Apabila seseorang pemimpin itu menaiki jawatan sebagai Perdana Menteri, antara yang ingin diintai oleh rakyat pastinya siapa isteri pendamping beliau? Walaupun namanya isteri, namun peranannya sebagai wanita pertama lebih daripada sekadar suri hati si suami. Dia bukan lagi isteri orang biasa yang tugasannya hanya menguruskan rumahtangga.


Setakat ini Malaysia sudah bertukar sembilan kali Perdana Menteri, dan selama itu kita dapat melihat kepelbagaian karekter dan personaliti seseorang wanita pertama itu. Sempena Hari Merdeka yang disambut Malaysia kali ke 64 tahun ini, mari sama-sama kita kenali secara dekat wanita yang turut menabur jasa selama perkhidmatan suami mereka buat negara.




Tun Dato' Seri Hajah Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah

Isteri Perdana Menteri Pertama, YTM Tunku Abdul Rahman


Inilah gerangan wanita pertama, yang pertama di negara, yakni isteri kepada Perdana Menteri Pertama Malaysia, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Tun Dato' Seri Hajah Sharifah Rodziah Binti Syed Alwi Barakbah.


Dilahirkan pada tahun 1920 di Alor Star, Kedah, beliau ialah seorang saudara jauh kepada Tunku Abdul Rahman Putra. Beliau puteri kepada Syed Muhammad Alwi Barakbah yang berketurunan Hadhrami-Melayu, yang nenek moyang beliau berhijrah dari Hadhramaut ke negeri Kedah Darul Aman dan bersaudara dengan bekas TYT Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Syed Sheh Hassan Barakbah.


Walaupun Tun Sharifah bukanlah isteri pertama (isteri ke tiga) tetapi beliaulah yang memegang status wanita pertama itu kerana beliau bersama Tunku Abdul Rahman ketika menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga akhir hayatnya. Ketika bernikah, Tun Sharifah baru sahaja berusia 19 tahun. Sebenarnya, beliau merupakan adik kepada rakan baik Tunku di England iaitu Syed Omar Barakbah. Namun perkahwinan ini tidak dikurniakan sebarang cahaya mata. Lalu, beliau dan Tunku mengambil tiga orang anak angkat iaitu Sulaiman, Mariam dan Faridah.







Sebagai seorang isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, beliau amat menyokong kuat akan kerjaya suaminya. Beliau sering mendampingi Tunku dan memberikan semangat kepada Tunku untuk negara mencapai kemerdekaan. Beliau turut sama berkorban bersama para wanita untuk mempersiapkan negara menuju kemerdekaan. Beliau adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Wanita dan juga Presiden Seumur Hidup Persatuan Bola Sepak Wanita Asia bermula tahun 1974 hingga 2000.


Tun Sharifah Rodziah dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu (S.P.M.T.) oleh Tuanku Ismail Nasiruddin. Untuk mengenang jasa beliau, pada 31 Ogos 1970, Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Ismail Nasiruddin berkenan menganugerahkan Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) yang membawa gelaran 'Tun' kepada beliau. Beliau merupakan penerima wanita tunggal darjah kebesaran ini daripada kalangan orang kebanyakan.



Sebelum ini, darjah S.M.N. ini hanya dikurniakan kepada permaisuri sahaja untuk penerima dari kalangan wanita. Tun Sharifah menghembuskan nafas terakhir pada 12 Mac 2000, sepuluh tahun selepas pemergian Almarhum Tunku pada usia 80 tahun. Beliau dimakamkan di Makam DiRaja Langgar Alor Star bersebelahan dengan makam suaminya.





Tun Hajah Rahah binti Tan Sri Dato' Haji Mohamed Noah
Isteri Perdana Menteri Ke dua, Tun Abdul Razak Hussein



Tun Hajah Rahah binti Tan Sri Dato' Haji Mohamed Noah bukan hanya isteri kepada Perdana Menteri ke dua Malaysia malah ibu kepada Perdana Menteri Malaysia ke enam iaitu Dato’ Sri Najib Razak.


