mengikut sunnah Nabi SAW.
Kredit Foto: Google
  1. Memotong Kuku
Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.” Disunatkan juga mencukur kepala, memendekkan misai, memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian yang sebaik-baiknya.
  1. Mandi Sunat Jumaat
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.”
Kredit Foto: Google
  1. Membaca Surah Al Kahfi
Sunat membaca surah Al Kahfi pada malam Jumaat dan di waktu siangnya. Surah ini panjang oleh itu, disarankan memulakan bacaan selepas asar hari khamis dan di sambung sehingga asar hari jumaat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri yang bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat. Dari hadis lain, ”Barangsiapa yang membaca surah Al Kahfi pada malam Jumaat, dia akan disinari cahaya antara dia dan Ka'bah".(Hadis Riwayat .Ad Darimi 2:546, Syaikh Al Albani dalam Shohihul Jami' no. 6471)
  1. Membaca Surah Ali Imran
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendoakan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.”
  1. Membaca Yasin
Sesiapa membaca surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah
Kredit Foto: Google
  1. Banyakkan Berselawat
Memperbanyakkan membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. pada malam hari dan di waktu siangnya. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali)” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)
  1. Banyakkan Berzikir
Ketahuilah, Allah akan memberikan ketenangan hati kepada orang yang membaca zikir dan dengan zikrullah itu, mampu menenteramkan hati manusia. Basahi dan lazimi lisan kita dengan beristighfar mengucapkan lafaz berikut:
  1. Astaghfirullah (100 kali)
  2. SubhanAllah Wabihamdihi,SubnanAllahil'azim (100 kali).
  3. Lailaaha illa Allah(100 kali).
  4. Hasbiyallahu wa ni'mal wakil (100 kali)
  5. SubhanaAllah walhamdu wa laa ilaaha illa Allah wa Allahu Akbar (100 kali)
  6. Laa haula wa laa quwwata illa bilkhil aliyyi azimi (100 kali)
  7. Allahumma Solli alaa muhammad wa aala aahlihi wa sobbihi wa baaraka wa sallim.(100 kali dan lebih berselawat)
  8. Ya Allah 1000 kali (Amalan setiap Hari Jumaat Imam Al- Ghazali r.a)
  9. La illahailla anta subahanaka inni kuntu minazzAlimin(313 kali)*
Kredit Foto: Google
  1. Berdoa
Berdoalah dengan bersungguh-sungguh. Doa itu senjata golongan mukmin dan ia juga dianggap sebagai inti dalam ibadah (keutamaan). Merintihlah, mengadulah kepada-Nya agar dosa-dosa kita diampuni-Nya, taubat kita diterima-Nya, dilindungi daripada wabak ini, dapat kembali memenuhi masjid dan mengimarahkan rumah-rumah Allah.
Kredit Foto: Google
  1. Banyakkan Bersedekah
Dari Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Baginda Nabi s.a.w telah bersabda, “Seutama-utama sedekah adalah seorang muslim yang belajar 'ilmu, kemudian dia mengajarkan 'ilmu tersebut kepada saudaranya sesama muslim. Dan sedekah pada hari Jumaat adalah lebih utama dibandingkan dengan sedekah pada hari-hari lainnya.
  1. Banyakkan Solat Sunat
Selain solat fardhu yang diwajibkan, kita juga disarankan mendirikan solat-solat sunat seperti solat Dhuha dan solat sunat Rawatib. Pastinya terdapat banyak kelebihan menunaikan solat-solat sunat ini yakni sebagai menampung kekurangan ibadah kita yang lain. Dan dalam masa sama dapat meningkatkan ketakwaan kita kepada-Nya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live