Highlights

Kenali Karakter Berdasarkan Bentuk Kening, Mata, Hidung, Mulut Dan Telinga. Betulkah? Baca Penjelasan Pakar Ini.

gempak
Huda Hussain
12/09/2020
06:00 MYT
Sponsor Banner
Kenali Karakter Berdasarkan Bentuk Kening, Mata, Hidung, Mulut Dan Telinga. Betulkah? Baca Penjelasan Pakar Ini.
Pepatah dari mata turun ke hati seringkali kita dengar kan? Kerana secara simboliknya ia adalah perlambangan mata yang menjadi pancaindera untuk mempengaruhi pemikiran kita terhadap seseorang. Saat belum berbicara lagi pun sudah terdetik hati kita untuk mengenali seseorang, inikan pula selepas bersua kenal, berbual mesra maka pasti jatuh sayang. Dan begitu juga sebaliknya.
Menerusi tulisan artikel ruangan Khas Gaya Hidup edisi Disember 2016 lalu, secebis ilmu dalam mengenali dan memahami karakter seseorang berdasarkan lima unsur utama ini amat membantu. Begitulah resam ilmu, takkan pernah ada tarikh luput malah bermanfaat untuk diamalkan. Menerusi temubual bersama Jessie Lee, Pengasas Soleil Trinity Resource; sebuah badan konsultan profesional dalam Chinese Metaphysics yang memfokuskan kepada kepakaran analisa Tarot Card reading, Bazi consultation, Palm and Face reading, Feng Shui consultation dan Auspicious Date Selection huraian berikut boleh ditelusuri bersama.
Kredit Foto: Google
Sejauh mana bentuk seperti dahi, kening, mata, hidung, pipi, mulut dan dagu mempengaruhi karakter seseorang? Banyak sebenarnya elemen yang boleh menterjemahkan karakter seseorang berdasarkan wajah. Namun secara asasnya, fokus utama adalah elemen 5 Officers yang terdiri daripada mata, hidung, mulut, telinga dan kening. Apabila saya melakukan analis bacaan muka, perkara pertama yang saya beri tumpuan adalah aspek keseimbangan. Contohnya, jika mata terlalu kecil dan seumpama dengannya secara automatik ia akan memberi huraian yang berbeza. Selain keseimbangan, saya juga dapat mengenal pasti adakah wajah seseorang itu mempunyai elemen kekayaan atau sebaliknya. Raut wajah mereka yang berjaya atau kaya lazimnya lebih bersinar atau menyerlah tanpa mengenakan sebarang solekan. Selain itu, wajah mereka juga lebih flashy.
MATA
Dalam 5 Officers, elemen yang menjadi fokus utama adalah mata. Ini kerana mata mencerminkan jiwa (dalaman), visi dan ekspresi seseorang. Ia juga mewakili elemen api yang menterjemahkan keazaman (tekad), kesungguhan, keghairahan, keinginan, impian dan agresif. Malah individu yang berjaya kebanyakannya mempunyai mata yang terang dan jelas antara mata putih dan mata hitam. Malah jika ia seakan bersinar ia menunjukkan seseorang itu tahu apa yang diingini. Berbeza pula dengan mereka yang memiliki mata agak kelam, kabur dan suram. Ia menggambarkan sifat seseorang yang kurang kesungguhan dan tiada keinginan terhadap sesuatu dan mungkin mencerminkan mereka tidak bahagia. Hal ini kerana kegembiraan itu terpancar pada sepasang mata yang seakan bercahaya. Kebanyakan daripada kita beranggapan kegembiraan itu terletak pada senyuman tetapi sebenarnya ia dapat dilihat menerusi mata. Jika seseorang itu gembira, energi kegembiraan akan mengalir ke atas hingga pada bahagian mata. Misalnya senyuman palsu lebih bermakna daripada anda tidak tersenyum (ketawa) kerana bibir bisa menipu tetapi tidak pada sepasang mata anda.
Kredit Foto: Google
Bentuk mata juga memberikan tafsiran yang berbeza. Jika anda memiliki mata yang besar dan bulat lazimnya anda lebih bersifat emosional. Iaitu anda mahu orang sekeliling memahami emosi anda dan anda memerlukan sokongan yang sama daripada mereka terutamanya insan tersayang. Dalam erti kata lain, mereka yang bermata bulat dan besar ini lebih senang meluahkan perasaan. Daripada perspektif karier, mereka yang tergolong dalam kategori ini lebih sesuai meceburi karier yang memerlukan mereka bertemu orang ramai. Lebih menarik, lazminya mereka yang bermata besar dan bulat memiliki ‘peach-blossom eyes’ yakni kecenderungan untuk disukai oleh orang lain lebih tinggi berbanding mereka yang bermata kecil.
