Kenapa Anak Takut Subjek MATEMATIK, Gerun Soalan KBAT? — Ini Tips SKOR A Dalam UPSR, Baca dan Amalkan
Public Anonymous User
07/12/2018 04:17 MYT
07/12/2018 04:17 MYT
Oleh: Rosie Haslinda Nasir
TUJUH tahun dulu, dalam pertemuan guru dan ibu bapa, saya diberitahu Puan Pengetua Tadika bahawa Rania menghadapi masalah dalam subjek Matematik. Cabarannya waktu itu adalah, Rania tidak boleh menaakul permasalahan mudah Matematik. Hatta untuk mengisi tempat kosong nombor menaik atau menurun sekalipun, Rania tidak boleh membayangkannya. Ya, walau sudah diterangkan berkali-kali, Rania masih tidak dapat membina imaginasi nombornya. Aduh-duh-duh, anakku!
“Ini kes dia sendiri terlebih imaginasi niiii...” Kakak saya menenangkan, sambil merujuk pada lukisan-lukisan doodle Rania dan karangan-karangan pendek syok sendirinya yang bersepah-sepah di rumah, yang diselang-selang dengan lukisan kartun figura ikan duyung, unikorn, pari-pari ajaib, puteri raja, biri-biri gebu, planet dan hmmm, entahlah. Macam-macam lagilah.
Naik darjah satu, Rania mengulangi masalah serupa. Markah peperiksaan Kertas Matematiknya memanjang hilang setiap kali ada soalan nombor menaik dan nombor menurun. Saya minta juga Rania berguru dengan sepupu-sepupunya yang cerdik Matematik semasa cuti sekolah. Maka duduklah dia selama seminggu di rumah kakak saya, dibimbing oleh Abang Syafiq (mantan MRSM), Kak Anis (mantan Kolej Tunku Kurshiah) dan Abang Adib (mantan Sekolah Sains).
Bagaimana Anak Kecil Ini Berjuang Mencintai Subjek Matematik?
Ya, perjuangan untuk seorang budak kecil yang tidak dapat membezakan nombor menaik dan nombor menurun — sehingga akhirnya menjadi antara pelajar terbaik subjek Matematik di sekolah, memperoleh 6A sekali gus membawa pulang A untuk subjek Matematik UPSR 2018 — adalah satu kisah yang panjang.
Jika anak-anak anda juga seperti Rania tujuh tahun yang lalu, janganlah kecewa. Jalan masih ada untuk diteroka. Solusi tetap hadir untuk dieksplorasi. Tetapi ibu-anak atau ayah-anak haruslah sama-sama berpegang pada janji — untuk saling memberi komitmen. Sama-sama harus berlapang dada dan ikhlas memberi ilmu, juga menerima ilmu.
Berikut sedikit perkongsian tentang pengalaman saya dan Rania bersama-sama meranjau subjek Matematik yang semakin mencabar dengan soalan-soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT):
1. Anak Mesti Tanam Rasa Minat Pada Subjek Matematik
Anak perlu minat dan suka subjek Matematik. Rania mulai suka Matematik semasa dia darjah 5. Sampaikan apabila duduk buat latihan di rumah, dia akan menulis/menjawab sambil tergedik-gedik bergoyang macam ulat beluncas sambil menceceh, “Oh Mama, I love Math, I love Math. I loooveeeeee Math!” Saya pula pening dan minta dia diam dan fokus.
2. Anak Mesti Hafal Sifir dan Formula Matematik
Anak MESTI menghafal sifir dan formula. Kalau anak memasuki dewan peperiksaan tanpa tahu apa itu Nombor Perdana, apa rupa Heptagon, apa itu Min, Median Mod dan Julat — ibu bapa patut risau.
3. Latih Tubi Matematik Setiap Hari, Jangan Berhenti
Selalulah buat latih tubi Matematik. Ya, itu sahaja caranya untuk celik dan mahir Matematik, kerana Matematik BUKAN subjek yang boleh dibaca. Saya mewajibkan Rania membuat latihan Matematik setiap hari. Ya, SETIAP HARI. Semasa darjah 5, latihan harian yang diberi ‘manja-manja’ saja. Cuma 2-3 halaman sehari. Tetapi mulai November 2017 semasa cuti sekolah (sebelum naik Darjah 6), saya meminta Rania membuat kertas Matematik Modul UPSR dengan lengkap.
