Read

Kehilangan Paling Besar Dalam Hidup – Shuib, Saat Perginya Nenek Dan Mamat, Ketika Hilangnya Jep Sebagai Sahabat.

gempak
Afiza Kamarulzaman
23/07/2020
11:07 MYT
Sponsor Banner
Kehilangan Paling Besar Dalam Hidup – Shuib, Saat Perginya Nenek Dan Mamat, Ketika Hilangnya Jep Sebagai Sahabat.
Rancangan Rumah 107 tayangan di Astro Warna episod malam ini pasti menjentik satu perasaan berbeza kepada ahli kumpulan Sepahtu, Shuib dan bekas ahli kumpulan itu, Mamat. Yang selalu mereka hidangkan kepada kita selama ini adalah gelak tawa dan senda jenaka mereka yang sentiasa menghiburkan.
Dan, jam 9 malam ini, senarionya agak berbeza. Walau awalnya, mereka cuba menyuntik gaya selamba dan mencuit hati penonton, namun percayalah di penghujung nanti kamu pasti terkesan atau mungkin turut mengalirkan air mata dengan kisah yang mereka kongsikan.
Sesuatu yang jarang kita dengarkan daripada seorang yang bernama pelawak.
Permulaan Jalan Cerita Sepahtu
Mungkin ada yang sudah mengetahui bagaimana Sepahtu bermula dan tertubuh? Namun, bagi yang tidak tahu pasti teruja mendengar bagaimana tiga sahabat ini pernah bersatu secara terancang dan tidak sengaja.
Ketiga-tiga mereka ini berasal dari tempat yang sama, Kulai, Johor dan berkongsi impian yang satu menggapai bintang yang dilihat indah.
Jep adalah individu yang bertanggungjawab mempertemukan Shuib dan Mamat. Jep dan Mamat merupakan kawan baik sejak kecil lagi dan sangat popular dengan kenakalan mereka di Kulai.
Shuib yang memang bercita-cita mahu menjadi artis agak terkesan apabila satu hari melihat muka Jep dan Mamat terpapar di surat khabar apabila pergi ujibakat Raja Lawak 2.
Sedangkan Shuib yang sudah beberapa kali mencuba nasib di ujibakat Akademi Fantasia tidak pernah berjaya untuk memasuki rancangan realiti popular itu.
Dan, ditakdirkan Jep dan Mamat layak masuk ke Raja Lawak 3 bersama lagi seorang kawan mereka, arwah Jamal. Nak dijadikan cerita, pada ujibakat terakhir untuk melayakkan mereka masuk ke Raja Lawak 3 itu, Jamal tidak dapat ikut kerana komitmen kerja.
Sudah tertulis rezeki Shuib, tempat arwah Jamal digantikannya oleh Shuib. Maka, bergandinglah mereka bertiga ini sebagai Sepahtu dalam mencuba nasib sebagai anak seni. Percaturan itu tidak silap apabila kemunculan mereka berjaya mencuri hati peminat.
Sehingga kini Sepahtu kekal memahat nama walaupun Mamat kini ‘terasing’.
Kehilangan Jep, Detik Paling Teruk Dalam Hidup Mamat
Keretakan dalam hubungan mereka bertiga akhirnya tidak dapat disorok lagi apabila Mamat secara tiba-tiba mengundur diri daripada kumpulan Sepahtu.
Ramai peminat yang kecewa kerana di kala Sepahtu sedang di puncak kegemilangan, mereka akhirnya berpecah disebabkan alasan yang tidak berapa jelas.
Dalam program Rumah No. 107 malam ini, Mamat mengakui yang hubungan persahabatan dia dan Jep yang keruh memberi impak yang sangat besar dalam hidupnya. Ia adalah fasa paling teruk yang dilalui sepanjang hidupnya apabila kehilangan sahabat yang amat disayanginya iaitu, Jep.
“Hanya kalau orang tahu betapa akrabnya saya dan Jep... Kami berkawan sejak kecil lagi. Sekolah sama-sama, bekerja sama, membesar sama-sama. Banyak yang kami lalui bersama sehinggakan kami pernah berjanji untuk mati bersama.
Rambut panjang pun sampai sekarang sama. Dan, nombor hujung kad pengenalan kami pun sama iaitu 5533. Begitulah betapa banyaknya persamaan kami,” imbas Mamat.
Namun, selepas mendaki tangga kejayaan bersama-sama, siapa sangka hubungan mereka diuji hebat? Perihal kerja menjadi punca awal yag kemudiannya melarat sehingga berlaku perbalahan yang tidak diperincikan Mamat.
