gaya hidup

“Kalau Saudara Kita Bersedih, Kita Ziarah Menyebabkan Allah Sayang Pada Kita.” – Ustaz Ebit Lew

gempak
Huda Hussain
14/12/2020
14:00 MYT
Sponsor Banner
“Kalau Saudara Kita Bersedih, Kita Ziarah Menyebabkan Allah Sayang Pada Kita.” – Ustaz Ebit Lew
Menemui penonton dalam episod kedua, kali ini kru produksi Jejak Ebit Lew bersama Ustaz Ebit Lew terus menyantuni masyarakat yang ditimpa musibah dan pelbagai ujian hidup. Menziarahi keluarga mangsa pembunuhan kejam di Terengganu, membantu keluarga daif di Kedah dan mengunjungi keluarga juga tempat kejadian mangsa lemas Mohd Loqman Hamka yang hanya ditemui setelah 12 hari kehilangannya; antara intipati episod kedua Jejak Ebit Lew di Astro Prima.
Kredit Foto: Astro Prima
Ziarah Keluarga Arwah Siti Surya Hati siapa yang tidak sayu melihat musibah yang melanda keluarga ini. Ibu yang terlantar sakit menjadi saksi pembunuhan kejam anaknya dihadapan mata sendiri. Namun dek kerana kanser otak yang melanda diri, si ibu tidak mengetahui apatah lagi memahami apa yang berlaku. Sungguh, bukan calang-calang hebat ujian Allah berikan buat keluarga ini. Sejak tular di media sosial, hati Ustaz Ebit Lew terus terpanggil untuk menziarahi keluarga arwah. Dia bergegas dari Kuala Lumpur ke Kampung Lubok Batu, Telemong, Terengganu.
Kredit Foto: Astro Prima
Setibanya di rumah keluarga mangsa jam 9 pagi, bapa arwah memeluk erat seraya Ustaz Ebit Lew merangkul kemas tubuh si ayah yang kehilangan anaknya itu. Walaupun tidak pernah bersua muka, tetapi nyata hikmah persaudaraan sesama Islam membuatkan Ismail senang sekali menyambut kedatangan Ustaz Ebit Lew. Berat mata memandang, berat lagi bahu ahli keluarga yang memikul. Ustaz Ebit Lew menitipkan doa supaya Allah berikan kekuatan buat ayahnya, emaknya yang sakit supaya Allah beri kesembuhan. Juga untuk adik-beradik diberikan sedikit sumbangan, kata-kata semangat buat bekalan di hari mendatang.
Pesan Ustaz Ebit Lew “Percayalah apa saja yang terjadi ni Allah Maha Mengetahui. Dan Dia jadikan sesuatu itu tiada satu jawapan mutlak. Dia beri ujian kerana Dia sayang. Mungkin Allah nak beri padanya ganjaran besar di sana (Akhirat) berkat kesabaran dan doa emak ayah yang baik. Dia beri rahmat yang besar. Mudah-mudahan Allah jadikan kesakitannya asbab Allah sayang dia. Mudah-mudahan sebelum titisan darahnya, Allah maafkan dia, Allah hadiahkan syurga Firdaus dan kebaikan padanya.”
Kredit Foto: Astro Prima
“Setiap anak ini dia ada tempat dalam hati kita. Kadang-kadang anak rasa kita kurang sayang dia. Kita sayang yang ini dan sebagainya. Sebenarnya tak. Ada seorang sahaja yang hilang daripada hidup kita, kita akan rasa kosong tu sampai bila-bila. Sebab abang tak pernah ambil tempat adik dan adik tak pernah ambil tempat kakak. Tempatnya ada disini (dalam hati). Tapi anak-anak lain akan perasan.
Nabi sebut, kalau saudara kita bersedih, kita ziarah menyebabkan Allah sayang pada kita. Jadi kita nak kasih sayang Allah. Saya tahu saya takkan dapat lalu macam apa yang Abang lalu. Ujian Abang ni bukan ringan, memang berat. Anggap ini dugaan. Moga Allah hilangkan. Walaupun takkan lupa, Allah kurangkan rasa sedih di dunia ni. Bagi Abang rasa lapang hati… Insya Allah.”
