Satu persatu laman web membeli-belah online dibukanya. Maklum sajalah kala hujung tahun sebegini. Semuanya berlumba-lumba adakan jualan murah di sana-sini. Jualan penghabisan stoklah, jualan hujung tahunlah, sebut sahaja apa jua panggilannya tetap sama misinya. Mahu habiskan duit kita! Hahaha.. Semua diklik, scroll up and down. Tidak berkenan yang ini dibuka pula yang lain. Berjam-jam lamanya dia mengadap di hadapan skrin komputer. Asalnya mahu take a break tetapi lain pula jadinya. Baik dalam talian mahupun physical store, boleh rambang mata dibuatnya.


Tidak cukup dengan itu, dibuka pula Instagram. Kali ini matanya melirik tajam kepada seleksi personal shopper yang menawarkan pelbagai perkhidmatan membeli-belah. Daripada fesyen dan bermacam-macam kelengkapan peribadi. Semua mahu dibeli. “Lebih trending beli online ni,” jawab Alia. Ada pula soksek-soksek yang tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan Alia. Masakan tidak, ia telah ‘memakan’ waktu bekerja. “Beli tidak juga aku tengok. Buang masa aje,” terdengar suara Mariam membebel. Tidak diendahkan suara itu, Alia kembali membelek telefon pintarnya. Dan ia berlarutan hingga tamat waktu bekerja.
Kembali ke pejabat keesokan harinya, rutin Alia masih sama. Mengambil kesempatan kerana bos bertugas di luar kawasan, dia semakin ligat meneroka dari satu laman web membeli-belah ke laman seterusnya. Berang dengan tindakannya, rakan sekerja yang lain mula menyindir. Namun sindiran tersebut dipandang sepi.


Kredit Foto: Google


Seolah-olah mahu membuktikan apa yang disindir rakan sekerja tidak berasas, Alia kembali menyiapkan segala tugasan yang menimbun di atas meja. Sepantas kilat dan umpama robot yagn tidak berhenti bekerja, begitulah gigihnya Alia. Semua dilakukan semata-mata memenuhi nafsu singkatnya. Mariam tiba-tiba bersuara, “Rumah kau tiada internet ke Lia? Beria aku tengok kau ligat tulis di buku, ambil gambar bagai. Kalau macam ini sudah dikira menyalahgunakan harta benda pejabat. Itu belum cukup yang kau print gambar-gambar yang tiada kena mengena dengan hal kerja,” bebel Mariam panjang lebar. Namun wajah Alia tetap tidak mempamerkan riak bersalah jauh sekali terbit rasa insaf. Dia hanya berlalu melewati tempat Mariam dan pulang begitu sahaja usai mengambil helaian kertas di mesin cetak.


Belum sempat suaminya Johari menghulurkan topi keledar, Alia terlebih dahulu bersuara. Bukan bertanyakan apa menu yang perlu dimasak untuk makan malam bersama. Sebaliknya meminta suaminya membelikan beg tangan dan kasut yang dilihat di sebuah laman web. Bingkas Johari menjawab, “Kita bincang di rumah saja,” lantas disambut dengan wajah masam mencuka Alia. Begitulah rutin harian pasangan ini. Setiap hari si suami menghantar si isteri ke pejabat dengan menaiki motosikal. Alasan Johari berasas kerana mahu mengelakkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak selain menjimatkan masa dan wang petrol. Melainkan jika keadaan terdesak, mereka akan menaiki kereta. Hidup sederhana mereka seperti juga pasangan suami isteri yang lain. Semuanya bercatu sesuai dengan pendapatan yang di raih untuk menampung keperluan seisi keluarga. Dengan anak yang masih bersekolah, berderet empat orang menuntut Johari bekerja mencari pendapatan sampingan dengan menjual beger di hadapan rumah. Dan Alia pula hanya mengambil kesempatan dan peluang dengan wang pendapatan diraih. Benar suami harus memberikan nafkah kepada isteri. Tetapi apa yang dilakukan Alia sudah melampau batas.


