Walau diselubungi pelbagai perasaan, resah dan tanda tanya bagaimana agaknya kita mampu lalui Ramadan sepanjang PKP? Dalam keadaan ‘terkurung’ dirumah, pergerakan yang tidak lagi bebas seperti biasa dan pelbagai rutin yang terhalang. Namun pejam-celik, bersilih gantinya siang dan malam telah membawa kita ke penghujung Ramadan. Dan apa yang pasti, Ramadan tahun ini bakal diingati dan tersemat dalam lipatan memori abadi.


Limitasi Waktu Sepanjang Berpuasa

Apatah lagi dengan keterbatasan waktu sepanjang berpuasa, beralihnya pagi ke tengah hari, petang dan malam bagaikan sekelip mata sahaja. Terutamanya bagi mereka yang menghidupkan amal ibadat pada bulan mulia ini dengan berterawikh, mengaji Al-Quran, bersedekah dan lain-lain lagi pasti tidak ‘terasa’ cepatnya masa berlalu. Tahu-tahu sudah tiba waktu untuk memasak juadah berbuka. Tanpa disedari selesai sudah kita berterawikh secara berjemaah seisi keluarga. Dan begitulah rutin yang sama dilalui saban hari hingga kini Ramadan bakal melabuhkan tirainya.


Kredit Foto: Google


Ramadan Tahun Ini Paling Sayu Rasanya

Entah kenapa, terbit pula rasa sayu memikirkan semua yang berlaku kebelakangan ini. Dan betapa Ramadan itu membawa 1001 keinsafan pada hati-hati yang ikhlas mendambakannya cukup dirasai. Kita lebih menghargai dan menikmati Ramadan kali ini. Dalam situasi yang menyekat kita pergi ke masjid untuk berterawikh dan bertadarus secara berjemaah, suasana bazar Ramadan yang tidak ditemui di mana-mana pelusuk sungguh mengesankan.

Barangkali Allah menarik satu nikmat lalu diberikan nikmat dan kurnia yang lain pula. Yakni kualiti masa bersama keluarga yang disifatkan cukup mencemburui kita. Apabila duduk bersama keluarga, menatap wajah suami dan isteri, anak-anak 24 jam sehari sebenarnya mengajar kita untuk lebih bersyukur. Bersyukur kerana masih cuba sedaya upaya dan termampu untuk memberikan yang terbaik buat harta pinjaman dunia ini. Supaya kita lebih menghargai keberadaan masing-masing disisi. Dan bagi keluarga di kampung yang jauh dimata, hanya kiriman doa selain alat telekomunikasi buat pengganti diri menemani setiap hari.


Kredit Foto: Google


Ramadan Dalam Pandemik Covid-19

Dengan pandemik Covid-19 membuatkan kita lebih peka, berhati-hati dan sentiasa waspada khususnya dalam aspek kesihatan dan penjagaan diri. Penjarakan sosial dan amalan kebersihan diri sudah menjadi satu adaptasi dalam menjalani kehidupan normal baharu. Pemakaian topeng muka, hand sanitizer dan amalan mencuci tangan pula kian sebati dalam rutin seharian kita.

Sungguhpun begitu, alangkah kecewanya kita apabila sering mendengar perkhabaran bahawa masih ada lagi yang berdegil dan ingkar dengan pematuhan PKPB. Seboleh mungkin mahu balik beraya di kampung walau berulang kali diingatkan rentas negeri tidak dibenarkan.


Kredit Foto: Google

Mengharap Bertemunya Ramadan 1442

Menjadi kelaziman dalam doa-doa yang sering kita baca usai solat. Betapa kita mengharapkan akan dipertemukan lagi Ramadan tahun hadapan. Sambil memohon keampunan dan penuh pengharapan agar dilanjutkan usia untuk meraikannya dalam suasana seperti biasa. Bagi yang kehilangan insan tersayang dalam Ramadan ini atau mungkin sebelum kedatangan Ramadan pasti berganda kesedihannya.

Itulah suratan hidup dan ketentuan-Nya. Bahawa setiap anak Adam yang hidup pasti akan merasai mati. Dan semoga amal ibadat kita sepanjang Ramadan ini diterima Allah dan menjadi pembuka amalan serta istiqamah mengharungi perjalanan hidup selepas ini.