Tun Rahah dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Muar, Johor. Beliau ialah anak ke dua daripada empat beradik dan anak kepada Mohamed Noah Omar. Tan Sri Mohd Noah ialah Speaker Pertama Dewan Rakyat dan merupakan seorang ahli politik yang disegani ketika awal kemerdekaan negara.


Ketika bersekolah di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru, Tun Rahah diperkenalkan kepada Tun Abdul Razak Hussein yang pada ketika itu sudah menjadi ahli aktif parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) oleh Taib Andak, rakan kepada Abdul Razak semasa belajar di London. Tun Abdul Razak dan Tun Rahah berkahwin pada 4 September 1952.



Mereka dikurniakan lima putera iaitu Mohd Najib (lahir 1953), Ahmad Johari (lahir 1954), Mohd Nizam (lahir 1958), Mohd Nazim (lahir 1962) dan Mohd Nazir (lahir 1966). Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke dua pada tahun 1970.





Sebagai pasangan Perdana Menteri, Tun Rahah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan penaung Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi). Tun Rahah ialah Canselor Universiti Tun Abdul Razak, universiti yang ditubuhkan untuk memperingati jasa suaminya. Penghormatan yang diberikan kepada beliau dapat dilihat apabila semua duta besar China membuat kunjungan hormat kepada Tun Rahah setelah tiba di Malaysia kerana Abdul Razak ialah Perdana Menteri yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara Republik Rakyat China itu.


Namun, jodoh dan cinta mereka dipisahkan ajal apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia pada tahun 1976, menjadikannya balu pada usia 43 tahun. Meskipun ditinggalkan dalam usia yang boleh dikira ‘muda’ sebagai ibu tunggal, Tun Rahah tidak berkahwin lagi, sebaliknya membesarkan anak-anaknya sendiri.


Tun Rahah meninggal dunia pada 18 Disember 2020 di Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur pada usia 87 tahun. Tun Rahah telah diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Negara bagi mengenang jasa beliau sebagai seorang tokoh wanita negara dan telah disempurnakan di Lingkaran Makam Pahlawan pada 19 Disember 2020.


Sepanjang hayat Allahyarhamah, pelbagai penganugerahan darjah dan pengiktirafan diterimanya seperti Darjah Seri Setia Mahkota daripada Kerajaan Persekutuan pada 1976 yang membawa gelaran ‘Tun’, Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dan Anugerah Srikandi daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia serta menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan) daripada Universiti Utara Malaysia.


Tun Rahah juga adinda kepada Tun Suhailah, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia ke tiga, Tun Hussein Onn.







Tun Hajah Suhailah Binti Tan Sri Mohd Noah
Isteri Perdana Menteri Ke tiga, Tun Hussein Onn


Tun Suhailah dilahirkan pada 26 Oktober 1931 di Johor. Beliau ialah anak kedua daripada lima beradik kepada pasangan Allahyarham Tan Sri Haji Mohd Noah Bin Omar dan Siti Aminah Kusuma. Adik bongsu Tun Suhailah ialah isteri kepada Perdana Menteri ke dua iaitu Tun Hajah Rahah.



Tun Suhailah dibesarkan di Muar, Johor dan mendapat pendidikan di Sekolah Convent Melaka. Beliau bertemu jodoh dengan Tun Hussein Bin Dato' Onn pada Februari 1948 ketika berusia 17 tahun.


Perkahwinan ini dikurniakan dua putera dan empat puteri iaitu Hishamuddin Hussein, Harris Hussein, Datin Roquiya Hanim, Puan Sri Dr Suraiya Hani, Roziah Hanis dan Dr Rozita Halina. Anak sulung beliau, Datin Roquiya Hanim meninggal dunia pada tahun 2005 akibat kanser payudara.


Pada tahun 1976, setelah kematian adik ipar beliau iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Bin Dato' Hussein yang ketika itu bergelar Perdana Menteri, tempat Tun Razak digantikan oleh suami Tun Suhailah iaitu Tun Hussein Onn. Sepanjang lima tahun Tun Hussein menjadi Perdana Menteri, Tun Suhailah menjadi tulang belakangnya.








Sebagai isteri pemimpin negara dan wanita pertama waktu itu, Tun Suhailah lebih komited dalam memperjuangkan nasib wanita dan golongan yang kurang berkemampuan. Tun Suhailah bertanggungjawab menubuhkan Badan Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).