Kredit Foto: Google

Tiba di pejabat keesokan harinya, Alia terjebak pula dengan halaman personal shopper. Semuanya gara-gara Laili yang ‘mengajarnya’. Laili, pembantu pejabat terlebih dahulu menggunakan khidmat personal shopper di laman instagram untuk membeli pelbagai barang keperluan. Waktu makan tengah hari mereka diisi dengan membelek laman instagram yang menawarkan khidmat ini. Menjanjikan rekaan asli pada harga yang murah berbanding butik mewah, terjerat juga Alia dengan sogokan temannya itu. “Aku baru beli lady Dior saiz medium. Cantik gila beb. Bila aku jinjit aje, terus feeling macam artis! Harganya dalam RM13,500 tapi personal shopper yang aku beli ni okay. Bayar deposit 50% dulu. Sebelum dia terbang pergi shopping bayar bakinya,” terang Laili bersungguh. Dalam diam Alia mencongak, 50% daripada RM13,500 adalah RM6,750. Mana mungkin dia mampu membayar sejumlah besar wang tersebut. Hatinya memendam rasa. Teringin bukan kepalang mahu memiliki beg tangan tersebut. Pasti dia tidak mahu ‘kalah’ kepada Laili yang jauh lebih rendah pangkat daripadanya. Daripada sudut yang lain , hatinya berkata-kata. “Memanglah si Laili mampu beli sebab suaminya jurutera di pelantar minyak cari gali. Gaji sebulan di pelantar yang sebanyak RM20,000 mampu ‘kenyangkan’ selera isteri hingga bertahun-tahun,” ngomel Alia dalam hatinya.
Kredit Foto: Google


Dan hari itu berlalu dengan rasa yang berat bagi Alia. Berat hati bagaimana mahu menyusun kata ingin meminta RM4,950 daripada suaminya untuk membeli beg tangan Louis Vuitton Bagatelle. Seperti hari-hari dan tahun-tahun sebelumnya, Alia menggunakan kepakaran dan kemahirannya yang pandai lagi bijaksana mencairkan hati suami. Kerja-kerja rumah dilakukan seperti biasa. Selesai Johari menutup gerai beger mereka, semua kelengkapan dicuci Alia. Dan setelah siap semuanya, Alia memulakan ‘misi’nya. Gaun malam jarang perincian renda hitam disarung. Johari memandang tanpa berkedip. Malam itu umpama malam pertama bagi mereka. Dan dipenghujungnya, Alia berbicara separa berbisik pada suaminya. Meminta Johari sejumlah wang tersebut atas alasan sudah lama mengidamkan beg berjenama mewah juga sebagai hadiah sempena hari jadinya bulan hadapan. Tidak lama selepas itu, Johari mengangguk tanda setuju. Alia tersenyum puas dan bangga. Taktiknya menjadi dan terbukti misinya yang tidak mahu kalah pada Laili menampakkan hasil.


Selepas beberapa minggu, Alia menerima pesanan mesej whatsapp daripada personal shopper memintanya menyelesaikan baki wang pembayaran. Termangu seketika dan entah daripada sumber mana mahu dia cari untuk mencukupkan pembayaran tersebut. Mahu meminta kepada Johari bimbang dimarahi pula. Lantas jalan pintas yang diambil, Alia membuat pinjaman peribadi tanpa pengetahuan Johari. Manakala Raden bertindak sebagai pemohon. Bebanan hutang sedia ada selain komitmen kewangan yang tinggi tidak mengizinkan Alia untuk membuat sebarang pinjaman. Dek kerana simpati kepada saudara sendiri, maka Raden turutkan jua. Alasan Alia, pinjaman tersebut dibuat untuk membuat ‘overlap’ sebagai membayar sebahagian besar hutang-hutangnya. Berpuas hati dengan sebab-musabab yang diterangkan Alia, Raden menurunkan tandatangan pada semua dokumen yang diperlukan.


