Jika ke pasar malam, pasar pagi atau mungkin terlihat peniaga kecil di kaki lima terdetik di hati penulis alangkah kasihannya mereka. Walaupun sudah dimamah usia, kulit yang kian berkedut tetapi masih lagi menggunakan tulang empat kerat untuk mencari duit sendiri. Simpati? Sudah tentu! Sedangkan pada usia itu mereka selayaknya beristirehat sambil melakukan amal ibadat di rumah. Ya, berehat, tak perlu lagi bertungkus-lumus membanting tulang bekerja. Bersusah-payah mengangkat bungkusan plastik berisi hasil jualan yang berat belaka. Terbongkok, tunduk mengambil itu dan ini.

Kredit Foto: Google

Tetapi hakikatnya perjalanan hidup kita tidak sama. Ada sebab musabab yang Dia aturkan mengapa jalan itu yang mereka pilih. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang sudahpun diingatkan oleh anak-anak agar tidak perlu bekerja. Tetapi dek kerana mahu mengisi masa terluang, mungkin bosan melakukan rutin sama di rumah tanpa berbuat apa; lantas mereka memilih untuk terus bekerja dengan berniaga.


Atau mungkin juga atas desakan hidup, tuntutan kehidupan era kini yang memaksa mereka terus bekerja. Soal larat atau tidak itu bukan menjadi penghalang. Apa yang penting mereka perlu keluar bekerja walaupun hanya membawa pulang puluhan atau ratusan ringgit sahaja setiap hari. Umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kredit Foto: Google

Apa Yang Anda Boleh Lakukan Jika Membeli Hasil Jualan Mereka?

Kalau boleh tak perlulah tawar-menawar dengan mereka. Duduk di kaki lima beralaskan tikar atau selipar, berniaga berjam-jam lamanya sama ada di pasar pagi atau pasar malam; mungkin ada dalam kalangan mereka hanya berniaga untuk kelangsungan hidup. Duit hasil jualan hanya cukup-cukup makan sahaja. Sakit-sakit badan, lenguh kaki dan pinggang tak perlu cakaplah. Ada masa hasil jualan beri pulangan lumayan. Tetapi ada harinya mereka perlu pulang dengan hasil jualan yang masih lagi banyak kuantitinya.


Menjual kerepek, keropok dan makanan ringan, menjual ulam dan sayur-sayuran di pasar, hasil seni kraftangan seperti tikar mengkuang, tudung saji, bakul dan lain-lain yang dianyam sendiri adalah antara produk yang sering kita lihat. Mungkin mereka tidak memaksa kita membeli. Dan kita yang melihatnya mungkin terdetik “Kalau beli makan ke? Pakai ke?” Atau mungkin kita bukanlah beria-ia mahu membeli.

Kredit Foto: Google

Tapi, andai terdetik dihati dan berniat mahu membantu dengan membeli hasil jualan mereka, eloklah dibeli. Kerana kita tidak tahu, mungkin dengan wang RM10 yang kita keluarkan untuk membeli kerepek dan keropok cukup besar maknanya bagi mereka. Anggap sahaja pembelian itu sebagai satu bentuk sedekah. Sekurang-kurangnya mereka berusaha dengan bekerja cara sendiri demi mendapatkan duit. Bukannya hanya duduk menunggu bantuan atau derma sumbangan orang lain.


Hari Ini Hari Mereka

Kerana kita tidak tahu bagaimana percaturan yang Allah tetapkan untuk kita apabila tua kelak. Tidak mustahil nasib kita juga mungkin seperti mereka yang masih lagi perlu bekerja walaupun usia sudah semakin tua. Atau kita mampu beristirehat sambil menghabiskan sisa usia seadanya. Semuanya menjadi kerahsiaan-Nya. Apa yang penting, beringatlah. Selagi kita dipinjamkan kesenangan dan mampu menikmati keselesaan hidup, bantulah semampu yang boleh. Semoga Allah melimpahkan rezeki dan rahmat buat kita yang ikhlas membantu mereka.

Kredit Foto: Google