BAKTI didaftarkan secara rasmi pada 16 Mei 1977 hasil usaha Tun Suhailah. Beliau juga menjadi Yang DiPertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia sehingga tahun 1981. Pada tahun 1976, setelah pulang dari lawatan ke Iraq, Tun Suhailah telah menubuhkan Perpustakaan Kanak-kanak. Tun Suhailah juga merupakan Penaung Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) yang banyak membantu pembangunan wanita dan kanak-kanak dalam negara.


Tun Hussein bersara sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981. Maka tamatlah tugas Tun Suhailah sebagai isteri Perdana Menteri. Namun kerja-kerja kebajikan tetap beliau teruskan. Tanggal 29 Mei 1990 menjadi detik sedih dalam hidup Tun Suhailah apabila Tun Hussein Onn menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung pada usia 68 tahun.


Beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Mahkota (S.S.M.) yang membawa gelaran Tun oleh kerajaan persekutuan pada tahun 1990 sebagai mengiktiraf jasa dan peranan Tun Suhailah sepanjang berkhidmat untuk masyarakat. Beliau juga dianugerahkan dengan Anugerah Srikandi oleh Persatuan Pandu Puteri Kebangsaan.


Pada tahun 2007, Tun Suhailah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat masalah jantung. Semenjak itu beliau lebih banyak berehat di rumah. Tun Suhailah meninggal dunia pada pukul 12.30 pagi, 4 Oktober 2014. Jenazah Allahyarhamah diberi penghormatan untuk disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.






Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali
Isteri Perdana Menteri Ke Empat dan Ke Tujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad


Enam puluh lima tahun masih bersama suami tersayang. Tun Siti Hasmah dilahirkan di Klang, Selangor pada 12 Julai 1927. Tun Siti Hasmah ialah seorang doktor wanita berbangsa Melayu berketurunan Minangkabau dari Rao (Rawa), Sumatera Barat, Indonesia.


Beliau memperoleh MBBS dari Universiti Malaya di Singapura dan merupakan salah seorang wanita Melayu pertama untuk memperoleh kursus perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura (kini Sekolah Perubatan Yong Loo) selepas Perang Dunia II.


Pada tahun 1955, beliau berjaya menamatkan pengajian sebagai doktor perubatan dari Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, yang ketika itu terletak di Singapura. Beliau kemudiannya menyertai perkhidmatan kesihatan kerajaan menjadikannya salah seorang doktor wanita pertama di Malaya ketika itu.


Tun Siti Hasmah mengenali Tun Mahathir ketika sama-sama belajar di Kolej Perubatan tersebut. Bibit-cicit cinta tercetus apabila Tun Mahathir mula ‘mengurat’ beliau dengan menawarkan sesi tuisyen percuma kerana Tun Hasmah yang gagal pada tahun pertama di pengajiannya itu.


Mereka akhirnya berkahwin pada tahun 1956 dengan dikurniakan empat anak kandung, Datin Paduka Marina Mahathir, Mirzan Mahathir, Tan Sri Mohzani Mahathir, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dan turut mengambil tiga orang anak angkat.


Pada tahun 1960an, Tun Hasmah menghadiri program pensijilan kesihatan awam di University of Michigan. Sepuluh tahun kemudian, beliau menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak, dan pada tahun 1974, beliau adalah wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Kanak-kanak dan Ibu Negeri.







Siti Hasmah adalah pengarang beberapa artikel mengenai perubatan keluarga dan faktor-faktor sosio-ekonomi yang berkaitan dengan kehamilan dan melahirkan anak di Malaysia. Dr Siti Hasmah belajar di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya di Singapura bersama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.


Beliau diihat begitu aktif sebagai wanita pertama, sesuai dengan gelarannya. Antara jawatan yang disandangnya ialah Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Presiden Persatuan Perancang Keluarga Kedah, Presiden Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia, Presiden Persatuan Pemulihan Kanak-kanak Terencat Akal, Naib Presiden Persekutuan Persatuan Perancang Keluarga Malaysia Penaung Persatuan Kesihatan Keibuan dan Neonat Malaysia
Penaung Persatuan Pediatrik Malaysia Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan banyak lagi.


