Highlights

Kalau IBU AYAH Sakit, Berebutlah Dengan Adik-Beradik Untuk Menjaganya – Ini Peluang Emas Kutip Pahala, Rezeki.

gempak
Afiza Kamarulzaman
30/10/2020
14:53 MYT
Sponsor Banner
Kalau IBU AYAH Sakit, Berebutlah Dengan Adik-Beradik Untuk Menjaganya – Ini Peluang Emas Kutip Pahala, Rezeki.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a: Bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau seorang daripada mereka sudah tua, namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).”
Ramai antara anak-anak hari ini berasa ralat dan terkilan setelah kehilangan ibu dan ayahnya dalam usia yang begitu singkat dipinjamkan kedua orang tua itu kepada mereka. Ramai yang rindu untuk menatap wajah ayah ibu dan menyentuh juga memeluk mereka. Ada juga orang tuanya pergi dengan begitu mudah sehingga tidak sempat untuk anak-anak menabur budi sebagai tanda balasan pengorbanan.
Maka, bagi kalian yang masih dipinjam ibu dan ayah, jangan dilepaskan peluang keemasan ini. Rebutlah ia sebaik mungkin, apatah lagi jika mereka sedang diuji dengan kesakitan atau keuzuran. Inilah masa paling berharga untuk membalas budi (walaupun tak mungkin terbalas), masanya untuk melipat gandakan pahala dan meluangkan masa mencipta kenangan pada masa-masa terakhir ini.
Kredit Foto: Google
Adik-beradik Jangan Saling Bertolakan Untuk Menjaga
Tidak dinafikan ada segelintir keluarga yang diuji dengan ibu dan ayah yang sakit terlantar berbulan-bulan malah bertahun-tahun. Maka, anak-anaklah orang terbaik untuk menjaga dan menyantui orang tua itu. Sayangnya, ia bukanlah semudah ibu ayah membesarkan anak-anaknya dulu. Kelazimannya, lagi ramai anak, lebih sulit jadinya apabila tiba bab menjaga orang tua yang sudah uzur.
Ada yang mungkin bertelagah tidak puas hati, ada yang menolak giliran tidak mahu menjaga atas pelbagai alasan; tidak kira anak lelaki mahupun perempuan. Ya, kita sendiri tidak tahu apa masalah kepada setiap orang itu. Namun, apa pun rintangannya, cubalah diselesaikan sebaiknya. Letakkan orang tuamu di tempat paling penting dan utama berbanding hal lainnya. Sebenarnya, yang paling penting adalah kekuatan dan keikhlasan hati.
Kena tolak hasutan syaitan yang mungkin membisikkan kata-kata cemburu. Ada yang mahu menjaga mak ayah tetapi apabila melihat ada adik-beradik lain yang seperti lepas tangan, mulalah hati rasa tidak ikhlas. Itu yang terjadinya, mak ayah dihantar ke rumah penjagaan orang tua atau mengupah orang luar untuk mengabil alih tanggungjawab seorang anak.
Kredit Foto: Google
Kerugian Besar Melepaskan Peluang Menyantuni Orang Tua
Apabila mereka sudah tiada kelak, pasti kalian akan berasakan kerugian yang amat sangat kerana hilangnya kasih-sayang sejati, peluang pahala menggunung dan kenangan yang tak mungkin kembali. Banyak keberkatan menjaga mak ayah kepada kehidupan kita jika dilakukan dengan ikhlas dan tanpa ungkitan. Biarkanlah jika ada adik-beradik yang melepaskan peluang itu tapi kamu, teruskan dengan kekuatan hati.
Antara hikmah yang akan kamu nikmati daripada menjaga ibu ayah yang sakit:
  • Pahala berlipat ganda yang telah Allah janjikan kepada anak-anak yang berbakti kepada ibu ayahnya. Insya Allah, syurga menantimu.
  • Rezeki berlimpah-ruah. Rezeki ini tidak semestinya dengan wang ringgit. Boleh jadi dengan dikurniakan kesihatan yang baik, anak-anak yang taat dan sebagainya.
  • Rumahmu akan terasa ‘sejuk’ dan tenang selagi mana ibu atau ayah itu berada bersama kamu di rumah itu.
  • Perjalanan hidup sentiasa lancar dan dipermudahkan. Setiap masalah pasti menemui penyelesaiannya.
  • Kasih-sayang daripada orang keliling sentiasa mencurah-curah. Sesiapa sahaja akan menyenangi dan menayangi kamu.
  • Diri sendiri akan belajar untuk menjadi lebih matang dan belajar menjadi lebih tabah, sabar dan kuat.
  • Kesihatan diri dipertingkatkan kerana hikmah daripada menjaga orang sakit kita akan menghargai kesihatan dan badan pun aktif kerana sibuk menguruskan mereka yang tak berdaya.
  • Memahat lebih banyak kenangan bersama orang tua. Kenangan ketika mereka muda dan tua pasti tidak sama.
  • Menjadi contoh teladan terbaik untuk anak menantu kelak. Jangan terkejut kalau kita sendiri mengabaikan orang tua kita, tidak mustahil anak cucu juga akan melakukan yang sama kepada kita nanti.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live