Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Kenapa WANITA Yang Kaya Berjaya Sebelum Kahwin, Susah Memiliki Cinta Abadi? Tercabarkah Si Lelaki?

Afiza Kamarulzaman
29/12/2020 13:15 MYT
Berkerjaya hebat, berpendapatan lumayan, berharta dan berkedudukan – wanita yang memiliki semua ini pasti dipandang tinggi di mata masyarakat. Namun, seperti kata kenyakan orang, manusia tiada yang sempurna. Diberi itu dan ini, kurang yang sana pula. Segelintir wanita dalam kelompok ini diuji dengan sisi berbeza.


Ada antara mereka yang ketandusan cinta dan tiada lelaki yang mampu membawanya ke gerbang bahagia. Setiap kali cinta datang menyapa, bak angil lalu; hilang melayang entah ke mana. Memanglah kekayaan dan harta dunia ini menjadi dambaan semua. Namun, sesekali pasti juga terasa sunyi dan kekosongan di hati walau duit berlimpahan.


Kredit Foto: Google


Bukan Tiada Yang Mahu, Tapi Banyak Ranjaunya


Tipulah kalau tiada lelaki yang sudi mengisi kekosongan di hati. Namun, banyak lelaki yang sudah memulakan langkah pertama, tidak mampu menamatkan perjuangan itu. ramai yang terkandas di tengah jalan dek besarnya ujian dan rintangan yang terpaksa didepani. Lemahkah lelaki itu atau keras sangatkah kubu si wanita?


Ada kalanya, si wanita yang kaya itu sudah okey. Tiada banyak kerenah daripadanya. Malah hubungan berjalan lancar untuk kedua pasangan. Wanita itu tidak pernah membangkitkan soal perbezaan taraf mereka. Namun, selalunya yang menjadi dalang adalah pandangan orang luar, hatta keluarga si wanita sendiri.


Benar, kita tidak perlu peduli apa orang kata? Namun perjalanan hidup kita masih panjang dan setiap masa akan berdepan dengan orang keliling kerana kita hidup bukan berdua sahaja. Jadi, mampukah hari-hari menadah telinga mendengar umpatan dan kejian orang yang mengatakan si lelaki makan harta si wanita? Atau si lelaki jenis mengambil kesempatan?
Kredit Foto: Google

Kisah Benar; Putus Terpaksa Dek Keluarga


Kawan lelaki penulis namanya Nazim, 37 pernah bercerita kisah cinta dua darjatnya dengan Sufia, 35. Katanya, Sufia seorang gadis yang sangat cantik, baik budi pekerti, berkedudukan tinggi di pejabatnya dan sudah memiliki pelbagai aset seperti kereta, rumah dan berbidang-bidang tanah juga saham.


Dipendekkan cerita, mereka terus menganyam cinta selama hampir setahun sebelum mengumumkan hubungan itu secara rasmi kepada kedua belah keluarga. Keluarga Nazim menerima dengan hati terbuka. Sebaliknya, keluarga Sufia yang berasakan ragu-ragu kerana Nazim hanya bekerja makan gaji dengan pendapatan dua kali ganda kurang daripada Sufia.


Walau keluarga Sufia memberi keizinan untuk mereka berkahwin namun sepanjang perhubungan itu begitu banyak ujian dan dugaan yang secara sengaja atau tidak dicipta keluarga Sufia. Tidak hanya meletakkan duit hantaran yang tak masuk akal, malah pelbagai lagi kerenah mereka sekeluarga yang harus Nazim telan.


Lama-kelamaan, Nazim jadi muak apabila selalu disindir setiap kali mereka bersua sekeluarga. Ada kala, hal peribadi Nazim menjadi bahan gurauan mereka adik-beradik. Malah, pekerjaan mak ayah Nazim pun pernah dijadikan modal mereka bercanda. Terfikir Nazim, sampai bila dia harus bertahan dalam keadaan begini?


Walaupun nanti Sufia sudah menjadi miliknya, tak akanlah nak dibawa Sufia lari daripada keluarganya sendiri? Maka, Nazim putuskan secara profesional untuk menamatkan hubungan mereka. Sufia yang sudah biasa dikecewakan nampaknya reda dan menerima keputusan Nazim dengan tenang.


Begitulah cerita pendek Nazim yang kini sudah selamat bertunang dengan gadis biasa, cikgu sekolah sahaja. Khabarnya, Sufia masih seperti dulu juga. Masih kosong dan terus sibuk dengan kerjayanya. Inilah pengorbanan Nazim untuk tidak mengeruhkan hubungan Sufia dan keluarganya.


Nah, kesimpulannya? Lelaki memang harus ‘kuat’ jika mahu menerima wanita kaya berjaya sebagai isteri. Sekalipun tidak ditentang oleh keluarga si wanita, bimbangnya menjadi bahan teori dan kejian orang sekeliling. Ramai sahaja yang dengki apabila melihat lelaki biasa dapat menikahi wanita berjaya. Di sebalik rezeki, terselit ujian. Fikir-fikirkan.

Kredit Foto: Google




#Cinta #Cari Jodoh #Wanita Bekerjaya
;