Selama 23 tahun beliau dalam perkhidmatan awam, kerja-kerja sukarela, dan kepimpinan beliau dalam bidang kesihatan awam, literasi dan kawalan penyalahgunaan dadah, Siti Hasmah telah menerima banyak kepujian. Yang di-Pertuan Agong, dan juga sebagai Sultan Selangor dan Sultan Kedah, telah memberi gelaran pada dirinya.


Antara anugerah yang diterimanya ialah Anugerah McLaren Kazue oleh Pacific Consortium Asia untuk Kesihatan Awam (1988), Universiti Kebangsaan Malaysia yang diberikan kepada Doktor Kehormat beliau dalam Sains Perubatan (1991), Royal College of Physicians, Ireland, yang diberikan kepada beliau Ijazah Kehormat Doktor Kesihatan Awam (1992).


Pada Mei 1994, Indiana University, Bloomington menanugerahkan kepada Siti Hasmah Kehormat Doktor Persuratan Humane, dan pada bulan Ogos tahun yang sama, beliau telah menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang dari University of Victoria, British Columbia, Kanada.


Pada 20 Jun 1997 beliau telah dilantik sebagai Canselor, Universiti Multimedia (MMU) dan pelanggan MESCORP. Manakala pada tahun 2003, beliau telah dianugerahkan gelaran kehormat tertinggi Tun bersama suaminya, Dr Mahathir, oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia.


Beliau juga menjadi satu-satunya wanita yang bergelar wanita pertama sebanyak dua kali apabila Tun Dr. Mahathir dilantik sekali lagi sebagai Perdana Menteri ke tujuh pada tahun 2018 hingga 2020.







Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood
Isteri Pertama Perdana Menteri Ke Lima, Tun Abdullah Ahmad Badawi


Allahyarham Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood merupakan isteri pertama kepada mantan Perdana Menteri Malaysia ke lima, Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi.


Beliau dilahirkan dalam keluarga campuran Melayu - Jepun. Tun Endon menerima pendidikan awal di Sekolah Anglo Chinese (yang kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Methodist), Kampar, Perak, dan kemudian melanjutkan pelajaran pada peringkat menengahnya di St Mary’s Secondary Girls' School di Kuala Lumpur.


Bapa beliau bekerja sebagai pembantu perlombongan di Jabatan Pertambangan, dan seterusnya dipindahkan ke Perak untuk mengawasi sekitar 60 lombong di daerah Kampar.


Tun Endon mendirikan rumah tangga dengan Abdullah pada 4 September 1965 ketika mereka berdua masih berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan di Jabatan Perkhidmatan Awam. Beliau bersara pilihan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1976. Perkahwinan mereka dikurniakan dua cahayamata iaitu Kamaluddin dan Nori. Menantu mereka bernama Azrene Abdullah dan Khairy Jamaluddin serta empat cucu.


Endon terkenal atas sumbangan beliau kepada seni kain tradisional seperti batik dan songket. Contohnya, beliau melancarkan Kempen dan pameran seperti "Batik Extravaganza" yang diadakan pada awal Disember 2003 dan Pergerakan Batik Malaysia, "Ciptaan Untuk Dunia". Beliau juga seorang penaung teater.


Ketika hayatnya, beliau amat aktif dalam kerja amal dan kemasyarakatan serta giat mempromosi seni fabrik warisan negara, termasuk batik dan kebaya nyonya. Endon telah dipilih "Tokoh Jarum Berlian Malaysia 2004" kerana daya usahanya memartabatkan seni warisan negara. Di persada antarabangsa, namanya begitu sinonim dengan kebaya nyonya, batik dan songket. Beliau memiliki kedai batik di Plaza Damansara.


Beliau meminat hasil seni tangan rakyat sejak zaman remaja mendorong Endon mengumpul dan menganjurkan pameran pelbagai jenis busana. Koleksinya dikumpul dan dirakamkan dalam sebuah buku berjudul "The Nyonya Kebaya" yang dihasilkan pada bulan November 2002. Ia disusuli pula dengan satu simposium dan pameran di Balai Seni Lukis Negara pada 2003. Buku itu diulang terbit pada Mac 2005 dengan tajuk baru, "A Century of Straits Chinese Costume".








