Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

KISAH BENAR – Suri Rumah Tertekan Dijadikan KULI Suami, Mentua dan Ipar Duai Atas Alasan Tidak Bekerja.

Afiza Kamarulzaman
10/09/2020 09:04 MYT


Menerusi perkongsian wanita bernama Azrina (bukan nama sebenar) di Facebook ini, membuatkan penulis terpanggil untuk menukilkannya di sini. Rasa simpati sebagai isteri dan ibu tidak dapat dinafikan. Penulis membaca setiap baris ayatnya dan penulis garapkannya menerusi olahan penulisan di sini.


Betapa letih dan lelahnya suri rumah ini selama 14 tahun mengabdikan diri kepada suami dan keluarga demi melihat setiap insan yang disayanginya mendapat penghidupan sempurna, walau dirinya bak lilin terbakar. Bukan tidak reda tetapi dia juga bukan malaikat yang boleh sentiasa menjadi ‘orang baik’. Bacalah luahan hatinya ini...



Kredit Foto: Google



Suami Tak Bantu dan Tak Hargai


Bukan mengungkit, bukan menyalahkan sesiapa, namun menurut Azrina ternyata pengorbanannya selama 14 tahun memilih untuk menjadi suri rumah dan berhenti kerja bukanlah keputusan terbaik. Hasrat hati mahu menguruskan rumah tangga setelah suami memberi keizinan, namun tidak sangka hujan di tengah hari.


“Saya sangat penat, letih. Sepanjang hari saya menghabiskan masa menguruskan hal rumah dan anak-anak. Bukan tujuan saya mengungkit atau tidak reda, namun saya manusa biasa, saya bukan robot. Siapa pernah menjadi suri rumah pasti faham betapa kami ini hidup hanya untuk suami dan anak-anak. Kawan pun tak ada,” Luah Azrina.


“Suami seorang yang tidak memahami dan sentiasa menganggap saya tunggul di rumah. Baginya, tugas saya hanyalah membuat kerja rumah, saya tak berhak untuk meluahkan perasaan atau mengadu letih. Setiap kali saya minta tolong dia hantarkan anak atau bellikan barang, dia akan kata ‘awak buatlah awak tak kerja...” ujar Azrina lagi.


Malah, kata Azrina ayat yang selalu menusuk ke telinganya ialah “Saya duduk rumah goyang kaki” hanya kerana Azrina tidak menyarungkan baju ke pejabat setiap pagi. Sedangkan kerja saya lebih dari masa kerja orang di pejabat. Dari subuh sampai ke tengah malam Azrina membanting tulang.


Anak-anak bertambah tahun demi tahun. Belum habis kerja di rumah, Azrina bergegas menghantar anak-anak ke sekolah, kemudian bersedia untuk jemput anak-anak balik pula. Kemudian, bergegas membawa mereka ke pusat tuisyen atau kelas fardu ain. Balik rumah tunggang-langgang dan suami akan membebel kata Azina pemalas. Soalan yang akan diulang, “Awak duduk rumah dari pagi sampai ke malam buat apa? Tidur je ke?


“Ya Allah, kita ni kadang-kadang nak makan pun tak sempat, apa lagi nak tidur. Tidur malam pun kadang-kadang terganggu, teringatkan esok nak masak apa? Nak beli ikan di mana? Nak atur anak ke sana ke mari...” Kata Azrina yang kesal dengan sikap suami yang tidak pernah ambil peduli hal rumah.



Kredit Foto: Google


Barang Rumah Mentua Pun Azrina Uruskan


Sudahlah tertekan dengan sikap suami yang tidak pernah menghargai jerih penatnya, malah menidakkan lagi masanya untuk berehat. Bagi suami, Azrina punya banyak masa rehat dan santai kerana tidak perlu keluar bekerja. Tidak cukup dengan itu, mentua dan adik-beradiknya juga sama naik.


Dalam keluarga suami, hanya Azrina isteri yang tidak bekerja. Jadi, segala perkara yang memerlukan wakil untuk membeli barang atau menghantar seseorang, pasti akan ditolak kepada Azrina atas alasan Azrina ada banyak masa. Aduhai, sedangkan masa untuk keluarga sendiri pun Azrina terkejar-kejar, ini pula ditambah dengan tugasan ekstra.