Jujurnya, saya ‘bertarung’ juga demi memastikan Rania menyiapkan kerja yang saya beri atau bekalkan, hahaha. Selang satu jam, saya akan berhello-hello dari pejabat, bertanyakan perkembangan Kertas Matematik yang saya sudah bekalkan.
Selalunya Rania menjawab dengan suara manja terkeleweh, "Maaf Mama, Yaya baru siap makan tengah hari..."
Atau, “Yaya mengantuk sangat tadi, Yaya tertidur…”
Atau, “Yaya termain 'Minecraft' lama tadi. Tak perasan dah pukul empat setengah...”
?
Mengadun dan menyusun jadual juga penting. Formula saya, saya selalu bekalkan latihan Matematik Modul UPSR setiap hari sambil menggandingkannya dengan satu subjek lain.
Misalannya, hari Isnin untuk Matematik dan Sains. Hari Selasa pula Matematik dan Sains (ya, masih Sains, saya akan terangkan kenapa pada artikel akan datang, insya-Allah). Kemudiannya, hari Rabu untuk Matematik dan Bahasa Inggeris. Esoknya pula, Matematik dan Bahasa Malaysia.
Walau saya pulang dari pejabat lewat malam sekalipun, saya pasti akan memanggil Rania masuk bilik belajarnya untuk bersama-sama menyemak dan menanda kertas Matematik yang sudah dikerjakannya siang tadi. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Walaupun ada drama kecil di sana-sini, Rania tetap anak yang kental, sabar, tahan diuji. Dan setiap kali dia memberitahu saya bahawa semua kerja latihan UPSR yang saya bekalkan, berjaya dibereskan — saya akan memeluknya, menciumnya, lalu mengucapkan terima kasih.
4. Semak dan Tanda Jawapan Bersama-sama, Kemudian Bincangkan
Satu tips penting, apabila menanda dan bertemu jawapan yang salah, JANGAN sekadar pangkah dan biarkan ia begitu saja. Sebaliknya, ibu atau ayah MESTI mengajak anak melihat semula mengapa ia salah. Carilah jalan kerja dan jawapan yang betul sehingga dapat.
Jika sudah rujuk lampiran jawapan tapi masih gagal untuk faham, minta anak bawa soalan itu ke sekolah untuk bertanya kepada cikgu atau guru tuisyen. Saya sendiri kalau was-was, saya minta Rania rujuk dan tanya sendiri kepada Cikgu Zaini (SK Cyberjaya), Teacher Nalini (Akademi Pintar) atau Cikgu Walida (PTIU).
5. Anak Perlu Ada 'Speed' Bila Menjawab Soalan Matematik
Saya sedar daya kepantasan juga satu masalah untuk ramai pelajar UPSR. Atas saranan Teacher Nalini, saya beli jam randik murah di Daiso bercorak muka katak warna hijau dan merah jambu, haha. Sepanjang dua tahun Rania belajar Matematik secara intensif, sudah tiga kali saya beli. Dua kali sebab bateri habis. Sekali sebab hilang.
6. Tulis Simbol Matematik Dengan Terang dan Jelas, Jangan Malas
Pastikan anak menggunakan tanda, titik perpuluhan, dengan betul. Pastikan anak tulis dengan jelas dan terang. Kesilapan tertinggal titik perpuluhan boleh menyebabkan jawapan yang diberikan salah, walaupun jalan kira betul. Rania tahu memang kepantangan nenek-moyang saya kalau melihat tulisannya buruk, tanda perpuluhan tidak kelihatan, atau simbol luas/isipadu kelam-kelam kelabu asap.
7. Tulis Unit-unit Matematik Pada Jawapan Akhir, Jangan Lupa dan Jadikan Kebiasaan
Kalau ada soalan Matematik yang melibatkan unit-unit seperti kilogram (kg), gram (gm), meter (m), sentimeter (cm), minit, jam dan sebagainya; pesanlah kepada anak-anak, pastikan ia ditukar kepada unit yang diminta dalam soalan. Anak-anak MESTI letakkan unit-unit ini dalam jalan kira penyelesaian masalah. Dan yang paling penting, ia mestilah diletakkan pada jawapan akhir. Semasa Darjah 5, Rania selalu (sangat) cuai tidak letak unit yang diminta pada jawapan akhir.
"Alaaa, Yaya lupaaa..."