Endon adalah pengasas dan pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) serta turut dilantik sebagai Canselor pertama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) sejak Disember 2004. Beliau juga menjadi Presiden Pertubuhan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).


Beliau juga berminat dalam bidang pertanian dan sebagai mengenang jasanya, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian (Mardi) menamakan baka orkid baru dengan nama beliau, Orkid Mokara Datin Seri Endon.


Beliau turut mengabadikan diri dalam kegiatan antarabangsa seperti Tabung Kebajikan Bosnia, Tabung Kanak-Kanak Korea Utara, Tabung Kebajikan Kosovo dan Penaung Wanita ASEAN.


Dalam negara, beliau menerajui dan menjadi penaung beberapa persatuan termasuk Persatuan Pandu Puteri Islam Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Persatuan Wanita Antarabangsa Kuala Lumpur, Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia, Pertubuhan Kesihatan Kanak-Kanak Kebangsaan Malaysia, Persatuan Penulis Wanita Muda
Penaung Puspanita Penaung Persatuan Wanita Kementerian Luar (Perwakilan).


Anugerah lain yang pernah diterima oleh Endon termasuklah Pingat Emas Tun Fatimah daripada "Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia" (NCWO) pada Ogos 2004 dan Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Ogos 2004.


Pada 17 April 2002, Endon menjalani pembedahan membuang payu dara bersama noda-noda limfa dan otot-otot di ketiak berdekatan di St John's Medical Center, Los Angeles, California, Amerika Syarikat.


Kakak kembarnya (Noraini Mahmood) yang lebih awal didiagnosiskan dengan penyakit yang sama telah meninggal dunia pada 4 Januari 2003. Doktor mengesahkan Endon mengidap kanser pada 2001 dan mengambil perubatan herba dari profesor pelawat dari China. Endon turut menjalani 33 sesi radiasi dan fisioterapi serta urutan limfa dan rawatan kemoterapi Abraxene. Setelah pulang dari AS, beliau dimasukkan ke Hospital Putrajaya.


Allahyarhamah Tun Endon meninggal dunia pada 20 Oktober 2005 akibat kanser payudara, 18 hari selepas pengembaliannya ke Malaysia. Beliau yang meninggal dunia pada umur 64 tahun, menghembus nafas terakhir pada jam 7.50 pagi di samping keluarga.






Tun Jeanne Abdullah Danker
Isteri Ke dua Perdana Menteri Ke Lima, Tun Abdullah Ahmad Badawi


Setelah kematian Tun Endon, Tun Abdullah mengahwini Tun Jeanne binti Abdullah Danker, yang sebelumnya telah berkahwin dengan adik lelaki isteri pertama Tun Abdullah.


Dilahirkan sebagai Jeanne Danker pada 29 Julai 1953 di Kuala Lumpur kepada keluarga Roman Katolik Portugis-Serani, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Beliau ialah seorang alumni Sekolah Menengah Assunta di Petaling Jaya, Selangor. Bapanya ialah Matthew Danker.


Jeanne kemudian memeluk Islam pada usia 23 tahun, apabila beliau berkahwin dengan suami pertamanya, Othman Mahmood, yang merupakan adik kepada arwah isteri pertama Abdullah, Tun Endon Mahmood.


Jeanne bekerja dalam bidang pengurusan hotel di hotel-hotel utama termasuk Kuala Lumpur Hilton dan Pan Pacific Hotel. Pada satu ketika, beliau mejadi penyelia kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika Abdullah Badawi menjadi Timbalan Perdana Menteri, dan menjadi pengurus Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri, apabila Abdullah mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 1 November 2003.


Tun Jeanne berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan perhotelan kerana pernah bertugas di Hotel Hilton, Kuala Lumpur dan Hotel Pan Pacific, bersebelahan dengan Pusat Dagangan Dunia Putra. Kemudian, Jeanne bertugas sebagai pengelola kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak. Seterusnya bertugas sebagai pengurus di Kompleks Seri Perdana.








