gaya hidup
KISAH BENAR – “Hanya Selepas Isteri Pergi, Baru Saya Sedar Betapa Letihnya Arwah. Ya Allah, Saya Rindu...”
Satu hari, isteriku, Salma (bukan nama sebenar) mengadu sakit perut. Aku yang kebetulan ada presentation hari itu tidak sempat untuk membawanya ke klinik. Sebelum ke tempat kerja, aku sempat hulurkan kepadanya yang terbaring di katil sepapan panadol dan segelas air suam. Kataku, tak apa anak-anak akan aku hantar ke sekolah dan taska.
Isteri mengangguk lemah dan sempat mencium tanganku. Aku terus bergegas keluar sambil mengheret dua anakku yang mahu ke sekolah rendah dan yang bongsu berusia tiga tahun ke taska berhampiran rumah kami. Tanpa berfikir apa-apa aku menyelesaikan urusan kerjaku yang sangat penting itu dengan tenang saja.
Usai kerja dan mengambil anak-anak, aku pulang ke rumah. Seperti selalunya, aku terus membuka tudung saji – kosong. Tidak seperti selalu sudah siap tersedia dua, tiga jenis lauk untuk makan malam. Aku menjenguk isteri di bilik. Salma tidur seperti orang bersujud, katanya perutnya masih sakit.
Aku segera membawanya ke hospital. Setelah diperiksa, doktor mendapati terdapat ketumbuhan. Pembedahan harus segera dilakukan. Entahlah. Aku tidak berapa ingat atau mungkin tidak mahu mengingatinya lagi. Dipendekkan cerita, selepas itu, Salma menjalani beberapa prosedur pembedahan. Tidak lama, dalam sebulan selepas itu Salma pergi menyahut panggilan Illahi. Salma dah tak ada...
Aku terkejut, tergamam, terkedu. Sehingga kini, walau sudah setahun arwah pergi, perasaan terkejut aku masih tidak hilang. Kadang-kadang aku rasa semua ini bagaikan mimpi. Aku sendiri ada kala seperti di awang-awangan. Aku bukanlah jenis suami yang sensitif atau jiwang, tetapi ujian ini sungguh menyentap kekuatan aku.
Betapa Kuatnya Fizikal dan Mental Seorang Isteri
Kalau orang tanya aku suami yang bagaimana dulu? Aku seperti suami lain juga. Bekerja tetap dan ada kala membantu Salma menjaga anak. Tapi, seperti kebanyakan suami, tidak banyak yang kita bantu isteri di rumah. Fokus kita lebih kepada kerja dan diri sendiri, manakala urusan di rumah biasanya diselesaikan si isteri.
Salma juga begitu. Walaupun dia juga bekerja pejabat tapi dia mampu lakukan semua kerja rumah dengan baik, hatta tanpa bantuan orang gaji. Kata Salma, tak perlulah kerana gaji kami pun bukanlah mewah mana. Jadi, Salma bersedia untuk memikul semua tanggungjawa itu. Aku ikutkan saja kerana bagi aku apalah sangat kerja-kerja rumah itu.
Ternyata, selepas ketiadaan Salma barulah aku rasakan betapa hebatnya isteri aku itu. Ya Allah, selama sembilan tahun perkahwinan kami, tidak pernah sekali aku mengucapkan terima kasih kepadanya. Adalah sesekali kau belikan dia hadiah atau bawa bercuti tapi bagiku itu tidak cukup untuk membalas semua penat lelahnya menguruskan keluargaku.
Aku tidak mampu lakukan apa yang dilakukan Salma selama ini. Walau untuk sehari aku sudah penat. Aku gagal. Aku mengalah!
Kredit Foto: Google
Aku pasti kalau Salma lihat keadaan aku dan anak-anak sekarang ini pasti dia menangis. Beberapa bulan awal pemergiannya, kehidupan kami anak-beranak tidak terurus. Ibu ada meminta untuk menjaga anak-anak aku tapi tak tergamak untuk aku menyusahkan mereka. Lagi pula, ini sajalah amanah yang ditinggalkan Salma untuk aku tebus semula kekesalan lalu.