?
Ya, itulah modalnya bila saya tegur. Percayalah, kebiasaan ini perlu dirutin dan dilazimkan kepada anak-anak kita dengan segera, kerana ia memang ambil masa untuk menjadi satu habit.
8. Jadilah Teman atau Regu Belajar Untuk Anak
Rania anak tunggal. Dia tiada regu di rumah untuk berlawan bersembang atau belajar. Oleh kerana itu saya mengambil keputusan untuk meletakkan diri saya sebagai kawan belajarnya juga. Percaya atau tidak, saya beli buku BH Didik Matematik serta Buku Kertas Soalan Peperiksaan Sebenar UPSR (terbitan Yakin), masing-masing dua naskhah. Ya, satu untuk Rania, satu untuk saya — pelajar 'kertu'! Hahaha...
Jadi apa yang selalu terjadi, saya akan mengajak Rania berlumba untuk menyiapkan Kertas 1 atau Kertas 2 dalam tempoh satu jam. Selain mencabar Rania supaya memecut, kami pasti bertukar buku dan saling menanda jawapan. Jangan fikir orang tua seperti kita akan dapat markah sempurna 60/60, hehehe... Ada masa, saya kalah dengan Rania. Dan apabila markah saya kalah kepada Rania, saya menganggap itu satu perkara baik.
9. Bertanyalah Kepada yang Arif dan Pakar
Saya pernah membawa jawapan Matematik Kertas 2 milik Rania untuk ditunjukkan kepada saudara suami — Jurulatih Utama Matematik peringkat Kebangsaan yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun menanda kertas Matematik UPSR. Saya tanya pandangannya, "Topek, apa lagi Rania patut betulkan, supaya cuainya berkurangan?"
Cikgu Topek menanggalkan cermin matanya lalu merenung Kertas 2 Rania itu. Diam. Dia selak halaman seterusnya. Diam. Selak lagi. Diam. Selak-selak lagi. Diam.
"Content dah ada. Tapi Mak Ngah, kome tengok kertas Rania ni Mak Ngah, bersih sangat! Apabila Rania tak nak kotorkan kertas... err, maksud kome, tak nak GARISKAN atau BULATKAN KATA KUNCI, itu memang jadi punca cuai. Kalau dah cuai, kita pasti buat salah. Kalau dah salah, tentulah kita hilang markah."
Nah.
10. Minda Mesti Positif dan Jangan Sekali-kali Gentar Pada Soalan KBAT
Tanamkan dalam minda anak-anak, Matematik BUKAN subjek yang susah. Anak-anak mesti percaya bahawa Matematik tidak sukar pun. Anak-anak harus yakin Matematik sebenarnya SENANG dan ‘KACANG’, dengan syarat, anak-anak mengguna pakai kaedah dan teknik yang betul.
Soalan KBAT juga tidak wajar digeruni tanpa usul periksa. Beritahulah anak-anak, soalan KBAT menjadi kompleks dan rumit kerana soalannya dipusing-pusing dan dijungkirbalikkan. Ya, itu saja. Itulah yang saya beritahu Rania selalu supaya dia kekal positif, tidak takut dan tidak menutup mindanya.
Di bawah ini saya kongsikan beberapa contoh latih-tubi Kertas Matematik Modul UPSR yang Rania tukangi di rumah. Sebahagiannya saya tanda sendiri bersama-sama Rania. Sebahagian lagi telah sudi ditanda oleh Teacher Nalini tanpa banyak cerita. Pesanan saya, jadikan amalan untuk menulis TARIKH dan MARKAH yang diperoleh pada halaman pertama kertas soalan. Dengan cara ini, kita dapat melihat dan menyelia perkembangan serta kemajuan pencapaian anak. Atau mungkin juga kemunduran markah anak-anak.
Semoga perkongsian ini berguna buat sahabat Facebook saya yang bakal menghantar anak-anak ke dewan peperiksaan UPSR tahun 2019 nanti.
Macam yang saya pernah sebut sebelum ini, ia tidak sempurna. Tetapi ia masih secebis ilmu untuk adik-adik Rania manfaatkan bersama.
Selamat berjuang. Selamat berilmu dan beramal.
25 Contoh Sebenar Modul Soalan Matematik UPSR Kertas 1 dan Kertas 2 yang Boleh Anak Anda Rujuk Sebagai Panduan