Oleh: Norhaizan Ahmad

Kredit foto: Google.com

KENDERAAN dicuri di mana-mana, ada yang dicuri di tempat letak kereta awam ataupun kompleks membeli-belah. Waima di depan rumah sendiri pun ada juga berlaku kecurian kereta. Ramai tahu, meletakkan kereta di tempat yang terpencil atau gelap pada waktu malam antara faktor yang menggalakkan pencuri melarikan kereta anda.

Selain itu, meninggalkan barang berharga seperti komputer riba di dalam kereta, membiarkan kereta tidak berkunci ataupun tiada kunci tambahan seperti kunci stereng menjadikan kenderaan anda tumpuan kepada pencuri. ya, inilah peluang baik, kerja mencuri kereta jadi mudah!

InTrenders boleh mencegah kereta anda daripada dicuri dengan pelbagai cara, antaranya:

1. Kereta hendaklah sentiasa dikunci walaupun anda mahu meninggalkanya hanya untuk seketika. Apatah lagi jika meninggalkan kereta dengan enjin tidak dimatikan. Awas! Anda sememangnya menggalakkan pencuri melarikan kereta anda jika berbuat begini.

2. Pasangkan alat penggera keselamatan pada kereta anda. Jika anda mampu, pasanglah alat penggera kenderaan yang berkualiti tinggi. Biar alah membeli, menang memakai! Dan pastikan penggera ini berfungsi dengan baik.

3. Memasang kunci tambahan seperti kunci stereng, kunci tayar dan kunci klac amat digalakkan. Kunci tambahan ini akan menyukarkan atau melambatkan pencuri untuk melarikan kereta anda.

4. Anda disarankan meletak kereta di tempat yang mudah dilihat dan pada waktu malam letak kereta di kawasan yang terang berlampu. Meletak kereta yang jauh daripada laluan orang ramai memberi ruang kepada pencuri melakukan kerja ‘kotor’ mereka.

5. Elakkan meletak kereta bersebelahan dengan kenderaan berat seperti bas atau lori kontena kerana ini memberi peluang kepada pencuri membuat kerja jahat mereka disebabkan ia terlindung daripada pandangan orang.

6. Pastikan anda berhati-hati supaya kunci kereta tidak ditiru semasa menghantar kenderaan anda untuk diservis, ataupun elakkan daripada menyerahkan kunci kereta kepada jockey kereta.

7. Bagi pemandu wanita, bersiap sedia dengan kunci kereta apabila menuju ke kereta dan pastikan tiada orang yang mencurigakan berada di sekitar anda. Sebaik pintu dibuka, masuk cepat ke dalam kereta dan kunci kereta dengan segera.

8. Anda juga digalakkan mengukir nombor pendaftaran di cermin kenderaan.