Highlights

KISAH BENAR – Isteri Murung Suami KEDEKUT. Anak Nak Makan KFC Pun Tak Bagi. Beli Ayam, Goreng Sendiri!

gempak
Afiza Kamarulzaman
09/11/2020
13:46 MYT
Sponsor Banner
KISAH BENAR – Isteri Murung Suami KEDEKUT. Anak Nak Makan KFC Pun Tak Bagi. Beli Ayam, Goreng Sendiri!
Kak Yan banyak termenung sejak akhir-akhir ini. Apabila ditanya, katanya pening memikirkan hal Covid-19. Lagi pula, syarikat tempat dia bekerja semakin tidak stabil. Dengar cerita, majikan mahu menawarkan VSS atau skim pemberhentian/persaraan secara sukarela. Kata Kak Yan dia khuatir jika dia antara yang menjadi sasaran.
Apabila ditanya apa kata suami? Kata Kak Yan dia belum berbincang dengan suami perihal tersebut kerana tiada hati untuk mengetahui pendapat suami. “Kak Yan dah boleh agak apa jawapan suami Kak Yan..” Keluhnya berat dan menyesak jiwa. Kata Kak Yan, suaminya pasti tidak bersetuju kalau Kak Yan tidak berhenti kerja.
Setahu saya, suami Kak Yan pun bukanlah berjawatan biasa-biasa. Tidaklah terlalu kaya tetapi rasanya mampulah untuk menyara Kak Yan dan dua anak mereka yang masing-masing bersekolah rendah itu. Namun, kata Kak Yan, gaji suami saja nampak mampu tapi cara hidupnya seperti orang bergaji kilang saja.
Kredit Foto: Google
Kisah Kak Yan Bersuamikan Si Tangkai Jering
“Kak Yan dah lama bersabar dengan suami. Tiga belas tahun kami berkahwin, mana mungkin tak sabar dan Kak Yan memang akan terus telan segala baik buruknya. Tidak terfikir langsung nak bercerai-berai. Anak pun dah besar. Cuma, memang Kak Yan Tak bahagia dengan suami dari dulu lagi.
Gaji kami suami isteri dikategorikan M20. Maknanya memang kami dalam kategori isi rumah yang selesalah. Bukanlah susah mana pun. Namun, cara hidup suami Kak Yan mengalahkan orang B40. Kawan-kawan Kak Yan yang B40 pun nampak lebih mewah daripada kami anak-beranak.”
Tapi apabila dilihat rumah dan kereta Kak Yan nampak okey saja. Kalau kedekut, pastilah suami Kak Yan akan mencari rumah yang murah dan kereta buruk-buruk saja?
“Oh, bab rumah dan kereta, suami Kak Yan memang sanggup berhabis. Alasan dia itu aset yang nampak depan mata dan orang pun akan tengok. Tapi kalau makan, berjalan atau pakaian, siapa yang nak tengok sangat? Beli yang asas saja cukup katanya. Kalau sekali fikir, mungkinlah betul. Tapi, Kak Yan dan anak-anak pun ada selera juga.
Kak Yan mungkin boleh tahan selera tetapi budak-budak, bagaimanalah mereka nak faham? Bukanlah Kak Yan nak ajar anak-anak bermewah-mewah pun. Kadang-kadang apabila dia dengar kawan dia dah try makan ayam Korea atau air Boba, pastilah mereka pun teringin. Tapi apabila diminta kepada Bapanya, jangan haraplah nak dapat.
Macam-macam alasan dia beri. Makanan tak sihatlah. Membazirlah. Tak halallah. Bayangkan anak nak makan KFC pun jenuh merayu. Ada sekali, dia pula suruh Kak Yan beli ayam mentah di pasar dan goreng je dengan tepung. Janji ada rasa ayam, sudah! Dia ingat tekak anak-anak macam tekak dia yang tak ada rasa langsung?
Kredit Foto: Google
Barang Dapur Pun Suami Suruh Beli Yang Paling Murah
Paling Kak Yan tertekan kalau pergi membeli barang dapur dengan dia. Selalunya dia akan tunggu di kaunter pembayaran saja. Maka, Kak Yan dan anak-anaklah yang akan pilih barang-barang yang mahu dibeli. Pernah sekali apabila jumlah semua bernilai lebih 300 ringgit, dia boleh tinggalkan Kak Yan, suruh Kak Yan bayar sendiri.
Apabila sampai di kereta, teruk Kak Yan diceramahkannya. Katanya buat apa nak dibeli daging burger? Nugget? Vitagen? Mentega beli yang murah sudahlah, bebelnya. Anak-anak di kerusi belakang sampai tak larat nak dengar betapa berkiranya bapa dia. Sedangkan dia tahu semua makanan itu bukan dibuang, dimakan oleh anak-anak dia juga.
Kami memang jarang makan di luar. Sebulan adalah sekali dua. Jadi, memang makan minum, Kak Yan masak sendiri. Fikir logiklah, kalau dah selalu masak di rumah, pastilah banyak perkakasnya kena dibeli. Mana nak datang bahan mentah kalau tidak diadakan sendiri. Bolehke turun dari langit?
Kak yan sudah tak larat mahu berdebat dengan suami. Apabila dijawab, ada sahaja helah dia yang lain. Fakta itu, teori ini. Macam dia seorang saja yang bijak ekonomi. Mujurlah Kak Yan masih ada gaji sendiri. Jadi, kalau anak-anak teringin apa-apa memang mereka akan bisikkan kepada Kak Yan.
Kredit Foto: Google
Simpan Duit Tak Tahulah Untuk Siapa?
Banyak kali juga Kak Yan beritahu dia, simpan duit banyak-banyak tu nanti untuk apa? Kalau umur panjang, insyallah boleh rasa, kalau tidak? Kami juga yang dapat. Setiap kali Kak Yan kata begitu, Kak Yan balik dimarahnya. Katanya, Kak Yan menolak takdir. Sebenarnya, dia yang takut dengan bayang-bayang dia sendiri.
Kak Yan tak kata salah dia suka berjimat tetapi ada masanya kenalah juga diraikan kepenatan mencari duit. Kak Yan cuma bimbang kalau beginilah sikap dia, nanti anak-anak dah besar, anak-anak pun akan berkira dengan dia. Nampak gayanya sampai ke tua lah Kak Yan pun kena bekerja. Jika tidak memang kami anak-beranak akan makan makanan asas sajalah.
Kak Yan cuma doa hari-hari, satu hari nanti Tuhan bukakan pintu hati suami untuk lebih pemurah kepada kami anak isterinya. Apa yang nak kita takutkan sangat dengan hidup ni? Rezeki, ajal dan maut semua Tuhan sudah tentukan. Seperkara yang Kak Yan tengok sikap suami Kak Yan ni, semakin banyak yang dia simpan, semakin tidak cukup.
Jiwanya nampak tidak tenang. Sentiasa risaukan benda yang bukan-bukan. Risau duit habislah. Risau sakitlah. Risau kena tipulah. Semua tentang dunia dia takutkan. Bagi Kak Yan tips nak tenang, senang saja. Jangan fikirkan apa yang kita tidak tahun pada masa akan datang. Kita jalani je lah hidup pada hari ini. Betul tak?”Akhiri Kak yan sambil tersenyum tawar.
Kredit Foto: Google
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024