Kini, setiap pagi, aku akan bangun lebih awal dari biasa. Kalau dulu, jam 6.45 baru aku bangun untuk solat subuh dan bersiap. Sedangkan Salma pukul lima sudah bangun untuk memasak sarapan lagi, siapkan anak-anak, siapkan baju aku, dan dia lagi mahu bersiap. Kini, aku pula harus pikul semua tugasan itu.
Barulah aku tahu kenapa Salma selalu bersiap lewat dan aku hanya tahu membebel setiap kali terpaksa menunggu Salma di kereta. Aku bising kalau Salma terlupa barangnya dan minta aku berpusing balik. Dan kini apabila aku sendiri melakukannya, barulah aku tahu betapa hebatnya Salma menguruskan masa.
Betapa hebatnya dia melawan mata mengantuk untuk bangun seawal subuh. Sedangkan dialah orang terakhir masuk tidur. Ada kala pukul 12 tengah malam, baru Salma terbaring di sebelah aku. Katanya, baru habis mop rumah, cuci baju, kemas dapur. Esok tak kalut kalau semuanya dah siap.
Dan, aku pula tetap mengomel lagi mengatakan yang dia tidak pandai uruskan masa. Ya Allah, betapa zalimnya aku menilai isteri sendiri.
Anak-Anak Rindukan Mamanya...
Salma, kalau awak dapat melihat sekarang ini ketahuilah yang anak-anak sangat terseksa jiwa mereka kerana rindukan awak. Saya tidak dapat menjadi bapa yang baik walaupun sehingga kini saya masih mencuba. Saya akui saya tidak mampu melakukan apa yang awak lakukan untuk kami sepanjang hidup awak bersama kami.
Anak-anak sudah mula merungut makanan yang dihidangkan tidak sesedap masakan Mamanya. Yalah, semua lakuk beli. Anak sulung rindukan sup ayam Mama dia dan si bongsu sentiasa mahukan Mamanya yang suap. Ya, sesuatu yang aku sendiri tidak pernah lakukan – menyuap anak-anak. Patutlah mereka sayang Salma lebih daripada aku, bapanya.
Setiap malam, mereka menangis bertanyakan mamanya.
Aku tiada jawapan yang baik untuk menenangkan mereka. Yang mampu aku katakan hanya meminta untuk mereka tidur dan doakan mama.
Salma, saya rindukan awak. Saya rindu masakan awak. Saya rindu senyuman awak. Saya rindu setiap kali saya pulang kerja, awak sambut saya dengan peluh yang sentiasa membasahi dahi awak kerana sibuknya awak di dapur menyiapkan makan malam kita anak-beranak.
Saya rindu melihat awak tersandar di sisi saya sambil bertanyakan apa yang ingin saya makan esok hari?
Saya rindu nak dengar suara awak yang mengingatkan saya untuk kunci pintu rumah, makan ubat, tolong buang sampah dan betulkan lampu kalau terbakar.
Saya rindu nak tengok muka awak merajuk kerana penat seharian menguruskan rumah dan anak-anak sedangkan saya hanya tahu memerintah kemudian buat-buat tak dengar apa awak luahkan.
Saya rindu semua tentang awak, Salma. Saya rindu awak tidur di sebelah saya. Saya rindu bangun, sudah terdengar suara awak membangunkan anak-anak. Saya rindu awak lipatkan baju saya.
Saya rindu lihat kelibat awak melintas lalu-lalang di depan saya ketika saya sedang menonton televisyen. Saya rindu, teramat rindu.
Saya doakan, saya dan anak-anak akan bertemu awak di sana nanti dan kita dapat membina semula keluarga kita di alam yang kekal. Saya akan luahkan semua cinta dan rasa terima kasih saya kepada awak. Saya sayang awak dunia akhirat...
Must-Watch Video