Beliau bernikah dengan Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5, yang lebih mesra dikenali dengan panggilan Pak Lah, dalam satu majlis tertutup dan dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja di Seri Perdana, Putrajaya pada hari Sabtu, 9 Jun 2007. Hal ini dimaklumkan dalam satu sidang media pada 6 Jun 2007. Pada Mac 2007, wartawan TV3 telah bertanya tentang khabar angin tentang perkahwinan itu kepada Pak Lah.


Abdullah dan Jeanne telah kenal lama malahan hubungan antara Endon Mahmood dan Jeanne amat akrab kerana abang Endon merupakan suami Jeanne. Mereka sering berjumpa di kediaman bapa Endon, Mahmood Ambak di Kuala Lumpur.


Perkahwinan ini menamatkan teka-teki siapa bakal menjadi isteri kedua Pak Lah yang menduda sejak 20 Oktober 2005? Kehidupan Perdana Menteri Malaysia akan lebih sempurna dengan kehadiran seorang isteri, wanita pertama Malaysia, menjaga dan menasihati Pak Lah dalam kehidupan bekeluarga.


Selepas berkahwin dengan Abdullah, Jeanne telah secara automatik diberikan versi wanita hakmilik kehormatan suaminya, Dato' Seri, Datin Seri. Kemudian pada 3 April 2009, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara menganugerahkan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) kepada Jeanne.


SSM membawa gelaran kehormatan Tun. Anugerah ini telah dikurniakan pada majlis penyerahan kuasa daripada suaminya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.





Datin Seri Hajjah Rosmah Mansor
Isteri Perdana Menteri Ke Enam, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak


Datin Seri Hajjah Rosmah binti Mansor lahir pada 10 Disember 1951 dan mendapat pendidikan menengah di Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan. Beliau juga aktif dalam aktiviti sukan seperti badminton, hoki dan bola jaring. Beliau juga sukakan hiburan dan selalu mengambil bahagian dalam nyanyian, tarian dan lakonan semasa di sekolah.


Beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya, di mana beliau mendapat ijazah dalam bidang antropologi dan sosiologi. Selepas menamatkan ijazah, beliau menyertai Bank Pertanian Malaysia sebagai eksekutif pada tahun 1975. Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Negeri Lousiana, Amerika Syarikat, dan berjaya mendapat Sarjana Sains dalam sosiologi dan pertanian.


Selepas kembali ke Malaysia pada tahun 1983, beliau menyertai syarikat Island and Peninsular Berhad sebagai Pengurus Pembangunan Perniagaan.


Beliau merupakan isteri kedua Dato’ Seri Najib. Hasil perkahwinan tersebut, mereka mempunyai dua orang anak, Norashman dan Nooryana Narjawa. Beliau mempunyai dua orang anak iaitu Riza dan Azrene Soraya hasil daripada perkahwinan beliau yang pertama dengan Abdul Aziz, berasal dari Perak. Ibu beliau berasal dari Kampung Mertang, Seri Menanti, Negeri Sembilan.








Sepanjang bergelar wanita pertama negara, beliau pernah menjadi Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Penaung Yayasan Harapan Kanak-kanak Malaysia, Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia
Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (PENCINTA), Persatuan Talasemia Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Permata Negara.


Datin Seri Rosmah Mansur telah banyak menerima pelbagai anugerah dan pingat jasa daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar negara, salah satunya ialah Anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada Majlis Perniagaan bagi Persefahaman Antarabangsa (BCIU) Amerika Syarikat pada 17 April 2010. Anugerah disampaikan oleh bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat Lawrence Eagleburger di St. Regis Hotel.


Pada 11 Februari 2012, Datin Seri Paduka Rosmah Mansur telah dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat Persuratan daripada Universiti Curtin, Australia sebagai mengiktiraf daya usahanya dalam pembangunan pendidikan terutama pendidikan awal kanak-kanak menerusi program Permata Negara. Canselor Universiti Curtin, Dr Jim Gill menyampaikan ijazah doktor kehormat itu kepada Rosmah pada majlis konvokesyen universiti itu di Perth.


