Read
[KISAH BENAR] Ditinggalkan Pada MALAM PERTAMA, Pengantin Sehari – Isteri Terpaku Suami Berlalu Pergi
Reeka, teman serumah saya dulu ajak berjumpa sekejap. Katanya ada kisah menarik mahu dikongsikannya. Tambahnya lagi mahu memancing saya bertemu dengannya juga-juga, “Cerita ni panas. Bolehlah kau tulis di InTrend nanti. Tapi rahsiakan nama-nama itu semua tau. Tak perlulah tahu orangnya, cukup tahu cerita dia.” Ujarnya lagi beria-ia.
Seminggu kemudian baru saya berkesempatan keluar minum-minum dengannya. Pada minit-minit pertama, berborak kosong, bercerita serba-sedikit perkembangan terbaru masing-masing, wajah Reeka kemudian berubah serius. Teh ais limaunya yang sudah habis disedut ditolak ke tepi.
Kredit foto: Google
“Sepupu aku, nama dia Sofia (bukan nama sebenar). Kesian betul. Dua bulan lepas dah bernikah dengan mamat tak guna ni!” Reeka memulakan topik asal yang ingin diceritakannya.
“Kenapa tak guna pula? Kaki pukul ke? Ke ada skandal?” Tanya saya, juga tidak sabar mahu mengetahui cerita lanjut.
“Macam mana nak tau kaki pukul ke ada skandal ke? Tak sempat pun nak duduk serumah, dah lesap...” Cerita Reeka lagi dengan wajah menyinga.
Kredit foto: Google
Menurut Reeka, Sofia baru mengenali Azri lima bulan melalui seorang rakannya. Ketika itu, Sofia baru putus tunang dan memang dia frust menonggeng kerana tunangnya itu ada perempuan lain. Untuk merawat luka, Sofia mahu lekas-lekas menamatkan zaman bujangnya walau dengan sesiapa saja jodohnya datang.
Dan, apabila diperkenalkan dengan Azri, diperkuatkan dengan hujah yang Azri ini anak orang baik-baik dan berkelulusan ijazah, terus sahajalah sepupu Reeka bersetuju. Ibu dan ayahnya juga suka dengan Azri yang secara luarannya nampak baik dan berbudi bahasa orangnya.
“Dipendekkan cerita mereka pun bertunanglah tiga bulan sebelum akhirnya terus mahu bernikah. Sofia dah tak percaya dengan ‘dating-dating’ ni. Dia mahu bercinta selepas kahwin katanya. Jadi, tanpa kenal secara dekat, Sofia terus sahaja yakin yang Azri mampu menjadi imamnya. Mereka pernah keluar dua, tiga kali saja. Itu pun sebab nak uruskan hal majlis tunang dan nikah mereka. Itu,” Cerita Reeka sambil memesan segelas lagi air minumannya.
Kredit foto: Google
Malam Pertama Menjadi Malam Terakhir
Tidak berapa lama kemudian, mereka pun bernikah dalam majlis yang sederhana. Nikah pada malam itu dilakukan di rumah Sofia. Selesai majlis nikah, Azri minta izin untuk pulang semula ke rumah keluarganya atas alasan mahu bersiap bersama keluarganya untuk majlis bersanding esok. Tanpa mengesyaki apa-apa, Sofia bersetuju.
Dan, esoknya mereka pun bersandinglah di atas singgahsana yang cantik dihias bunga-bunga segar. Sofia pun nampak begitu berseri-seri dengan solekan yang padan dengan wajahnya yang sedia ayu itu. Tubuhnya yang tinggi langsing itu juga nampak begitu menawan dengan persalinan songket emas. Memang sempurnalah Sofia sebagai ratu sehari.
“Malam itu khabarnya Azri dan Sofia pun tidurlah di bilik pengantin di rumah keluarga Sofia. Seperti pengantin baru lainnya, mereka masuk tidur agak lewat kerana membantu mengemas dan berbual-bual dengan ahli keluarga. Walaupun sudah menguap berkali-kali, namun Azri nampaknya tenang saja menunggu sehingga jam satu pagi,” Kata Reeka.
Kredit foto: Google
“Jadinya, apa yang berlaku malam tu?”Tanya saya yang sudah tidak sabar mahu tahu cerita malam pertama mereka itu.
“Aku taklah pasti sangat tapi kata Mak Cik aku, Azri keluar dari bilik malam itu juga, kira-kira dua ke tiga jam berada di bilik tersebut. Dan, esoknya bila ditanya Sofia, kemana Azri? Sofia hanya menangis teresak-esak...” Luah Reeka sambil melepaskan keluhan berat. Reeka mengetap bibirnya, antara riak marah dan hiba.
“Sofia tu budak baik. Dia memang nak kahwin sebab nak kahwin. Dia memang dah cakap, lepas kahwin dia akan fokus kepada suaminya je. Tapi kesian... Esoknya tu, suaminya terus lepaskan talak satu kepada Sofia.”
Kredit foto: Google
Apa Yang Berlaku Hanya Sofia Yang Tahu
Walaupun diasak bertalul-talu oleh mak dan ayahnya tentang apa yang berlaku? Sofia tidak mahu bercerita lebih lanjut cuma kata-kata yang keluar daripada mulut Sofia hanyalah, “Mungkin jodoh kami hanya mampu bertahan untuk satu hari saja. Dan mungkin ini juga penyelesaian terbaik untuk elak Azri jadi suami yang berdosa...”
Tambah Reeka lagi, sehingga kini tiada siapa tahu apa kisah sebenar di sebalik malam pertama Sofia dan Azri itu? Sofia wanita yang baik akhlaknya, pastinya dia tahu hukum agama yang tidak membenarkan kita bercerita hal dalam kelambu kepada orang. Mungkin kerana itulah dia mengambil sikap mengunci mulut.
Dan saya... hanya mampu melepaskan keluhan berat. Memikirkan cerita pelik itu dan kesudahan yang tak diketahui isinya. Apa pun, kita fikirkan dan doa yang baik-baik sahaja untuk mereka yang diuji dengan ujian sebegitu. Macam-macam ya dunia sekarang. Menakutkan.
Must-Watch Video