Highlights
Keluar Konti Radio, ADIFASHLA Kini Jual T-Shirt, MERAJUK KE? — “Eh, T-Shirt Sekarang Trendy Tau!”
“Merajuk ke? Tak adalah merajuk sangat. Biasalah apabila sudah lama berada di sesuatu tempat itu, masanya untuk mengubah haluan mencuba sesuatu yang baru agar tidak tepu,” begitu luah Adi sebaik penulis bertanya khabarnya yang mungkin bawa hati meninggalkan konti Sinar?
Kecintaanya sebagai juruhebah radio dan Sinar masih mendalam, terutamanya buat peminat dan pengikut yang selama ini setia bersamanya sepanjang bersiaran. Namun, hakikat ini harus diterima semua. Sampai masa, suara yang selalu mereka dengari itu pasti akan lenyap.
Memikirkan kesetiaan peminatnya itu, Adi terfikir mengapa tidak mencipta satu produk yang dapat dijadikan kenangan buatnya dan para pengikut yang selama ini menyokongnya. Maka, tercetuslah #FASHbyAdifashla yang menjual t-shirt daripada hasil rekaannya sendiri.
Kredit foto: Adifashla
Cetakan Pertama; #SayangAbangTak
Siapa tidak biasa dengan segmen Santai Sinar yang menggandingkan Adi dan Salih Yaccob yang sangat popular dulu. Segmen ini antara yang sangat dinantikan pendengar radio Sinar sehinggakan ramai yang menangis apabila kedua-dua mereka ditamatkan kemunculannya.
Untuk mengubati kerinduan itulah, Adi munculkan t-shirt yang tertera wajahnya dan abang Salih. Pada hari pertama dilancarkan, sudah ramai yang mahu menempahnya. “Stok kami agak terhad kerana t-shirt hanya akan dicetak apabila mendapat tempahan sahaja kerana itu ia mengambil masa sedikit untuk sampai ke tangan peminat.
Apa pun, sambutan luar biasa ini benar-benar menyentuh hati saya. Sampai ada yang seloroh kata, pakai t-shirt ada gambar saya dan abang Salih ni buat orang belakang tak kusyuk sembahyang! Hahaha...”
Kredit foto: Adifashla
Mengejutkan! Pengikut Adi Ramai Budak dan Remaja
Itulah kenyataannya setelah Adi menjalankan aktiviti penjualan t-shirt ini, baru dia sedari bahawa kebanyakan pengikutnya terdiri daripada mereka yang berusia antara 12 ke 25 tahun.
“Itu yang saya pelik. Walaupun saya mengendalikan program Sinar dan kini sudah berusia 41 tahun, errr.. Kebanyakan followers saya adalah daripada golongan begini. Mungkin kerana aktiviti permotoran saya dan cara posting saya di Instagram yang buat mereka tertarik dan menganggap saya semuda mereka. Hehehe...”
Adi memandang ini sebagai sesuatu yang positif dan menjadi tanggungjawabnya untuk memberikan contoh yang baik buat mereka. “Maka kenalah dengan bisnes t-shirt saya ini juga di mana kita menyasarkan golongan muda untuk memilikinya.”
Apabila ditanya tentang konsep rekaan t-shirt Adi ini, katanya dia peminat J-Pop dan K-Pop, jadi pengaruh daripada situ juga diterjermahkan dalam ciptaannya ini. “Saya sukakan rekaan yang ringkas tapi catchy.
Unik dan eksklusif. Kalau anda membeli t-shirt ini seumpama anda membeli jiwa Adifashla itu sendiri. Semua operasi penghasilan t-shirt ini saya lakukan sendiri. Malah website dan semua foto produk pun, saya sendiri yang selenggarakan.
Kadang-kadang, kalau tidak cukup tangan, saya sendiri yang membungkus dan mengepos setiap pesanan itu.”
Oh, menariknya juga setiap T-Shirt ini dibungkus dengan kertas perak yang menarik dan eksklusif. Tulus dari hati, katanya.
Kredit foto: Adifashla
Edisi Hoodie dan Fash2020
Ini adalah koleksi baru yang sangat dinantikan Adi untuk dikongsi dengan peminatnya. Sempena tahun 2020 yang sangat ditunggu, Adi mengabadikannya pada cetakan t-shirtnya itu.
Menariknya, ia turut dikeluarkan dalam patern hoodie yang sangat chic dan stailo. Ia bersifat unisex dan boleh didapati menerusi lima warna; hitam, kelabu, merah, putih dan biru gelap.
“Rakan perniagaan selalu mengatakan saya ini agak terlalu berhati-hati! Hakikatnya, saya seorang yang sangat teliti dan mahukan kesempurnaan dalam setiap penghasilan rekaan saya itu.
Memang nampak seperti bisnes saya ini berjalan perlahan tetapi alhamdulillah masih pada landasan yang betul. Saya tidak mahu terburu-buru sehingga mengabaikan kualiti produk. Biar untung sedikit asalkan peminat berpuas hati. Bukan senang nak ambil duit orang, kan?”
Kredit foto: Adifashla
Sejauh Mana Trend T-Shirt Sekarang?
“Sekarang pun kita lihat sudah banyak jenama fesyen yang mengeluarkan koleksi t-shirt dengan pelbagai edisi dan rekaan eksklusif. Ia bukan lagi sehelai pakaian basahan yang hanya dipakai untuk acara santai semata.
Kalau kena dengan gayanya, boleh sahaja dibawa ke majlis utama,” ujar Adi tentang trend t-shirt cetakan khas yang semakin diminati netizen sekarang ini.
Kerana itulah, Adi cuba menjaga kualiti material t-shirtnya sebaik mungkin. Ia bukan sembarangan kain. Lembut tapi terletak kemas. “Boleh saya katakan t-shirt Fash ini berkualiti premium dan memang itu pun konsep yang ingin saya ketengahkan. Walaupun hanya t-shirt tapi ia bercitarasa mewah.”
Kredit foto: Adifashla
Mengimpikan Punya Butik Seperti Zara Mungkin...
Bermimpi itu tidak salah. Ia percuma bukan. Menanam impian yang mungkin akan menjadi nyata, siapa tahu? Itulah yang sedang dibayangkan Adi. Satu hari nanti Fash punya butik fizikal seperti Zara.
“Buat masa ini, kami masih merancang beberapa strategi pemasaran dan sedang mencari production team yang betul-betul boleh dipercayai. Insya-Allah, saya dan rakan perniagaan saya ada merancang untuk menembusi pasaran e-commerce.
Mudah-mudahan nanti t-shirt saya ini boleh didapati di Shopee atau Lazada mugkin? Doakan ya.”
Kredit foto: Adifashla
Kredit foto: Adifashla
Must-Watch Video