KESETIAAN Seorang Suami Tidak Terletak Pada Ilmu Agamanya, Tapi Iman dan Hati Untuk Terus Ingat Anak Bini.
Afiza Kamarulzaman
02/08/2020 00:48 MYT
02/08/2020 00:48 MYT
Walau apa jua kelebihan atau hak diberikan Islam kepada lelaki daripada segi boleh beristeri lebih, itu tidak bermakna mereka boleh sesuka hati merosakkan hubungannya dengan isteri dan menyakiti hati anak-anak. Islam itu indah dan setiap hukum yang Allah turunkan bukan hanya untuk ‘suka-suka’.
Ilmu itu harus dituntut, dan lebih baik lagi diamalkan juga. Tahu saja tidak cukup jika tidak dipraktikkan dalam prinsip kehidupan seharian. Jangan berbangga dengan status agama yang kita gunakan jika diri sendiri tidak mencerminkan kesucian gelaran yang diterima itu. Akhlak seseorang tidak terletak pada apa gelaran yang diberi; sama ada Ustaz, Imam, Haji, Hajah dan sebagainya.
Ada orang tiada apa gelaran dipanggil. Hanya nama yang diberi mak ayah dibawa sepanjang usia. Namun, dialah sebaik-baik lelaki, suami dan bapa. Walau tanpa sanjungan manusia, dia tetap mampu menjadi ‘imam’ terbaik untuk anak isterinya. Dialah nakhoda yang mencipta syurga untuk keluarganya di dunia dan akhirat.
Kredit Foto: Google
Iman dan Hati Penentu Kesetiaan
Justeru, janganlah kita berasa ‘selamat’ setelah berjaya menikahi lelaki yang dikatakan mampu membimbing kita ke jalan syurga jika ia hanya tercatat pada sisi luarannya sahaja. Ya, mungkin ilmu agamanya dituntut sehingga ke Mesir. Mungkin juga dia pendakwah yang berjaya membuka hati banyak pengikutnya. Namun, belum terjamin dia mampu menjadi ketua keluarga yang menyenangkan hati.
Mereka juga manusia biasa yang tidak lepas daripada ujian dan godaan dunia. Ada lelaki yang memberi seribu alasan apabila terkait dengan isu skandal dan curang ini. Ada suami yag sanggup meninggalkan isteri demi perempuan lain atas alasan mahu mengubah wanita itu ke jalan yang lebih baik
Ada pula yang mahu menikahi kekasih gelapnya atas alasan mahu menumpang senang. Tidak kurang yang menjadikan alasan mahu membantu wanita itu yang hilang hala tuju dalam hidup. Atau mungkin soal perniagaan menjadi faktor juga lelaki mencari helah untuk menghimpit wanita baru.
Apa pun alasan dan faktor yang disenaraikan, adakah wajar isteri lama dan anak-anak terdahulu dipinggirkan? Kenapa mahu membina masjid baru, masjid lama dirosakkan? Di situ sudah membuktikan yang kamu tidak layak untuk berpoligami. Jangan sebut ia sunah Rasulullah jika keperibadian kamu tidak mirip walau sebesar zarah pun dengan baginda nabi.
Kredit Foto: Google
Cermin Diri, Perkahwinan Bukan Dagangan
Nafsu besar tapi kemampuan sedikit. Bukan hanya kemampuan dari segi nafkah zahir, tetapi juga kemampuan daripada segi menguruskan masa, membahagikan hati dan kasih-sayang. Jika sebelum menikahi wanita baru pun, kamu sudah menyakiti hati isteri dan berlaku curang di belakangnya, bagaimana mungkin kamu menyatukan keduanya dalam sebuah keluarga sakinah nanti?
Jangan rosakkan niat pernihakan itu dengan cuba mengambil kesempatan atas alasan itu dan ini. Matlamat tidak menghalalkan cara. Penikahan itu bukan dagangan untuk menumpang senang wanita itu atau topeng yang kononnya sebagai pembela kepada nasib bakal isteri. Adakah hanya kamu hero di Malaya ini?
Adakah bimbingan seorang lelaki itu hanya boleh terkesan jika kamu dan dia menjalin hubunga intim? Begitukah yang diajar Islam? Tidak bukan. Islam lebih menekankan bagaimana untuk menyantuni isteri dan bertanggungjawab terhadap anak-anak yang engkau benihkan itu. Bukan sibuk mencari kehidupan baru di luar sana!
Kredit Foto: Google
Para Isteri Mesti Kuat dan Teruskan Kehidupan
Dan, buat isteri-isteri yang berdepan dengan pengalaman ini, cubalah bertabah dan melalui ujian ini dengan takwa yang tinggi. Memang perkahwinan ini tiada jaminan untuk kekal aman hingga akhir nyawa, walau sebaik mana pun suami pada awal pernikahan atau ketika zaman dia mengurat dulu.
Hati suami bukan hak mutlak isteri. Sampai masa ujian datang, ia tidak boleh dikawal lagi. Sebagai isteri, tetapkan dalam diri untuk sentiasa punya persiapan fizikal dan mental. Bukan mahu syak wasangka terhadap suami sendiri, tetapi dunia hari ini mengajar kita untuk sentiasa menyanyangi diri sendiri terlebih dulu.
Andainya kita berjaya melalui ujian ini dengan tabah dan reda, Insya Allah ganjaran daripada Allah itu ada, sama ada di dunia juga akhirat. Jadi, janganlah kita terus menerus bersedih dan meratapi nasib. Sesungguhnya, dia memag tidak layak untuk kehidupan kita yang lebih baik pada masa akan datang.