Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

KISAH BENAR! “Suami Saya Ada Boyfriend, Tapi Saya Okey Sebab Dia Baik Sangat” – Puteri (Bukan Nama Sebenar).

Afiza Kamarulzaman 02/02/2020 | 15:09 MYT
Dipendekkan cerita, Puteri mengenali Nik melalui seorang kawan ketika menghadiri majlisnya kira-kira lima tahun yang lalu. Daripada bertukar-tukar nombor telefon, mereka akhirnya menjadi rapat dan akhirnya bercinta secara serius. Nik orangnya memang segak dan sentiasa menjaga penampilan diri. Bekerja sebagai peniaga online dan sangat berbudi-bahasa membuatkan Puteri tertarik dengannya. Malah, ketika mereka mengenali dari awal lagi, Nik menyatakan hasratnya memang untuk memperisterikan Puteri. Dia tidak mahu main-main.
Dan, Puteri yang waktu itu baru saja putus tunang tidak berfikir panjang dan menerima kehadiran Nik sebagai suratan takdirnya untuk menggantikan kekosongan hati. Puteri tua setahun daripada Nik. Namun, Nik sangat matang dan seorang yang bertanggungjawab. Apabila diperkenalkan kepada kedua orang tua Puteri juga, orang tuanya terus berkenan. Komen mereka, Nik seorang lelaki yang budiman, sopan-santun dan sangat rajin. Malah daripada keluarga yang baik-baik. Ayahnya bekas Imam dan ibunya seorang guru.
Kenal Setahun Terus Berkahwin
“Selepas ke dua belah keluarga sudah setuju, kami membuat keputusan untuk bertunang sebulan dan kemudian terus melangsungkan perkahwinan. Sebelum menerima Nik sebagai suami lagi, saya sudah mendengar pelbagai cerita silam Nik. Ada yang memberitahu Nik dulu seorang gay dan pernah ada teman lelaki, tinggal serumah. Namun, bagi saya semua orang mempunyai kisah silamnya sendiri dan saya tidak mahu tahu sejarah lampaunya itu. Bagi saya, kalau Nik mahu berubah mengapa tidak saya berinya peluang,” Cerita Puteri tentang awalan perancangan untuk menikahi Nik.
Setelah sah sebagai suami isteri, Puteri mengikut Nik tinggal di rumahnya yang sudah dibelinya beberapa tahun lalu di Shah Alam. Rumah kondo itu lengkap kemudahan segalanya bagaikan sebuah rumah kelamin. Dekorasinya juga sangat menarik dan berkonsep kontemporari. Kata Nik, dia memang suka menghias rumah dan berharap Puteri menyukai semua yang ada di rumah itu. Bagi Puteri pula, dia tidak kisah kerana Puteri orangnya ringkas dan tidak banyak hal.
Seperti pasangan lain, mereka hidup bahagia bersama sebagai suami dan isteri. Seperti mana di awal perkenalan, Nik memang lelaki yang sangat baik walaupun setelah bergelar suami. Nik pandai mengambil hati, tidak pernah meninggikan suara apatah lagi marah-marah. Apa sahaja yang Puteri mahukan akan diusahakan untuk ditunaikan. Setiap pagi, Nik akan siapkan sarapan pagi dan begitu juga untuk makan malam. Nik memang suka memasak.
Sesekali Nik bawa Puteri keluar membeli-belah. Tidak perlu diminta, Nik akan beli apa sahaja yang sesuai untuk Puteri yang dirasakan cantik untuk Puteri pakai. Daripada baju, seluar, beg tangan sehinggalah ke tudung, semuanya Nik yang pilih dan belikan. Kadang-kadang, sampai Puteri terpaksa menolak kerana sudah terlalu banyak yang diberinya. Puteri bukan hendak ke mana pun, setakat dipakai ke pejabat apalah sangat. Namun, kata Nik dia suka tengok isterinya bersiap-siap cantik.
Kredit Foto: Google
Dikurniakan Anak Setahun Kemudian
Walaupun Puteri sering diusik dengan kata-kata nakal kawan-kawan yang mempersoalkan ‘kejantanan’ suaminya itu, namun Puteri tidak ambil peduli. Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Hanya Puteri sebagai isteri tahu ‘sejantan’ mana suaminya itu. Dan, kuasa Tuhan, tidak sampai setahun mereka berkahwin, Puteri disahkan hamil. Syukur, alhamdulillah. Puteri rasa seperti mahu saja memulang paku buah keras kepada orang-orang yang selama ini memperlekehkan suaminya itu. Namun, Puteri hanya sabar dan tahu Tuhan itu maha adil.
