gaya hidup
Kerana ‘Struggle’ Kita Tak Sama. Sudah-Sudahlah Cakap “Dia Bolehlah… Dia Tak Apalah…Untunglah…”
Perjalanan hidup kita semuanya sudah ditentukan-Nya. Saat dan detik kelahiran kita, bila masanya kita mula berjalan, berlari dan sebagainya. Dari zaman persekolahan ke alam remaja hinggalah dewasa, bila masanya kita berkahwin, dengan siapa pasangan kita, bila saatnya kita menimang cahaya mata – pendek kata dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya sudah tercatat di Loh Mahfudz. Tiada ketetapan atau ketentuan bisa merubah melainkan dengan izin-Nya.
Kredit Foto: Google
Selagi Hidup Berjuanglah
Ketepikan seketika soal pandemik Covid-19 yang telah mengubah corak dan gaya hidup kita umpama 360 darjah bezanya. Kerana hakikatnya setiap hari, saat nafas masih dihela bermula detik itulah kita berjuang. Memulakan hari dengan penuh iltizam dan tekad demi kelangsungan hidup. Baik golongan B40, M40 atau T20 sekalipun, sesungguhnya kita berjuang dengan cara tersendiri.
Apa yang mahu diperjuangkan? Sama ada yang berumahtangga ataupun bujang tidak dapat lari daripada hakikat ini. Selagi masih dipinjamkan kudrat dan tulang empat kerat itu manfaatkanlah. Dan pastinya berbicara mengenai ‘struggle’ ini soal kerja adalah titik tumpunya.
Kredit Foto: Google
‘Struggle’ Kita Takkan Pernah Sama
Misalnya apabila seseorang mendapat pekerjaan yang diidamkan, pasti ada pro dan kontranya. Ditawarkan dengan gaji yang sekian jumlahnya tetapi perlu berjauhan dari keluarga berbulan-bulan lamanya. Bagaikan hilang satu nikmat untuk melihat anak-anak membesar dihadapan mata.
Dan si fulan yang lain pula, Allah rezekikan bekerja dalam sektor peruncitan, di komplek membeli-belah. Tetapi jarak tempat kerja dengan rumahnya hanya dengan berjalan kaki sahaja. Pastinya satu kelebihan buatnya dapat berulang alik ke rumah dan tempat kerja saban hari. Tetapi gajinya tidaklah semewah orang lain. Sungguhpun begitu makan dan pakainya cukup-cukup sahaja.
Berbeza pula dengan si fulan yang ini. Bergaji besar, punya kereta yang cukup selesa ke sana sini. Tetapi hakikatnya dek kerana kesibukan kerja, dia tidak dapat pulang ke kampung selalu menjenguk ibu ayah dikampung. Memadai hanya tiga empat bulan sekali, selebihnya hanya mengirim duit untuk kegunaan mereka. Dan dalam masa sama perlu membantu dan menampung perbelanjaan adik-adik yang masih bersekolah. Mana lagi mahu uruskan soal kerja-kerja pejabat dan perihal adik-adik, pastinya menguji kesabaran.
Kredit Foto: Google
Manakala si fulan ini bekerja di syarikat antarabangsa yang menghambatnya dengan pelbagai tuntutan kerja. Hinggakan tiada masa mahu fikirkan soal mencari cinta, menyertai aktiviti keluarga. Tertekan dengan asakan bertubi-tubi majikan yang mahukan prestasi cemerlang itu ini. Dan apabila segala tekanan tidak lagi mampu digalas, mulalah menderita dengan masalah depresi.
Dan si fulan yang ini pula bekerja sendiri dengan menjual nasi lemak juga kuih-muih saban hari setiap pagi. Dan disebelah malamnya pula menjual burger di hadapan rumah. Pilihannya cuma berniaga waktu hari bekerja, Isnin hingga Jumaat kerana mahu menumpukan soal peribadi setiap hujung minggu. Mungkin untung tidaklah selebat mana tetapi masih punya wang tunai ditangan tanpa perlu meminjam dengan sesiapa.
Kerjalah Apa Sekalipun, Pasti Ada Pengorbanannya
Dari kaca mata kebanyakan orang yang melihat, mudah sekali mereka berkata “Dia bolehlah… Dia tak apalah…Untunglah…” sedangkan kita tidak pernah tahu betapa sukarnya si fulan si fulan ini ‘struggle’ dengan setiap apa yang dilalui. Betapa besar pengorbanannya yang umpamanya dapat meraih sesuatu tapi terpaksa lepaskan sesuatu. Selagi kita tidak berada didalam kasut mereka, usah sekali-kali menuding jari. Kerana selagi dpinjamkan nafas untuk hidup, selama masih diberi kekuatan fizikal untuk bekerja kita takkan pernah berhenti berjuang dan terus berjuang.
Kredit Foto: Google
Dan setiap pengorbanan itu sebaiknya dipaksikan dengan niat melakukannya untuk mencari redha Allah, dilakukan kerana Allah dan moga Allah jua yang memudahkan perjalanannya. Walau terpaksa mengharung sukar, laluan berliku sekalipun yakinlah dengan janji Allah bahawa setiap kesukaran itu pasti ada kesenangan, kemanisan di penghujungnya.