“Saya ikhlas untuk tolong tetapi tak boleh setiap masa. Barang rumah mak mentua habis pun saya kena stock up. Itu belum lagi kalau diminta jaga mak mentua sakit atau adik ipar minta ambil di airport dan sebagainya, semua akan suruh saya. Bagi mereka, saya tak bekerja jadi saya boleh buat semua itu tanpa perlu mengira masa.”



Kredit Foto: Google



Bab Kenduri, Azrina Kena Paling Teruk


Tambah Azrina, kalau tiba bab kenduri, hatinya mulalah gusar. Bukan tidak suka berkenduri-kendara, tetapi apabila bab pembahagian kerja, pasti kerja paling berat akan ditolak kepada Azrina seperti membeli barang-barang keperluan atau runner ke sana ke sini. Suami pun sama, akan menyuruh Azrina uruskan semuanya kerana dia tidak bekerja.


“Apalah nasib saya. Saya tidak pandai berkata tidak, akhirnya saya yang derita. Semua saya harus lakukan sendiri. Kenapa mereka ada pemikiran sebegitu? Kalau suri rumah saja mesti ada banyak masa? Adakah masa saya lebih daripada masa yang diberikan Tuhan kepada mereka? Yang lebih saya terkilan apabila suami sendiri turut mengiyakannya...” Luah Azrina sedih.



Azrina di Kemuncak Sabar


“Memanglah orang kata besar ganjaran pahala untuk isteri yang sabar dan reda dengan apa yang dilakukannya untuk suami dan keluarga tetapi saya tidak boleh lagi berhadapan dengan semua ini. Saya dah tak sanggup apabila selalu kena ‘downgarde’ dengan suami sendiri dan ipar duai hanya kerana saya tidak bekerja dan makan hasil suami.”


“Saya sudah fikir masak-masak untuk memohon cerai daripadanya. Saya sudah cuba berbincang baik-baik dengan suami tapi saya kena marah balik. Katanya, saya tak reti bersyukur. Orang lain kena kerja cari duit sendiri, sedangkan saya boleh duduk rumah goyang kaki, suami tanggung makan, pakai, berak!”


Sekarang, ternyata suami hanya nampak Azrina yang mengungkit, sedangkan dirinya? Tidak pula nampak kesilapan itu. Azrina sudah tidak mampu lagi meneruskan perkahwinan ini walau sudah 14 tahun mereka bersama. Anak-anak pun sudah besar, kalau mereka sayangkan ayahnya, mereka akan cari nanti.


Masanya untuk Azrina fikirkan hal dirinya sendiri. Mungkin selama ini suami bersangka yang Azrina tidak akan keluar dari rumah kerana Azrina tidak punya apa-apa. Namun, hari ini Azrina mahu buktikan yang dia mampu hidup tanpa belas ihsan suaminya. Duit boleh dicari, tapi Azrina pula mahu lihat bagaimana suami pula nanti menguruskan rumah dan anak-anak? Adakah itu boleh dicari?


Mungkin kalau dia mendapat ganti isteri yang lebih baik atau pembantu rumah. Mungkin waktu itu baru dia tahu bagaimana aturan pengurusan masa di rumah? Cukuplah. Azrina tidak mhau sampai dirinya masuk ke Hospital Sakit Jiwa kerana sekarang pun dia sudah hidup dalam kemurungan dan depresi. Sebaiknya, dia mengambil langkah bijak.



Kredit Foto: Google




Apa Pendapat Anda?


Salahkan si isteri mahu berpisah kerana sudah tidak sanggup lagi hidup dengan lelaki yang menganggap sebagai ‘orang gaji’? Atau betullkah tindakan suami yang menganggap dirinya ‘raja’ hanya kerana dia yang memberi makan dan pakai kepada keluarganya itu? Mohon pertimbangan pasangan untuk memperhalusi emosi suami atau isteri kita.


Hidup ini jangan jadi gelabah setelah kita kehilangannya. Waktu itu barulah kita mahu hargai pengorbanan yang dilakukan pasangan. Hanya kerana dia masih ada di depan mata, kita pun ambil mudah dan tidak pernah menyedari kehadirannya. Sudah hilang nanti, barulah meratapi nasib. Itu pun kalau ego mampu direndahkan. Muhasabah diri, jadilah suami yang lebih baik, ikhlas dan berperikemanusiaan.

#Kemurungan #Mentua #Surirumah
;