Highlights
Kata Orang Tua, Berdahi Luas Itu Bijak Orangnya. Tapi, Sejauh Mana Bentuk Wajah Mempengaruhi Karakter Seseorang?
Menerusi tulisan artikel ruangan Khas Gaya Hidup edisi Disember 2016 lalu, secebis ilmu dalam mengenali dan memahami karakter seseorang berdasarkan bentuk wajah masih relevan hingga hari ini. Begitulah resam ilmu, takkan pernah ada tarikh luput malah bermanfaat untuk diamalkan. Percaya? Terpulang kepada pegangan masing-masing. Tetapi yakinlah bahawa setiap ciptaan Ilahi itu sememangnya sudah tersedia cantik, sempurna dan cukup sifatnya. Jika ia istimewa, pasti ada hikmah disebaliknya. Menerusi temubual bersama Jessie Lee, Pengasas Soleil Trinity Resource; sebuah badan konsultan profesional dalam Chinese Metaphysics yang memfokuskan kepada kepakaran analisa Tarot Card reading, Bazi consultation, Palm and Face reading, Feng Shui consultation dan Auspicious Date selection huraian berikut boleh ditelusuri bersama.
Kredit Foto: Google
Bagaimana dengan bentuk wajah seperti (bujur, bulat, segi empat, bujur dan segi tiga) apakah tafsirannya?Bentuk Wajah Segi Tiga
Bentuk wajah ini lebih tajam pada dahi dan luas pada dagu mewakili elemen api yakni mereka yang memiliki bentuk wajah ini lebih ekspresif, tidak sabar, mempunyai banyak idea dan hands on. Lihat juga pada tona kulit anda sama ada ia kemerah-merahan atau sedikit gelap. Jika anda memiliki bentuk wajah ini (fire face) lazimnya anda mempunyai minat yang mendalam terhadap sesuatu yang dilakukan dan secocok jika dipadankan dengan mata yang terang dan bertenaga.
Bentuk Wajah Segitiga Terbalik
Bentuk ini juga dikenali sebagai wood shape yakni tajam pada bahagian dagu dan luas pada dahi. Antara pemimpin dunia yang memiliki bentuk wajah ini adalah Barrack Obama. Elemen ini memperlihatkan seseorang itu mahukan pertumbuhan dan perkembangan baik dalam aspek intelektual dan emosional. Biarpun keadaan sekeliling dilanda kemurungan, mereka masih lagi mahukan sesuatu yang boleh membawa kepada pertumbuhan juga perubahan. Contohnya dalam perspektif karier, jika seseorang itu melihat kerjayanya mendatar dan tiada cabaran; dia akan memilih cabang-cabang yang dapat memacu potensi dirinya untuk berkembang. Malah mereka mempunyai kecenderungan untuk berubah-ubah dan tidak kekal pada satu-satu tempat sahaja. Contohnya supermodel dan artis. Mereka akan berhijrah, mengembara ke negara lain umpamanya untuk mencari peluang dan pilihan yang lebih banyak dan baik. Selain itu, mereka juga tidak gemar tinggal di rumah kerana lebih merasa ‘hidup’ jika berada di luar. Mereka yang memiliki bentuk dagu tajam adalah seorang yang ceria dan suka berlibur.
Kredit Foto: Google
Bentuk Wajah Bulat
Ia tergolong dalam kategori elemen air atau water face. Daripada segi tona kulit, adalah lebih baik karakter anda memiliki kulit yang cerah atau keperangan (tan skin). Selain itu mereka yang memiliki bentuk wajah ini adalah seorang yang periang, fleksibel, mesra, bekerja keras, mudah menyesuaikan diri dan tahu menikmati hidup.
Bentuk Wajah Bujur
Bentuk wajah ini tergolong dalam kumpulan elemen metal (logam) yang lebih bercirikan aspek kepemimpinan dan perlambangannya dalam astrologi Cina adalah umpama kesatria sementelahan individu ini boleh memimpin dan mengetuai. Mereka yang memiliki bentuk wajah ini berkebolehan dalam soal mengurus, menangani dan menyelesaikan masalah. Mereka ini lazimnya punya banyak idea dan pantang dicabar. Contohnya jika diberi sesuatu tugasan, mereka tidak akan merungut tetapi sebaliknya mereka akan buktikan bahawa ia mampu disempurnakan dengan sehabis baik.