Lazimnya mereka punya daya tarikan tersendiri. Bidang jualan, perkhidmatan atau hiburan adalah antara pilihan kerjaya yang sesuai. Lihat sahaja pada wajah artis-artis terkenal. Mereka lazimnya bermata besar dan bulat. Berbeza pula dengan mereka yang bermata kecil dan panjang (small-long-eyes). Karakter mereka lebih bersifat teliti, cermat dan berhati-hati malah kelompok individu ini sukar meluahkan perasaan mereka. Kebanyakan masa mereka selesa memendam rasa. Daripada perspektif kerjaya, golongan ini lebih sesuai dalam bidang keusahawanan, perniagaan, pentadbiran, perakaunan atau skop kerja yang memerlukan ketelitian dan tumpuan yang tinggi.
Kredit Foto: Google
Keseimbangan juga dapat diukur dengan jarak antara sepasang mata anda adalah sama dengan panjang sebelah mata. Jika terlalu rapat atau terlalu jauh ia disifatkan sebagai hilang keseimbangan. Jika jarak terlalu rapat, mereka lazimnya tidak bersifat terbuka, berfikiran sempit dan degil. Dan, jika mata atau kening terlalu rapat, mereka lazimnya lebih bersifat ekstrim dan mempunyai kecenderungan melakukan perkara seperti jenayah atau terjebak dalam aktiviti keganasan. Jika jarak antara sepasang mata terlalu jauh pula mereka lazimnya mudah dipengaruhi oleh orang lain, easy going dan kreatif.
HIDUNG
Kredit Foto: Google
Elemen kedua dalam 5 Officers adalah hidung yang melambangkan nilai yang ada pada diri anda seperti keyakinan diri. Semakin tinggi, besar dan flashy hidung anda bermaksud semakin tinggilah keyakinan diri seseorang. Dalam skop ini, terdapat baseline yang menjadi ukuran yakni anda tidak boleh mengukur atau melihatnya dalam kalangan kaum yang berbeza. Misalnya masyarakat Cina tidak boleh membandingkan hidung mereka dengan warga Amerika Syarikat. Sebaliknya mengukur dan melihat juga membuat perbandingan dalam kalangan kaum masing-masing.
Secara umumnya dalam ilmu analisis bacaan muka, mereka yang mempunyai hidung yang flat dan kecil ia menggambarkan sifat yang easy going, tidak menyerlah (not so strong character) dan kurang keyakinan diri. Selain itu, hidung juga melambangkan tafsiran tahap kesihatan seseorang. Jika pada pertengahan batang hidung (nose bridge) seseorang lebih gelap warnanya, ia menunjukkan ada masalah kesihatan dalaman yang perlu diberi perhatian.
Zaman tradisi dahulu kala, aspek kesihatan disifatkan sebagai lambang kekayaan kerana ia adalah aspek paling penting dalam kehidupan. Namun kini, ia dikaitkan dengan kekayaan. Maka dengan itu, hidung juga melambangkan tahap kekayaan dan kukuhnya kewangan seseorang. Lihat sahaja usahawan atau tokoh-tokoh ternama dalam bidang kewangan yang berjaya, kebanyakannya memiliki sepasang hidung yang tinggi, besar dan flashy. Contohnya, Pengasas dan Pengerusi Public Bank Berhad, Tan Sri Dato’ Seri Dr Teh Hong Piow, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes. Mereka mempunyai peluang kejayaan yang tinggi dalam hal berkaitan perniagaan dan kewangan.
Bagi wanita pula, tahap atau kayu ukur untuk melihat sama ada anda boros atau tidak juga dapat dilihat melalui hidung. Jika dari pandangan hadapan, dapat dilihat lubang hidung yang besar, ia menggambarkan anda seorang yang gemar berbelanja tanpa mengira kepentingan aspek lain. Jika sebaliknya, dari jarak hadapan lubang hidung anda kecil, agak sukar dilihat dan terletak sempurna ia menunjukkan anda seorang yang berhati-hati dan jimat cermat dalam berbelanja. Anda lebih mementingkan perancangan kewangan dan memikirkan kesan jika membelanjakan sejumlah wang.
MULUT
Kredit Foto: Google
Mulut pula mewakili definisi komunikasi dan sejauh mana anda bisa mempengaruhi orang lain. Semakin besar bentuk mulut anda bermakna semakin kuat daya pengaruh kepada orang sekeliling. Contoh popular adalah personaliti televisyen Oprah Winfrey. Walaupun memiliki bentuk mulut yang besar, namun jika ia tidak dapat ditutup dengan sempurna (mungkin kerana jika mempunyai masalah gigi tidak sekata) ia tidak dikira tergolong dalam kategori mempunyai daya pengaruh. Sebaliknya jika bibir bahagian atas dan bawah ditutup dan dibuka dengan sempurna, maka anda sebenarnya mempunyai kecenderungan untuk mempengaruhi orang lain. Daripada segi karier pula, mereka yang memiliki mulut yang besar sesuai menceburi bidang utama komunikasi seperti perantara, jualan dan sebagainya.
