Semua manusia di dunia ini mengimpikan untuk hidup senang, mewah dan dihujani kekayaan tanpa limitasi. Tiada siapa yang mahu dirinya dilanda kemiskinan dan ‘sengkek’ sepanjang masa. Dengan duit, kita mampu beli segala material yang diinginkan. Kita mampu terbang ke mana sahaja yang kita impikan. Namun, sejauh mana hati benar-benar bahagia seperti mana yang ditunjukkan pada mata kasar?


Jangan terpedaya kerana duit belum tentu mampu membeli jiwa dan ketenangan dalam hati. Ujian Tuhan bukan hanya dituju kepada orang miskin sahaja, kekayaan juga menjadi ujian untuk hambaNya yang diberi nikmat kemewahan. Ia untuk melihat sejauh mana dia menguruskan hartanya sama ada ke jalan Allah atau sebaliknya yang menjadi kecelakaan buat dirinya di dunia dan akhirat kelak.




Kredit Foto: Google




FAKTOR 1: Kurangnya Iman dan Ibadat

-hanya keimanan mampu memandu hambaNya ke jalan yang lurus. Tidak kira apa jua status kamu di dunia, kerabat DiRaja, pemimpin negara, golongan atasan juga orang kebanyakan. Tuhan tidak memandang itu semua. Hanya iman dan amal yang menjadikan seseorang itu mulia di sisiNya. Dan, keimanan itulah yang menjadikan hati tenang.



FAKTOR 2: Harta Yang Diperoleh Dari Jalan yang Haram

-selidik semula dari mana hasil kekayaan yang diperoleh? Ada orang menipu dalam perniagaan, maka sampai bila-bila hidup akan dihantui keresahan. Ada orang mengambil hak orang lain, maka seumur hidup jiwa gundah. Ada orang menyalahguna kuasa, maka hingga akhir hayat tidak temui kepuasan. Justeru, sucikanlah ia, agar jiwa kita juga bersih.



FAKTOR 3: Riak, Takbur, Sombong

-inilah sifat-sifat yang sangat dicela, bukan hanya dimurkai Tuhan, malah dibenci masyarakat. Tiada nilai seorang kaya itu jika dalam dirinya ditakhluki oleh sifat-sifat di atas. Semua yang kita ada di dunia ini hanyalah pinjaman semata. Namun, apabila sifat ini wujud, harta seluas lautan pun belum tentu mampu memberikan kasih-sayang dalam diri.




Kredit Foto: Google




FAKTOR 4: Kurang Bersedekah dan Berkongsi

-inilah kerugian bagi orang yang mampu untuk menginfakkan hartanya ke jalan Allah tetapi memilih untuk ‘makan sendiri’. Percayalah orang sebegini hartanya tidak langsung memberi keuntungan buatnya di dunia dan akhirat. Makannya tak puas, minumnnya tak hilang haus. Terus-menerus dia dihambat rasa ketamakan yang tidak berpenghujung. Sayangnya pada hartanya, membinasakannya hingga ke hari pembalasan.



FAKTOR 5: Takut Yang Bukan-Bukan

-wujud segelilntir orang kaya yang suka bersikap syak-wasangka dan berfikiran negatif. Mereka sentiasa meragui orang di sekelilingnya, sentiasa bimbang dengan keselamatan hartanya, risau dikhianati dan takut hartanya berkurangan. Makin banyak yang dimiliki, makin tidak puas rasa di hati. Mana mungkin ketenangan itu ada jika saban hari perkara-perkara begitu meracuni minda.



Jadilah Si Kaya Bahagia Dengan Membahagiakan Orang Lain

Tuhan tidak melarang umatNya mencari kekayaan dan kejayaan. Dengan kekayaanlah kita mampu membangunkan agama, membantu orang fakir miskin, berzakat dan sebagainya. Apa yang menjadi sulit ialah kekayaan itu disalahgunakan sehingga merosakkan jiwa si pemilik harta. Justeru, saat diberi nikmat harta yang berlimpahan, janganlah kamu berasa sangat suka dan menyangkakan usahamu selama ini berhasil dan tanda Tuhan sudah sayang dengan kamu.

Sentiasalah beringat dan waspada kerana ramai saja hartawan yang gagal dalam ujian dan nikmat kekayaan ini sehingga membawa bencana di dunia dan akhirat. Jadilah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Tidak rugi berkongsi kerana sahamnya akan menunggumu di sana nanti. Tetapkan niat di dalam hati, aku mahu mengejar kekayaan dunia untuk aku menikmati pahalanya di akhirat nanti. Dan, apabila harta itu sudah dinfakkan, lepaskanlah dengan ikhlas tanpa perlu menunjuk-nunjuk hingga menimbulkan perasaan riak dan taajub. Wasalam...