Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kenapa Tiba-Tiba Perempuan Jadi Lebih Cantik, STYLISH, Yakin Selepas Diceraikan? Kenapa Dulu KUDUP Je?

Afiza Kamarulzaman
15/04/2021 04:12 MYT
Seorang teman baru diceraikan suaminya setengah tahun yang lalu. Walaupun tak lama mana memegang status janda, namun perubahan dirinya jelas ketara. Jika dulu masih bergelar isteri dengan ibu kepada tiga orang anak, dia kelihatan kusam, penat dan sangat sederhana.


Walaupun bekerja sebagai kerani akaun, penampilanya ringkas saja, sangat ringkas sebenarnya. Setiap hari ke tempat kerja dengan baju kurung atau blouse besar bunga-bunga dipadankan sama palazo mencecah lantai. Jarang berkasut, hanya sandal diseret ke sana sini.


Mekap usah diceritakan. Katanya set mekap yang pernah dibeli untuk hantaran kahwin pun masih bersisa lagi. Betapa jarangnya dia bersolek. Hanya kalau ke kenduri kahwin, barulah dia oleskan sedikit gincu buat basah bibir katanya.


Setahu penulis dulunya dia seorang yang boleh tahan cantik, kemas dan boleh tahan juga bergaya. Selalu juga melihat baju dan kasutnya bertukar. Kini, boleh dibilang berapa pasang saja baju yang dimilikinya. Itu saja yang diulangnya.


Katanya dia suka baju dan tudung yang tak perlu digosok. Tak ada masa nak membelek diri depan cermin lama-lama dek kerenah anak yang asyik bergantung di badannya. Suami? sejenis suami tipikal yang makan dihidang, baju disidai, tidur dibelai.



Transformasi 360 Darjah Selepas Diceraikan


Sayangnya, walaupun sudah berkorban sebegitu hebat umpama membakar diri bak lilin, tetaplah suami tidak hargai. Dalam diam, suami kahwin lain di sempadan negeri. Apabila mendapat tahu berita itu terus saja kawan penulis menuntut cerai.


Bagai orang mengantuk disarung bantal, terus sahaja suaminya itu melafazkan talak. Anak-anak diberikan hak penjagaan sepenuhnya kepada isteri. Tidak sedihkah? Tanya penulis. Katanya seribu rahmat setelah diceraikan. Tinggal dengan anak-anak lebih menyenangkan.


Kini dia bebas untuk melalui rutin hidup mengikut keselesaannya. Tidak perlu terkejar-kejar menyiapkan makan pakainya yang serba cerewet itu. Walaupun anak tiga orang masih bersekolah semuanya, tapi mereka sangat mudah diatur.


Tidak banyak kerenah seperti bapanya. Makan saja apa yang disajikan ibu. Apabila disuruh bantu kerja di rumah, lekas mereka buat. Malah, sangat seronok apabila kini menjalani hidup tanpa ayah yang suka marah-marah dan mengarah saja.


Yang menariknya, dia kini sangat berubah diri. Penampilannya saja sudah jauh berbeza. Kini semakin langsing, maka letaklah baju apa pun kelihatan sangat cantik. Sudah pandai berkasut tumit tinggi, bersolek dan sudah pandai ke spa atau salun.


“Aku penat kerja, sesekali nak juga belai-belai diri sendiri. Lagi pun aku pandai cari duit sendiri, bukan aku minta orang,” ujarnya yang kini lega bebas untuk berbuat yang terbaik untuk dirinya.

Kredit Foto: Google



5 Sebab Wanita Kembali Bersemangat Selepas Diceraikan:
  1. Wanita yang disakiti oleh orang yang pernah disayangi dan berkorban jiwa raga memang akan terkesan lebih dalam. Maka, wanita ini akan bangun untuk membuktikan yang dirinya boleh hidup berdikari dan sendiri. Dia juga mempunyai maruah dan harga diri kerana selama ini pun dirinya kelihatan merundum disebabkan pengorbanan yang terlalu kuat untuk orang yang dia sayang itu. Justeru, apabila pengorbanannya itu dibalas dengan pengkhianatan, automatik dirinya akan ‘twist’.
  1. Jiwa wanita sememangnya kental daripada apa segi sekali pun. Apa lagi kalau bercakap soal anak-anak. Maka, kebanyakan wanita bangkit dan mengubah dirinya demi anak-anak yang disayangi. Apatah lagi jika anak-anak juga mudah dibawa berbincang dan menjadi support system mereka.
  1. Semua keputusan kini berada di tangannya. Kalau dulu, hatta perbelanjaan kecil seperti membeli sebatang gincu pun perlu dibincangkan sama suami, kini tidak perlu lagi. Jika teringin, beli sahaja jika dirasakan mampu.
  1. Demi kehidupan baru yang lebih baik, seorang wanita akan melangkah ke depan dan tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Mereka tidak akan mudah mengalah dan terkesan dengan kata-kata orang atau penghinaan bekas suami.
  1. Dan yang pastinya, kebanyakan mereka berubah untuk membuktikan sesuatu kepada orang yang pernah menjatuhkan dan menyakiti hatinya, pastinya bekas suami dan mungkin ‘dalang’ yang menjadi penghancur rumah tangga mereka. Memang sifat seorang wanita, pantang dicabar dan sentiasa mahu membuktikan kemampuan dirinya. Nah, selalunya langkah pertama mereka adalah mengubah penampilan untuk menjadi lebih berkarisma dan menawan.
#wanita #Diceraikan #Janda Berhias
;