Kredit Foto: Google
Bentuk Wajah Segi Empat
Bentuk wajah ini mewakili elemen bumi dan usahawan mereka sama ada memiliki bentuk wajah ini atau berbentuk bulat. Namun kebanyakan usahawan yang berjaya lazimnya mempunyai wajah bersegi empat. Dan apabila berbicara mengenai usahawan, ia adalah antara soal keazaman, kesungguhan dan tindakan. Ini kerana bentuk segi empat pada tulang rahang adalah simbolik kepada sejauh mana mereka mampu mengharungi dan bertahan dengan pelbagai kesukaran dan cabaran (aspek fizikal). Manakala bentuk mirip segi empat pada hujung dahi pula mewakili tafsiran sejauh mana mereka mampu mendepani cabaran daripada aspek pemikiran (mental). Dan menurut kepercayaan astrologi Cina, mereka yang mempunyai bentuk wajah ini mampu mencapai apa yang diingini. Contohnya usahawan terkemuka Jack Ma.
Apakah saranan anda jika terdapat kekurangan pada wajah seseorang, apakah solusi terbaik mengatasinya?
Segala yang terpapar pada wajah anda sebenarnya cuma menyimpulkan maklumat tertentu. Contohnya mungkin anda berhadapan dengan kekurangan seperti kening nipis, atau mungkin kening terlalu serabut. Ia sekadar memberikan maklumat mengenai potensi kekurangan yang ada pada diri seseorang. Dan jika anda sudah mengetahui kekurangan dan kelemahan yang ada, ia terpulang kepada prinsip diri yakni tindakan anda terhadapnya. Adakah anda mempercayainya? Anda ingin berubah? Segalanya berbalik kepada diri anda sendiri. Pilihan dan tindakan itu ada dalam tangan dan pemikiran sendiri. Misalnya, perihal kening serabut tadi ia mewakili tafsiran bahawa anda seorang yang seringkali keliru. Namun demikian, tindakan yang perlu diambil adalah cuba tanganinya dari peringkat permulaan. Jika anda berkata ‘Ya’ kepada orang lain barang kali ia bermaksud anda berkata ‘Tidak’ untuk diri sendiri. Kerana ia seakan memaksa diri untuk cuba melakukan sesuatu perkara di luar kemampuan diri. Maka, tindakan yang sewajarnya adalah yakinkan diri untuk bersuara dan berikan pendapat yang akhirnya tidak akan membebankan diri anda.
Kredit Foto: Google
Bagaimana pula dengan pembedahan plastik umpamanya, adakah ia membantu atau mempengaruhi analisis ini?
Jika anda merasakan ia adalah yang terbaik, silakan. Tetapi pada hemat saya, ia tidak akan mengubah hidup anda selagi anda tidak meletakkan tekad untuk bertindak dan benar-benar berubah. Berubah yang saya maksudkan adalah daripada aspek dalaman. Benar, anda mengetahui beberapa kelemahan yang dapat dibaca pada wajah. Lantas bertindak untuk mengubahnya agar kelihatan lebih cantik dan sempurna. Pada saya, ia sekadar self denial. Apa yang penting ialah, apabila setiap kekurangan dan kelemahan dikenal pasti, cuba perbaikinya. Lakukan perubahan secara berperingkat. Contohnya, hidung anda kecil dan ia memberi tafsiran anda kurang keyakinan diri. Dan langkah yang sewajarnya anda lakukan adalah latih diri secara konsisten untuk cuba cungkil keyakinan diri. Dan dalam isu ini, bahasa tubuh boleh membantu sedikit-sebanyak.
Kebaikan dan manfaat daripada analisis ini dalam melestarikan perjalanan hidup seseorang, kongsikan?
Jika seseorang itu benar-benar ingin memperbaiki dan meningkatkan potensi diri juga seluruh hidupnya, analisis ini dapat membantu dalam mengenal pasti kekurangan dan kekuatan yang ada pada diri anda. Secara asasnya analisis ini adalah ramalan dan jangkaan yang secara tidak langsung akan mampu membantu untuk menangani dan mengawal jika terdapat sebarang kemungkinan berlaku di masa akan datang. Misalnya, sediakan payung sebelum hujan, begitulah perumpamaannya. Tiada istilah magikal dalam analisis ini dan jika ada sekalipun mungkin satu kebetulan kerana apa yang terpapar pada wajah anda tidak bisa menipu dan anda sama sekali tidak dapat lari daripadanya.
Must-Watch Video