Seronoknya Nik tidak terkata. Sememangnya dari awal perkahwinan lagi, Nik beritahu Puteri dia memang mahukan zuriat secepat mungkin dan inilah juga matlamat utama kenapa Nik mahu berkahwin. Dia mahu ada penyambung waris keturunannya nanti. Lagi pula, dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga pastinya ibu dan ayah tidak sabar mahu menimang cucu daripada darah daging Nik.
“Oh, sepanjang tempoh mengandung, saya dilayan dengan sangat istimewa. Nik sentiasa menjaga kebajikan dan keperluan saya. Tidak pernah sekali dia biarkan saya pergi ke klinik sendirian. Nik siap belikan suplemen untuk saya agar saya dan bayi sentiasa dalam keadaan sihat. Pergi kerja dihantar dan diambilnya. Saya dilarang keras untuk membuat kerja-kerja berat. Malah, kelengkapan bayi juga Nik yang beli dan siapkan. Saya dilayan bagaikan tuan puteri,” cerita Puteri.
Terus Bahagia Walaupun Drama Sudah Bermula
Akhirnya, Puteri melahirkan anak perempuan sulung mereka menerusi pembedahan di sebuah hospital swasta. Cahaya mata itu disambut dengan kegembiraan dan diadakan kenduri besar-besaran. Kehidupan mereka selepas itu terus berlangsung dalam keadaan aman bahagia. Cuma, kata Puteri selepas dia habis tempoh berpantang dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Nik. Nik kerap menghabiskan masa dengan kawannya, Mikail. Menerusi kata orang, Mikail dulu kawan serumahnya. Puteri telan liur. Adakah Mikail inilah...??? ermmm....
Walaupun Nik semakin hari semakin rapat dengan Mikail, kerap ke luar negera bersama dan ada kala makan minum di rumah, namun sikap Nik terhadap Puteri tidak pernah berubah. Malah, bertambah baik layanan diberikannya juga kepada anak mereka itu. Mikail juga nampaknya sangat sayang kepada anak mereka itu. Selalu dibelikan mainan dan segala keperluan bayi mereka. Ada kala mereka berdua yang melayan anak itu jika Puteri ada kerja luar yang penting.
“Pernah juga sesekali saya lihat tingkah mereka agak berlainan. Keakraban mereka bukan seperti kawan-kawan lelaki yang lain. Gurauan mereka penuh makna, renungan mata pun lain dari yang lain. Entahlah. Saya bukan jenis yang kuat cemburu dan saya tidak suka menyiasat hal suami. Bagi saya, selagi dia tidak mensia-siakan saya, saya masih boleh menerima semuanya,” tutur Puteri jujur.
Kredit Foto: Google
Ia Lebih Baik Daripada Suami Hisap Dadah Atau Baran
Mungkin benar, suami Puteri sudah kembali ke perangai lama. Namun, sedikit komen Puteri, “Saya ada abang ipar yang sangat jahat. Memanglah dia lelaki tulen, namun sangat panas-baran. Setiap hari pukul kakak saya. Anak-anak sampai jadi trauma duduk di rumah. Saya juga ada seorang kawan yang bersuamikan penagih dadah. Setiap hari minta duit daripada isterinya untuk beli barang. Kalau tak dapat, habis barang rumah dijualnya. Keluar masuk penjara, bagaikan aktiviti masa lapang. Kesian isteri dan anak-anak menjadi mangsa. Dan saya? Tidakkah masih bertuah dikurniakan suami yang baik, bertanggungjawab dan sangat penyayang..."
Begitulah kehidupan berumahtangga. Tiada yang sempurna. Namun, selama mana Puteri boleh bertahan dan bersabar, hanya dia yang tahu. Kita doakan yang baik-baik dan semoga Nik mampu kuatkan hati untuk meninggalkan perbuatan lamanya itu. Tepuk dada, tanya iman.
#Perkahwinan #Gay #Suami Songsang
;