Kredit Foto: Astro Prima
Sediakan Tempat Tinggal Rumah Keluarga Miskin Setiap hamba Allah yang masih bernafas takkan pernah sunyi daripada diuji. Sama ada seseorang itu cekal, kuat dan positif dalam menempuh setiap ujian atau hanya menagih simpati itulah yang membezakan penerimaan seseorang dalam menghadapinya. Menurut Ustaz Ebit Lew, setiap daripada kita akan disoal oleh Allah di hari Akhirat. Ini bukan soal tanggungjawab siapa, tapi tanggungjawab kita untuk membuat sesuatu dan membantu saudara-saudara kita yang keadaan sedemikian susah, daif dan sebagainya. Juga semoga Allah SWT terima dan menjadi asbab kebaikan dan hidayah seluruh alam.
Dari Terengganu, kru produksi Jejak Ebit Lew bersama team Ustaz Ebit Lew bertolak ke Kedah pula. Misi kali ini dibantu Ustaz Hj Zulhazwan Ismail dari Pertubuhan Kasih Umat Malaysia. Sejurus tiba, mereka segera ke kedai membeli peralatan dan perabot untuk disumbangkan kepada sebuah keluarga daif yang mempunyai dua anak kecil dan seorang anak OKU di Kg Batu Tujuh, Baling, Kedah. Dilaporkan keluarga tersebut tidak mempunyai bekalan air, elektrik dan rumah yang selesa untuk didiami selama ini.
Kredit Foto: Astro Prima
Setibanya dirumah ini, jam 8 malam suasana sekelilingnya gelap gelita dek kerana tiada bekalan elektrik. Ustaz Ebit Lew bersama team sebelum itu mencari rumah yang lebih selesa untuk didiami keluarga ini. Berbual santai bersama pasangan suami isteri Jasnizan Hamid dan Nur Akilah Yahya, Ustaz Ebit Lew bertanya serba sedikit latar belakang keluarga ini.
Bekerja sebagai pemandu lori, pendapatannya hanya RM50 sehari. Dan jika keadaan hujan, dia tak dapat bekerja. Mengenai seorang anak OKU, banyak ujian yang perlu dihadapi Jasnizan dan isteri. Dek kerana kurang upaya, dia tidak tahu untuk bercakap ketika lapar. Apa yang dilakukannya hanya menangis. Dan ketika diberi makan, tidak lama selepas itu dia mulai mengantuk selain tidak dapat duduk lama di atas kerusi roda yang sudah terlalu uzur keadaannya.
“Kami ingat nak bantu abang pindah, boleh? Kami sewakan rumah.” hurai Ustaz Ebit Lew. “Kalau saya terima untuk kebaikan Ustaz, saya terima sebab ini demi anak-anak.
Kredit Foto: Astro Prima
Dalam kepekatan malam disertai hujan renyai, berpindahlah keluarga ini ke rumah yang lebih selesa. Menurut Ustaz Ebit Lew lagi, dalam hidupnya walaupun tak dapat tolong semua orang di Malaysia; dapat bantu beberapa orang, dapat berkongsi rezeki sedikit melegakan hatinya. Oleh kerana itulah dalam Islam kita ada bantuan zakat, perlu berinfak, bersedekah kerana itulah harta untuk Akhirat kita. Ada insan yang bertanyakan kepadanya, “Ustaz rajinnya, Ustaz tak penat ke?” Baginya, ini adalah apa yang Allah gerakkan hatinya untuk membantu. Kerana doa-doa mereka dan kasih sayang Allah kita sama-sama membantu. Mungkin doa kakak ini atau doa daripada sesiapa, kita tak tahu. Bahkan kami tak rancang daripada awal. Ini semua adalah rahmat Allah SWT dan ajaibnya doa. Kita tak harapkan apa-apa balasan daripada orang lain. Kita cuma nakkan keredaan Allah SWT”.
Pesan Ustaz Ebit Lew Aisyah radhiyallahu anha pernah sekali Nabi Muhammad SAW bersedekah tinggal sedikit bahagian peha kambing. Dia bertanya kepada Nabi Muhammad, ‘Ini sahaja yang tinggal?’ Jawab Nabi Muhammad, ‘Semua itu untuk kita. Yang bukan untuk kita cuma peha. Yang sedekah semua tinggal satu peha. Dan rupanya yang peha bukan kita punya. Tapi apa yang kita beri itulah untuk kita di hari Akhirat. Apa yang kita simpan itu belum tentu milik kita tapi apa yang kita beri untuk orang lain sudahpun pasti untuk disimpan di hari Akhirat.
Kredit Foto: Astro Prima
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live