“Ketika kehilangan Jep sebagai sahabat satu masa dulu, saya berkata sendiri, mana lagi saya nak cari sahabat sebaik ini? Keadaan memisahkan kami, hal kerja dan mungkin juga hasutan orang, saya tak pasti.
Yang pasti, saya tidak menyalahkan Jep dan Shuib. Saya tiada apa-apa persoalan terhadap apa yang telah berlaku antara kami.”
Mamat yang dilihat agak beremosi kala bercerita hubungannya dengan Jep turut meluahkan perasaannya kepada Jep dan Shuib secara jujur. “Saya ingin katakan di sini walaupun kau pernah hancurkan nama aku dulu, tapi aku sikit pun tak simpan dendam.
Saya maafkan semuanya dan saya pun akui salah saya. Terus-terang saya katakan kepada Jep, aku tidak mahu jika ditakdirkan aku mati nanti, kau datang kepada isteri aku cakap yang kau pernah ada dosa dengan aku.”
“Dengan hati yang ikhlas saya lupakan semuanya dan kau memang tak ada apa-apa salah dengan aku. Kalau kau mati dulu, aku janji aku akan bacakan talkin di liang lahad kau.
Aku akan ada di sisi kau nanti. Sampai bila-bila kumpulan Sepahtu tetap berada di depan aku walau aku pernah ada kumpulan lain satu masa dulu, tapi korang berdua tetap yang pertama di hati aku,” tutur Mamat membuatkan Shuib hanya terpaku di sebelahnya.
Pemergian Nenek Buat Shuib Hilang Hala Tuju
Entahlah, kan. Sama ada kebetulan atau begitulah catatan kehidupan seorang pelawak yang ditakdirkan. Kebanyakan mereka melalui ceritera kehidupan yang penuh warna dan sentiasa diuji dengan ujian yang berat untuk kita pikul.
Agaknya inilah kekuatan yang Tuhan berikan buat mereka yang sentiasa mampu menyembunyikan lara di sebalik jenaka mereka itu.
Shuib turut berkongsi pengalaman paling sedih dalam hidupnya apabila Nenek yang membesarkannya sejak berusia lapan bulan pergi menyahut seruan Illahi. Mak dan ayah Shuib berpisah menyebabkan dia diserahkan kepada Nenek untuk dijaga sehingga berusia 17 tahun.
Sehinggakan Nenek pun dipanggil Mak. Bagi Shuib Neneklah ibunya.
Sehinggakan pada usianya enam tahun, Shuib masih ingat ketika Hari Raya, tetamu datang ke rumah dan bertanyakan kepada Shuib. “Mak tak balik ke?” Buat Shuib jadi keliru.
Inilah Mak saya. Merujuk kepada Nenek yang menjaganya dari kecil. Tiada orang lain yang paling penting dalam hidup Shuib waktu melainkan Nenek.
Detik yang paling tidak boleh dilupakan Shuib adalah ketika umurnya sekitar tujuh ke lapan tahun apabila tiba-tiba Nenek mengejutkannya dari tidur. Nenek memberitahu Mak datang.
Dalam keadaan mamai dan keliru, Shuib menemui wanita yang dikatakan Mak itu. Mak peluk Shuib. Mak putih orangnya. “Saya hanya mampu diam kerana dalam proses untuk memahami apa yang dah berlaku?” kata Shuib.
“Pada usia 19 tahun, Nenek meninggal dunia. Itulah detik paling dasyat dalam hidup saya. Saya ‘lost’. Usia 19 ke 25 tahun adalah zaman gelap saya di mana saya mula menjadi anak yang memberontak, degil dan sentiasa buat hal. Kecewanya saya waktu itu sampaikan saya tidak mahu berpuasa dan menyambut Hari Raya.”
Kenangan Raya dengan arwah Nenek pasti tidak dapat dilupakan. Setiap pagi Raya, nenek akan mandikan Shuib dan doakan Shuib. Sebelum tidur, Shuib akan lihat Nenek membaca al-Quran dan Shuib akan tertidur bersama alunan mengaji Nenek itu.
Mana mungkin Shuib mampu lenyapkan semua memori itu.
“Nenek adalah orang paling saya sayang sekali selain Mak dalam hidup saya. Walau busuk macam mana pun Nenek dulu, kalau selepas dia balik bekerja kampung, saya tetap akan peluk cium Nenek. Itulah kenangan yang tak mungkin dapat saya lupakan sampai bila-bila. Rindu itu hanya Tuhan yang tahu.”
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live