“Bukan hanya kami, ramai lagi yang sama-sama turun padang membantu mangsa banjir di sekitar negeri Pahang baru-baru ini. Alhamdulillah, kami menambah yang mana ada. Memang tidak mampu digalas oleh team kami sahaja, sokongan kerajaan dan orang perseorangan dilihat banyak meringankan beban mangsa...” Luah Ustaz Ebit Lew (UEL) mengenai misinya kali ini.


Perjalanan kali ini dilihat paling mencabar kerana terpaksa merentas begitu banyak halangan jalan yang ditutup dek air yang menutupi jalan. Beberapa kali mereka terpaksa berpatah balik mencari jalan lain. Akhirnya, mereka dihantar menggunakan bot kerana sesetengah kawasan telah terputus hubungan dengan kawasan luar.


Keadaan menyayat hati dapat dilihat sekitar Kuala Lipis apabila kebanyakan rumah, sekolah, balai raya, surau, masjid, kuil dan banyak lagi bangunan awam ditenggelami banjir. Tidak terkira harta benda yang turut musnah pada banjir yang dikatakan paling teruk dalam sejarah ini.


Kredit Foto: Astro Prima


Keadaan Sesak, Padat di Pusat Sementara


Menurut UEL, ujian terbesar waktu itu adalah perjalanan dari satu ke tempat ke satu lokasi itu dengan menaiki bot bersama muatan bantuan. Pengalaman yang tidak mungkin dilupakan seisi team apabila berada di atas bot dari jam lapan pagi hingga tiga petang. Namun, ia berbaloi apabila kedatangan mereka disambut dengan wajah ceria setiap mangsa.


Destinasi pertama dituju adalah di SRJK (C) Chung Hwa yang menjadi penempatan sementara untuk mangsa banjir di sekitar kampung berhampiran yang ditenggelami air. Menurut sukarelawan di situ, keadaan di situ agak padat dan sesak kerana saban hari menerima mangsa baru.


“Kami tidak sampai hati untuk menolak tetapi khemah pun sudah tidak mencukupi dengan ruang yang terhad,” Ujar beliau.


UEL menziari dari satu khemah ke satu khemah bertanya khabar mereka seisi keluarga. Ada yang sudah uzur, beranak kecil, mempunyai anak OKU dan pelbagai latar kehidupan yang menghiasi kisah bantuan kali ini buat UEL sebak mendengar setiap keluhan itu. Selain bantuan makanan, team Jejak Ebit Lew turut menyumbangkan wang tunai, telekung dan t-shirt UEL.





Kredit Foto: Astro Prima



Ke Kuarters Polis, TNB dan Hospital Kuala Lipis


Kakitangan kerajaan yang terkandas juga tidak dilupakan. UEL sempat meninjau kawasan kuarters di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis. Memang banyak rumah dan harta benda yang rosak. Mereka terputus hubungan dan hanya mampu menunggu bantuan dari pihak luar. Kehadiran UEL tidak hanya dengan bantuan fizikal, malah membawa semangat buat mereka.


Seterusnya, team Jejak Ebit Lew ke Tenaga Nasional Berhad Kuala Lipis melihat apa kekurangan yang boleh dibantu dan ditambah serba sedikit. Mereka juga melahirkan rasa yang sama seperti mangsa banjir yang lain agar keadaan ini agar segera pulih dan diberi kekuatan untuk melalui ujian ini.



Kredit Foto: Astro Prima



Sebelum misi berakhir, UEL menjenguk ke Hospital Kuala Lipis menyantuni barisan hadapan di situ yang tidak pernah jemu dan lelah meneruskan khidmat dan bakti kepada masyakarakat setempat. Dalam keadaan sekarang ini, ramai yang memerlukan bantuan perubatan dan rawatan tanpa mengira waktu.


Yang lebih tragik, apabila jururawat bertugas terpaksa menghantar ubat-ubatan yang diperlukan masyakarat menggunakan bot. Melihat sekitar Kg. Tanjung Jambu juga keadaan yang sama membelenggu mereka dengan rumah dan banyak harta benda tidak dapat diselamatkan.


Banyak kata-kata semangat dan motivasi yang dititipkan UEL kepada mangsa banjir yang ditemui. Antaranya bahawa di sebalik ujian ada rahmat. Allah pasti memberikan suatu ganjaran selepas ditimpakan musibah dan pelbagai dugaan kepada hamba-Nya. Ada juga yang kata kepada UEL, “Kami reda. Kalau tak banjir, kami pun tak dapat jumpa Ustaz.” Masya-Allah.



Kredit Foto: Astro Prima

Pesan Ustaz Ebit Lew:

“Saudaraku, di sebalik ujian ada rahmat. Mari kita cari semua yang hidup merata tiada tempat tidur dan sedang kelaparan. Tanyalah khabar jiran dan keluarga. Jangan biarkan seorang pun susah tanpa kita bantu mereka. Semoga ia menjadi asbab kebaikan buat kita kelak.”