Selain itu, beliau turut juga dinobatkan sebagai Tokoh Industri Sukan Negara 2012 pada Majlis Anugerah Industri Sukan Negara. Anugerah yang julung kali diperkenalkan itu disampaikan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pada satu majlis makan malam di Menara Kuala Lumpur. Rosmah, yang juga penaung bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), merasmikan majlis tersebut.


Namun, beliau juga dikenali sebagai ‘Wanita Pertama Paling Kontroversi’ dalam sejarah Malaysia kerana dihambat dengan pelbagai kritikan keras dan skandal isu yang mengheretnya sehingga ke perbicaraan mahkamah selepas Dato’ Seri Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2018.







Puan Sri Datin Paduka Hajah Noorainee Haji Abdul Rahman
Isteri Perdana Menteri Ke Lapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin


Puan Sri Datin Paduka Hajah Noorainee binti Haji Abdul Rahman lahir pada 21 April 1949 (72 tahun) adalah isteri kepada mantan Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Beliau merupakan bekas murid Sultan Abu Bakar Girl School (SABGS) dan pelajar Sultan Abu Bakar Secondary Girl School (SABSGS) atau kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sultan Abu Bakar, Muar.


Beliau telah berkahwin dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tanggal 22 September 1972. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan dengan empat orang anak, Datuk Fakhri Yassin Mahiaddin, seorang tokoh korporat dan berjawatan sebagai Pengerusi Eksekutif; Datin Sri Nabilah Mahiaddin, Najwa Mahiaddin, seorang penyanyi dan Farhan Yassin Mahiaddin.


Salah seorang daripada cucu beliau, Iman Alisha Datuk Fakhri Yassin merupakan seorang atlit gimrama yang mewakili Wilayah Persekutuan dalam Sukan Malaysia 2018 di Perak Darul Ridzuan ketika berusia 13 tahun. Kakaknya, Iman Suraya juga aktif dalam sukan gimrama begitu juga adik-adiknya, Iman Arissa dan Iman Aleena.








Puan Sri juga adalah mantan Penaung PUSPANITA Kebangsaan dan merupakan mantan Naib Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI). Semasa suami beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar Johor, beliau memegang jawatan sebagai Penasihat Pertubuhan Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Johor (JUITA JOHOR).


Beliau adalah Penaung, Projek Hati Nurani: Sekolah Dalam Hospital. Ia adalah cetusan daripada ilham beliau untuk memberi peluang kepada para murid dan pelajar untuk mendapatkan pendidikan ketika mereka dirawat di hospital. Ia adalah kerjasama antara Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Yayasan Nurul Yaqeen.


Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menghasilkan dua baka orkid hibrid bersempena nama beliau, iaitu Aranda Puan Sri Noorainee dan Mokara Puan Sri Noorainee.


Beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan apabila dilantik sebagai Naib Yang di-Pertua, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI), Yang di-Pertua, Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Johor (JUITA Johor), Penaung, PUSPANITA, Yang Dipertua, Persatuan Pandu Puteri Malaysia Penaung, Program Hati Nurani: Sekolah Dalam Hospital, Yayasan Nurul Yaqeen , Timbalan Pengerusi, Yayasan Nurul Yaqeen, Penaung Persekutuan Gimnastik Malaysia, Penaung, SPWinds, Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Penaung, Teater Muzikal Tun Mahathir,
Ahli Pertubuhan Kebajikan Amal Silatulrahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia).







Datin Sri Muhaini Zainal Abidin
Isteri Perdana Menteri Ke Sembilan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob



Datin Sri Muhaini binti Zainal Abidin merupakan isteri kepada Perdana Menteri ke-9 Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob. Pada 1986, beliau berkahwin dengan Ahli Parlimen Bera, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 20 Ogos 2021.


Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob juga bekas Timbalan Perdana Menteri ke-13 di bawah Kabinet Muhyiddin Yassin dari 7 Julai 2021 sehingga 16 Ogos 2021. Mereka dikurniakan empat orang anak iaitu seorang perempuan dan tiga lelaki.


Nampaknya selepas ini aktiviti harian Datin Sri akan bertambah sibuk setelah diberi mandat sebagai wanita pertama Malaysia. Walaupun sudah lebih 30 tahun suaminya bergelar ahli politik, Datin Sri lebih senang bersikap ‘low profile’ dan jarang menonjolkan diri.