Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
gaya hidup

Kata Orang Suami Isteri Muka Sama Tandanya Jodoh Kuat. Macam Adik-Beradik Iras Wajah Mereka. Ini Sebabnya.

Huda Hussain 18/03/2021 | 15:00 MYT
Tidak dapat disangkal lagi bahawa jodoh, ketentuan ajal, maut dan rezeki semuanya perancangan Allah. Tetapi berbicara soal jodoh, pasti ada yang pernah melihat pasangan suami isteri seakan mirip wajah mereka. Walaupun tidak sama 100 peratus tetapi iras, bentuk wajah seakan serupa dan tidak kurang juga ada yang punya aura sama. Wah, hebat bukan? Kuasa Allah dan dengan izin-Nya tiada siapa yang mampu menghalang.
Teori dangkal dan andaian singkat lagi mudah yang selalu kita rumuskan adalah ia satu kebetulan. Benar, tiada salahnya. Bahkan orang tua dahulu ada berkata jikalau suami isteri punya wajah yang seakan sama, maka panjanglah jodoh mereka. Sejuk, serasi dan sebagainya. Tetapi tahukah anda, sebenarnya daripada sudut psikologi, terdapat enam faktor yang menjadikan wajah suami isteri ini boleh jadi seiras.
Kredit Foto: IG Irma Hasmie
1. Banyak Habiskan Waktu Bersama
Mengikut kajian psikologi yang dilakukan oleh Newheathadvisor(dot)com, semakin kerap suami dan isteri menghabiskan dan meluangkan waktu bersama, maka semakin mirip rupa mereka antara satu sama lain. Hal ini berlaku kerana disifatkan cara hidup mereka sudah bersatu dan berupaya mempengaruhi satu sama lain. Sementelah bergelar suami isteri pasti banyak pengalaman, momen dan aktiviti dilakukan bersama-sama. Misalnya daripada rutin harian, menjalani pelbagai aktiviti dan perkara lain tanpa disedari, pengalaman-pengalaman inilah yang berupaya mengubah diri pasangan sedikit demi sedikit.
2. Menyerupai Ibu Bapa Anda
Kajian sama turut mendedahkan seorang lelaki cenderung untuk berkahwin dengan seseorang yang memiliki karakter atau personaliti seakan ibunya. Bahkan ia bagaikan satu bonus jika seorang wanita mempunyai ciri-ciri tersebut tidak kira dari aspek tingkah laku, habit atau rupa paras. Selain itu, faktor yang paling signifikan adalah termasuk warna rambut, warna mata dan umur ibu bapa mereka. Sekiranya ibu bapa tidak terlalu muda ketika melahirkan mereka, kelazimannya mereka akan mencari pasangan yang lebih tua berbanding usia mereka.
Kredit Foto: Google
3. Tertarik Dan Cari Wajah Yang Mirip Dari Awal
Tanpa kita sedari, semasa mencari calon suami atau isteri; kita sebenarnya mencari pasangan atau seseorang yang memiliki sedikit sebanyak persamaan dengan diri kita termasuk dalam cara dan selera berpakaian, hobi atau minat juga aspek keterampilan diri. Malah, terdapat segelintir wanita mencari pasangan yang mirip dengan bapa mereka. Kerana figura itulah yang dilihat sejak kecil. Membesar dengannya dan secara tidak langsung mudah terikut dengan ciri-ciri yang ada pada bapa. Jika dari awal sudah bertemu orang yang mirip, sudah pasti apabila menjadi suami isteri persamaan itu akan menjadi semakin ketara.
4. Emosi Boleh Ubah Karakter Wajah
Ahli Psikologi Sosial, Robert Zajonc pernah mencetuskan soal konsep Sosial Facilitation pada 1965. Menurutnya, konsep itulah yang menjadi jawapan mengapa banyak suami isteri yang wajahnya boleh seakan-akan antara satu sama lain. Sosial Facilitation misalnya adalah tindakan menunjukkan emosi atau reaksi yang berbeza antara waktu seseorang bersendirian dan semasa bersama orang lain. Ini berlaku kerana manusia mempunyai perasaan empati dan biasanya emosi serta reaksi yang ditunjukkan disesuaikan dengan orang yang berada dekat dengannya. Secara tidak langsung, otot-otot tubuh berkembang atau berubah mengikut fungsi dan kegunaannya. Misalnya, pasangan yang sering ketawa bersama akan memiliki kedutan yang sama pada wajahnya. Kalau sama-sama suka berbual, maka struktur pipi mereka akan ikut berubah. Menarik kan?
Kredit Foto: Google
5. Meniru Habit Dan Kesukaan Pasangan
Faktor ini terbukti dengan foto pasangan suami isteri yang sudah 25 tahun berkahwin dan wajah mereka nampak sangat mirip. Para psikologi dari Yale University juga berkongsi buah fikiran mereka bahawa jika pasangan suami isteri akan saling meniru kebiasaan pasangannya tanpa sengaja dan menyukai apa yang pasangannya sukai.
Kredit Foto: Google
6. Sistem Imun Serupa
Sistem imun dalam tubuh mencerminkan gaya hidup seseorang termasuk pemakanan dan senaman fizikal. Sekumpulan pengkaji membuat kesimpulan bahawa pasangan yang telah lama berkahwin mempunyai sistem imun yang serupa. Besar kemungkinan ia berlaku kerana mereka sering berkongsi tabiat dan gaya hidup mereka secara umum.
#Suami Isteri #Jodoh #Wajah
;