Kredit Foto: Google


Siapa yang tidak gelap mata jika puluhan ribu ringgit sudah ada dalam genggaman bukan? Begitulah juga yang berlaku kepada Alia. Sebahagian besar wang pinjaman peribadi tersebut digunakan untuk menukar isi wardrobenya. Hanya yang berjenama sahaja dibeli. Baik pakaian, beg tangan dan kasut. Apabila Johari bertanya daripada mana dia peroleh sejumlah besar wang demikian, jawab Aulia ia adalah pemberian bonus hasil prestasi kerjanya yang memperlihatkan peningkatan. Disambut dengan nada syukur lagi gembira, ‘kejayaann’ itu dikongsi Aulia bersama keluarganya. Kini Alia sudah mula bijak mengatur langkah merencana percutian keluarga pula. Mahu ke luar negara bercuti dengan wang tersebut. Reward katanya. Namun demikian, keseronokan mereka tidak bertahan lama apabila Alia gagal melunaskan bayaran bulanan seperti yang dijanjikan. Panggilan daripada bank saban kali mengganggu hari-hari Raden hingga naik berang dibuatnya.


Segera Raden menghubungi Alia meminta penjelasan. “Aku dapat panggilan daripada bank. Kata mereka dua bulan kau tak bayar. Kau jangan main-main Lia. Tak pasal nama aku blacklist nanti,” sergah Raden. Suaranya terketar-ketar ketakutan. Sambung Raden lagi, “Lebih baik kau cari jalan jelaskan bayaran ni. Jangan sampai aku call Jo pula nanti,” sengaja Raden mengugut. Alia merayu agar Raden merahsiakan perihal ini. Namun keadaan masih berlanjutan hingga memasuki bulan ketiga. Kali ini Raden sendiri yang mengeluarkan wang menjelaskan bayaran tertunggak. Dan dalam perjumpaan keluarga, kami sekadar berlagak seperti tiada apa yang berlaku kerana masing-masing mahu menjaga hubungan baik sesama keluarga. Namun tidak kesampaian kerana surat daripada bank akhirnya sampai ke tangan Johari. Sangkanya Alia telah berubah dan insaf kerana insiden sama sudah berlaku kepadanya di awal perkahwinan mereka dahulu. Alia galak berhutang semata-mata mahu dilihat menjalani kehidupan yang mewah. Namun akhirnya terikat dengan hutang keliling pinggang. Hingga bergolok gadai suaminya mencari dan meminjam wang demi menyelasaikan bayaran kad kredit. Kali ini dengan pinjaman peribadi pula. Pertengkaran mereka suami isteri sampai juga ke pengetahuan Raden. Sedang ralit Raden menonton televiusyen petang itu, kiriman whatsapp Raden terima daripada Johari. Dia meminta nombor akaun untuk memulangkan wang yang telah Raden bayarkan untuk melunaskan pinjaman peribadi yang tertunggak. Mungkin kerana malu, dia lebih selesa berkomunikasi menerusi whatsapp. Dan seboleh mungkin Johari akan mengelak bertemu Raden jika ada perjumpaan keluarga.


Kredit Foto: Google


Susulan insiden itu, pendapatan Alia dicatu dan dikawal ketat suaminya. Tiada lagi pembelian online atau personal shopper untuk membeli keperluan fesyen isterinya. Saranan Raden buat wanita diluar sana, ukurlah baju pada kain sendiri. Jika diri tidak mampu janganlah pula meminta-minta pada suami yang juga tidak berupaya memperuntukkan selepuk duit. Benar lagi sahih pemberian nafkah zahir dan batin itu tanggungjawab suami saat dia berjabat tangan dengan Tok Kadi. Tetapi harus difahami klausa nafkah zahir itu. Tidak salah mahu tampil bergaya dan sering dilihat up-to-date tetapi jangan sampai menjerat diri dan terbeban dengan hutang piutang. Bagi Raden fesyen itu berkisarkan sesuatu yang mahal, mewah, berjenama dan hanya orang yang mampu sahaja bisa menggayakan dengan lagak gemilang lagi cemerlang. Tetapi fesyen juga bergantung kepada kebijaksanaan kita untuk memperagakannya. Bijak adun, campur dan padu padan. Biar nampak mahal helaian baju yang disarungkan walhalnya sekadar membeli di pekan minggu atau pasar malam atau dimana-mana jua.