Sharifah Sakinah Ratu Kecaman Netizen! Dia antara selebriti yang sentiasa mewarnai media sosial dengan pelbagai kontroversi dan posting yang ‘mendebarkan’. Maka, akan terjadilah peperangan antara netizen dan Kinah yang bagai peluru menembak tak henti-henti, yang akhirnya buat Kinah ‘puas’.


Itu antara yang dikongsi pelakon sensasi, Sharifah Sakinah bagaimana dia melalui hari-harinya yang kenyang dengan makanan kecaman dan kritikan warga net saban masa. Peliknya, walau dihentam kiri, kanan, depan dan belakang, Kinah tetaplah Kinah yang tidak pernah serik, jauh sekali jauh hati.


“Inilah makanan seorang penghidap attention deficit hyperactivity disorder (ADHD). Penyakit yang menjadikan saya sukar untuk fokus dan terlebih aktif. Apabila otak saya terlebih berfikir tanpa henti, kreatif lain macam, maka media sosiallah tempat saya melepaskan energi itu. Tu yang berlaku bermacam posting pelik dan apabila dikecam saya puas!” akui Kinah jujur.





Dah Terlewat Apabila Dibawa Jumpa Doktor

Ramai tertanya kenapa baru-baru ini saja Kinah baru isytiharkan yang dia mengidap ADHD? Tiada siapa sangka rupa-rupanya sikap pelik Kinah selama ini disebabkan masalah mental yang tidak normal seperti orang lain. Kinah hanya dibawa berjumpa doktor oleh bekas suaminya selepas dua tahun mereka bernikah.


Waktu itu memang agak terlewat. Namun, Kinah masih meneruskan rawatan dan ubat yang dibekalkan untuknya makan bagi mengurangkan masalah yang dihadapi. Selebihnya, Kinah cuba mengawalnya secara semula jadi dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan penguasaan terhadap dirinya sendiri.


“Saya akui sikap saya ada kala annoying gila. Kadang-kadang nak bercakap dengan orang pun saya susah nak fokus lama. Lain ditanya, lain saya jawab. Kadang-kadang melompat-lompat topik yang saya bualkan sehingga buat saya lebih suka diam sebab takut tersalah bual. Itu yang terjadi saya berkurung dalm rumah 40 hari sebab tak nak jumpa orang, tak nak buat salah.”

A post shared by Sharifah Sakinah Al-Khaired (@sharifah_sakinah)




Tekanan Memuncak Apabila Kinah Jadi Ibu

Hasil perkahwinan pertamanya, Kinah memiliki seorang anak perempuan, Anais Adha. Walaupun sudah tega hidup seumpama itu bertahun-tahun, hanya selepas memiliki anak; Kinah mulai rasa tekanan luar biasa. Sepatutnya, seorang ibu akan berasa teruja memiliki cahaya mata sendiri, sebaliknya bagi Kinah.


“Saya akui saya bukan isteri yang baik, apa lagi untuk menjadi ibu sempurna. Saya tak pernah sekali pun masak untuk suami saya. Tak pernah mampu nak suapkan anak makan. Entahlah kenapa saya macam ni.


Saya pernah mencuba. Tapi, setiap kali nak masak, dapur terbakar, nak potong bahan, jari terpotong, bila pegang anak, anak terjatuh, Ya Allah, penatnya!” Luah Kinah dalam hela nafas yang panjang.


Kinah juga mengakui setiap kali melihat Instagram ibu-ibu lain seperti Hanis Zalikha dan kawan-kawannya yang mampu melayan anak dengan baik, Kinah tertanya sendiri kenapa aku tak mampu lakukannya? Betapa teruknya dia sebagai ibu apabila Kinah sedar Anais masih tidak mampu bercakap pada usia empat tahun disebabkan kegagalannya berkomunikasi dengan anak sendiri.


“Sungguh menyedihkan apabila saya tak mampu untuk berkomunikasi dengan Anais. Apabila Anais nak cakap sesuatu, saya tak mampu nak reply dengan baik. Ya, ada masanya saya boleh ‘attach’ dengannya tapi entah kenapa hubungan itu tak mampu berlama-lama. Saya layan dia kejap, kemudian saya jadi bosan dan saya kembali abaikannya...”





Kenapa Saya Lahir Sebegini?

“Saya sendiri tak suka nak kata saya ni ada penyakit mental ke, anxiety atau depresi melampau. Tapi inilah kenyataannya. Mungkin ini juga genetik saya, saya rasa Ayah saya juga memilikinya tapi orang dulu tak tahu sangat pasal penyakit ini. Jadi, ia dianggap perkara normal. Ada kala saya 'give up' juga, memang tertanya sendiri kenapa aku dilahirkan macam ni? Kenapa aku tak macam orang lain?” Tambah Kinah lagi.


Apabila ditanya marahkah Kinah kepada netizen yang selalu mengecamnya? Jawab Kinah, tidak kerana mereka sendiri tidak faham keadaan sebenar Kinah. Cuma, ada kala Kinah memang sengaja mencetuskan kontroversi kerana mahu menelanjangkan sikap sebenar masyarakat kita hari ini dalam menilai orang dan berbahasa.


“Ini yang dinamakan naluri, naluri seorang manusia yang sukar untuk diubah. Ada orang yang bernaluri nak tukar jantina. Macam saya, saya tak boleh duduk diam. Saya suka cipta masalah yang buat orang akhirnya menghukum saya. Tapi, dari situlah kita boleh tengok macam mana teruknya bahasa orang sekarang. Teruk yang teramat sangat.”


Namun, Kinah sedar andai dia dapat melawan semua itu, maka dia berjaya dan menang. Menang untuk menjadi manusia normal.




Jangan Salahkan Sesiapa Disebabkan Kesilapan Saya

Ketika ditanya Pak Nil, jika bekas suami Kinah dulu yang bertanggungjawab membawa Kinah mendapatkan rawatan pakar, kenapa tidak dia terus setia hingga ke hari ini? Kinah pantas mencelah soalan itu. “Jangan sesekali salahkan bekas suami saya. Sebab tu Kinah marah kalau ada yang salahkan dia, dia suami yang baik. Jodoh kami je dah tak ada.”


Pada bual bicara penuh emosi itu juga, Kinah sempat mentipkan kata-kata hiba buat ibunda tercintanya. Dengan air mata mencurah laju, tutur Kinah, “Umi, maafkan Kinah kerana selalu bawa masalah kepada Umi. Kinah tak mampu jaga nama baik keluarga kita, keturunan kita.


Kinah memalukan Umi, maafkan Kinah kerana banyak melukakan hati umi. Tapi perayalah Umi, Kinah sedang melalui masalah mental yang sangat buruk sekarang ini. Berilah masa untuk Kinah membetulkan semua ini...”