Beralih kepada bentuk bibir pula, jika pada bahagian tengah (bibir atas dengan dua sisi bentuk yang jelas) mempunyai lekuk kecil itu tandanya anda bijak dan handal dalam soal perundingan. Jika bentuk bibir bulat dan tidak terlalu jelas mereka lazimnya tidak boleh berkomunikasi dengan baik. Kemahiran artilukasi mereka kurang baik. Sebagai solusi, ceburi bidang yang tidak memerlukan mereka berkomunikasi terlalu banyak. Jika anda memiliki bibir atas tebal daripada bibir bawah, ia memberi gambaran anda seorang yang sentimental dan emosional. Jika bibir bawah tebal daripada bibir atas, anda seorang yang realistik, tidak sentimental, get things done dan logik. Jika bibir bawah tebal dan terjuih keluar ia disifatkan sebagi seorang yang suka memutar belit keadaan.
Kredit Foto: Google
Malah bagi lelaki yang kaki perempuan juga, lazimnya memiliki bibir bawah tebal dan terjuih keluar. Garisan pada atas bibir juga memberi tafsiran tersendiri. Walaupun mempunyai bentuk bibir kecil apabila ditutup namun, apabila dibuka atau tersenyum; garisan atas bibir apabila menonjolkan keanjalannya sekali gus dilihat lebar dan luas. Ia adalah satu petanda yang cukup baik. Bagi wanita, semakin banyak garis atas bibir ia memberi gambaran anda mempunyai peluang yang baik dalam memperoleh kekayaan dan peluang yang baik dalam hidup. Berbeza pula dengan garis-garis di luar bibir, ia memberi gambaran yang kurang baik misalnya peluang untuk anda hidup sendirian dan sunyi agak tinggi. Dan jika mempunyai pasangan sekalipun anda berhadapan dengan masalah komunikasi.
KENING
Kredit Foto: Google
Kening mewakili aspek keterkaitan, perhubungan dan pertalian. Jika bentuk kening anda terletak cantik dan sempurna maka semakin baik dan bagus perhubungannya. Mereka yang bijak dalam aspek ini (well connected) lazimnya memiliki bentuk kening yang sempurna (kening tidak terlalu lebat dan lemah). Bentuk kening yang lemah ialah jika ia terlalu tebal dan lebat memberi definisi tahap kesihatan dan pertalian dalam keluarga terjejas. Jika bentuk kening tebal dan menonjol, ia adalah baik. Baik dan cantik dalam erti kata setiap rerambut kening menghala ke arah yang sama. Ini bermaksud seseorang itu jelas dalam setiap apa yang dilakukannya. Rangkaian sosial dan hubungannya dengan orang lain juga amat baik.
Jika rerambut kening serabut ia secara asasnya menggambarkan anda seorang yang keliru. Namun ia tidak dikira jika anda melukis kening kerana bentuk kening yang asal boleh menghuraikan karakter anda. Semakin panjang bentuk kening seorang wanita bermaksud, lebih sentimental jiwa anda juga lebih penyabar terutamanya bagi mereka yang mempunyai kening melengkung dihujungnya. Selain itu, anda juga seorang yang mudah menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling, fleksibel dan baik. Kening yang lurus dan ada segelintir yang keningnya lurus ke atas pula bermaksud, anda memiliki karakter yang kuat. Dan bagi wanita yang keningnya lebih pendek daripada mata (hujung kening lebih pendek daripada hujung mata) anda seorang yang kurang sabar, karakter yang kuat dan agresif.
TELINGA
Kredit Foto: Google
Telinga pula mewakili elemen maklumat. Jika anda mempunya sepasang telinga yang besar, tinggi dan sticking-to-the head; anda adalah seorang yang berdisiplin dan bijak dalam soal diplomasi. Masyarakat dahulu, mempercayai sesiapa yang mempunyai telinga capang lebih memberontak dan tidak membawa perlambangan yang baik. Namun berbeza dengan tafsiran masyarakat hari ini.
Mereka yang tergolong dalam kategori ini mempunyai kelebihan tersendiri. Hal ini kerana mereka lebih terbuka, mempunyai pandangan dan pilihan tersendiri dan suka melakukan apa jua kerja dengan cara mereka sendiri. Mereka juga gemar mencipta sesuatu (pencetus) dan tidak suka sekadar mengikut-ikut sahaja.
Selain itu, daripada pancaindera ini juga, kita dapat melihat sejauh mana seseorang itu menikmati hidup mereka. Bagi mereka yang mempunyai bentuk telinga yang besar dan flashy juga cuping telinga yang tebal dan flashy; mereka ini adalah kelompok yang benar-benar menikmati setiap apa yang berlaku dalam hidup. Misalnya menikmati makanan yang sedap, memanjakan diri dan sebagainya. Dan bagi individu yang cuping telinganya tidak mempunyai bentuk dan rapat ke sisi; mereka disifatkan sebagai seorang yang sering bekerja keras dan barang kali terlupa bagaimana untuk meraikan dan menikmati apa yang ada di sekeliling.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024