Manusia sombong adalah manusia yang berasakan dirinya paling hebat. Orang begini sentiasa memandang orang lebih kecil daripada dirinya. Diri tebal dengan sifat ego dan sentiasa berasa megah dengan kelebihan yang dimiliki.


Firman Allah swt:
“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (QS. Luqman:18)



Siapa Kita di Muka Bumi Ini?

Fikir semula asal-usul kita. Kita diciptakan dari tanah. Maka, di manakah nilai tanah itu sehingga menjadikan kita begitu megah dengan diri sendiri? Penciptaan kita sebagai manusia pun tidak dijadikan daripada intan berlian. Begitulah simbolik Tuhan mahu kita sentiasa berpijak di bumi nyata. Sentiasa sedar tanah yang dipijak itulah asalnya kita.



Dan, manusia juga dipanggil ‘hamba Allah’. Adakah wajar seorang hamba itu mahu bersikap mendongak langit, angkuh dan takbur sesama manusia? Kita ini sendiri hamba kepada Tuhan yang satu. Jadi, kenapa pula kita berasa diri ‘tuan’ kepada insan yang lemah?





Bagaimana Mendepani Orang Sombong?
  1. Banyakkan doa untuk orang seperti ini agar diberikan hidayah dan berada di landasan yang benar.
  2. Jangan berlawan cakap dengan orang sombong kerana dikhuatiri mengundang perbalahan sahaja.
  3. Nasihat dengan sebaik-baik kata-kata. Tetapkan niat menasihati untuk memberi kesedaran bukan mahu bersaing sama naik.
  4. Sentiasa memberi contoh yang baik melalui teladan keperibadian yang boleh melembutkan hati mereka.
  5. Undur diri jika segala usaha menemui jalan buntu. Ada kala orang sombong harus diberi masa untuk muhasabah dalam kekosongan diri.