Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kenapa Wanita Sekarang Nampak Lebih MUDA Berbanding Orang Dulu? Tapi Dari Segi Dalaman, Orang Dulu Lebih Sihat

Afiza Kamarulzaman
24/08/2021 13:21 MYT
Kita tak nafikan orang dulu-dulu memang banyak amalan semulajadinya. Kerana itu, mereka lebih sihat dan bertenaga berbanding orang sekarang. Namun, jika diamati daripada segi penampilan luaran, ternyata orang zaman dulu (khususnya wanita) terlihat lebih matang daripada usianya berbanding wanita zaman sekarang yang jauh kelihatan muda.


Kalau dulu, wanita berusia 50 tahun rata-ratanya sudah terlihat ketara kedut-kedut pada wajah mereka, bertubuh sedikit ‘memboyak’ dan penampilan yang sudah mengudup. Pada pengamatan penulis ini antara teori mengapa wanita zaman dulu cepat kelihatan matang berbanding wanita zaman sekarang yang kelihatan lebih muda pada usia yang sama.



Perbezaan Gaya Hidup

Ini sangat ketara menerusi peredaran zaman dan bagaimana wanita seusia melalui kehidupan pada dua zaman berbeza. Orang dulu membanting tulang sejak kecil. Semua kerja rumah memerlukan tenaga tanpa bantuan alat moden. Lihat bagaimana susuk luaran seseorang yang bekerja buruh dengan bekerja di pejabat?


Tubuh yang bekerja lebih keras akan terlihat lebih ‘dimamah usia’. Malah, pada usia awal lagi kebanyakan gadis zaman dulu sudah diajar untuk memasak, bertani, melakukan kerja rumah dan sebagainya.



Terdedah di Bawah Sinar Matahari

Apabila banyak melakukan aktiviti di luar rumah seperti berjalan jauh, mencuci dan berkebun, ia mendedahkan kulit dengan sinar matahari. Orang dulu pastinya tidak menyedari bahaya sinar UV pada kulit, apatah lagi untuk mempunyai tabir suria iaitu sunblock.


Sinar UVA dan UVB ini mendatangkan kemudaratan kulit seperti bintik gelap, pigmentasi, warna kulit tidak sekata, kusam dan penuaan. Wanita zaman sekarang semakin sedar mengenai keburukan sinar matahari kepada kulit dan sentiasa bersedia dengan sapuan sunblock setiap kali keluar rumah, menjadikan wajah mereka dilindungi.


Produk Penjagaan Kulit

Wanita zaman dulu hanya menggunakan bahan semula jadi sebagai rejim kecantikan mereka dan kebanyakan mereka tidak arif dengan aturan tepat penjagaan kulit wajah. Bukan bererti mereka tidak cantik. Wanita zaman dulu cantik secara semula jadi dan mengikut peredaran usia secara alami.


Berbeza dengan teknologi kecantikan hari ini yang banyak semakin banyak jenama kecantikan membangunkan formula dan kandungan bahan premium dalam set penjagaan kulit khusus untuk wanita menunda penuaan kulit. Inilah antara alat sokongan untuk wanita hari ini terlihat lebih muda dari usia.


Teknologi Kecantikan

Selain produk penjagaan kulit, teknologi kecantikan bertambah agresif dengan kemunculan rawatan-rawatan kecantikan yang begitu ‘advance’. Ia mampu memberikan impak muda yang pantas seperti suntikan Vitamin, kolagen, botoks, pembedahan kosmetik dan sebagainya.


Inilah antara faktor penyumbang juga kebanyakan wanita hari ini terlihat jauh lebih muda daripada usia mereka. Dan, pastinya semua ini tidak dimiliki pada zaman nenek moyang kita yang menerima pertambahan usia dengan reda.



Kedua-dua Zaman Ada Baik Buruknya


Apa pun kita tidak mengatakan zaman manakah yang lebih baik? Ya, zaman dulu wanitanya mungkin ketiadaan senjata tambahan untuk menunda usia tetapi mereka kekal sihat tanpa banyak penyakit sehingga hujung usia.


Manakala, wanita zaman kini, walaupun nampak muda, wajah cekang, kulit tegang tapi lebih ramai mengidap penyakit berisiko berbanding wanita zaman dulu. Ini juga didorong oleh pemakanan kurang sihat seperti fast food, atau makanan berproses, juga pengambilan suplemen terlarang.


Alangkah bertuahnya kalau kita dapat miliki keduanya – cantik luar sihat dalaman. Justeru, jagalah kesihatan dan kecantikan diri menerusi cara yang betul.

#Kecantikan #Wanita Dulu #wanita sekarang
;