gaya hidup
Kenapa Dah Ramai Vaksin Tapi Kes COVID-19 Masih Tinggi? “Kita Bukan Suntik Hari Ni Terus Kebal,” – Dr. Malar
Ramai mula sangsi kenapa walaupun sudah ramai yang mengambil suntikan vaksin tapi kes positif masih mencanak naik? Ada yang persoalkan keberkesanan vaksin yang diambil? Ada juga yang kata vaksin ini tidak memberi apa-apa manfaat atau tidak berguna?
Teori kebanyakan orang ramai ternyata tersasar. Kebanyakan masyarakat tidak faham bagaimana wabak ini merebak dan bagaimana vaksin tersebut bekerja? Dalam posting di Instagramnya baru-baru ini, Dr. Malar menjawab soalan popular di kala pandemik ini.
“Anda harus faham, kes positif yang dilaporkan hari ini bukanlah disebabkan aktiviti hari ini. Ia adalah kesan daripada aktiviti 10 ke 14 hari sebelumnya. Begitu juga perihal suntikan vaksin. Suntik hari ini bukan bermakna akan terus kebal hari ini juga.
Tak ada orang yang kahwin hari ini, akan dapat anak terus hari ini. Nak melahirkan anak pun perlukan sembilan bulan untuk hamil.
Perlindungan lengkap dalam badan akan terbina selepas dua ke tiga minggu selepas suntikan dos ke dua. Peranan dos ke dua itu penting untuk untuk membina imuniti. Dan dijangkakan kes akan hanya berkurangan pada bulan September.
Perlu juga difahami bahawa lain vaksin, lain masa yang diperlukan untuk membina imuniti. Tapi, secara dasarnya, sekitar dua ke tiga minggu untuk badan betul-betul mampu melawan jangkitan,” ulasnya.
Kenapa Ada Yang Sudah Disuntik Masih Dijangkiti?
Ini juga antara soalan yang kerap ditanya oleh masyarakat. Adakah vaksin ini tidak cukup kuat untuk melindungi tubuh dan menjadi perisai kepada virus Covid-19?
Jawab Dr. Malar, “Memang ada antara penerima vaksin yang masih dijangkiti tetapi didapati hanya jangkitan ringan tahap satu atau dua. Bagaimana pula yang turut dijangkiti tahap empat dan lima? Kebanyakan mereka ini adalah penerima vaksin dos satu atau yang baru saja menerima dos dua.”
Menurut Dr. Malar juga adalah sangat penting untuk kita mencapai herd immunity lebih 50% jika mahu menjalani kehidupan normal walau dengan kehadiran Covid-19. Beliau memberi contoh negara seperti Amerika. Masyakarat di New York sudah mencapai graf 50 ke 59% suntikan, maka kerajaan mereka sudah membenarkan aktiviti dine-in kepada mereka yang sudah menerima dua dos vaksin.
Sekali lagi, Dr. Malar mengingatkan rakyat Malaysia untuk menerima suntikan vaksin dan terus menjaga SOP jika mahu kembali pada kehidupan normal baharu.
Must-Watch Video