Ini bukan soal dengki, bukan juga soal rezeki masing-masing. Ini soal keadilan dan pematuhan kita pada arahan yang ditetapkan pihak berkuasa. Daripada dua minggu ke dua bulan hingga dah berbulan-bulan larangan merentas negeri ini diwartakan.


Malah, ia menjadi lebih sakit kerana sekali lagi pada bulan Ramadan ini kita tidak dapat pulang menyambutnya bersama kedua orang tua di kampung halaman. Dan, tidak mustahil ia berlarutan hingga ke Hari Raya kelak.


Teori ini menjadikan kebanyakan perantau mulai resah. Rasa seperti tidak sanggup untuk melalui Lebaran tanpa mak ayah di bandar untuk kali ke duanya. Siapa sangka, walau kita punya wang untuk mengisi minyak dan tol, punya kenderaan melintasi dan keupayaan diri untuk bergerak tapi tetap tidak mampu hanya kerana pendemik ini.



Segelintir Yang Rentas Negeri Tanpa Alasan Kukuh


Namun, kita tidak nafikan kebanyakan rakyat Malaysia masih mempunyai sikap taat dan patuh pada arahan kerajaan yang sangat baik. Justeru, kita tidak sewenang-wenang membuat kacau atau demonstrasi membantah arahan tersebut.


Walau begitu, apa yang sedikit menyiat hati kebanyakan rakyat marhain hari ini adalah bagaimana perlaksanan undang-undang ini diaplikasi sama rata, sama adil kepada semua golongan?

Ia bukan tuduhan tapi telah dibuktikan oleh pesalah sendiri yang segelintirnya memuatnaik di akaun media sosial mereka. Tanpa rasa bersalah golongan ini menayang aktiviti merentas negeri hasil kebenaran yang dipeolehi dari balai polis berhampiran.


Jika ia berkaitan dengan hal yang munasabah, pasti ramai tidak kisah tetapi apabila ia disalahguna dengan melakukan aktiviti seperti bercuti, berbulan madu, menghadiri kenduri-kendara, aatau sekadah menghantar hadiah, pasti ia tidak disenangi rakyat lain yang kekal patuh.




Kredit Foto: Google

Rakyat Mahu Keadilan Untuk Semua


Ya, inilah luahan hati kebanyakan rakyat marhain yang rasa seperti teraniaya dan dianaktirikan apabila kelonggaran diberi lebih istimewa kepada mereka yang berstatus ‘kayangan’.


Mungkin benar, kebanyakan mereka ini terlepas kerana sudah mengemukakan dokumen atau surat yang diperlukan kepada pihak berkuasa. Dan itu bukan salah pihak berkuasa lagi tapi jika sudah terang-terangan mereka seperti meneguk di air keruh, mungkin tindakan sewajarnya perlu diambil.


Kita juga tidak seharusnya meletakkan kesalahan seratus peratus kepada pihak berkuasa yang memberi keizinan kepada golongan ini. Kesalahan secara total tertuju kepada kalian yang menyalahgunakan kelonggaran tersebut.


Maka, seperti awal pandemik dulu sudah kita maklum bahawa untuk memutuskan rantaian Covid-19 sewajarnya bermula dari kesedaran rakyat sendiri. Bukan hanya bergantung pada undang-undang negara.


Kejujuran dan rasa tanggungjawab itu penting. Jangan bersikap pentingkan diri dengan berasakan kamu terlalu ‘special’ untuk melanggar peraturan, sedangkan orang lain bermati-matian menurut perintah.


Diharapkan rakyat negara ini boleh belajar sesuatu daripada kes ini. Bagi yang pernah melakukan kesilapan itu, bertaubatlah kerana apa saja kelakuan anda memberi impak kepada orang keliling juga. Fikir-fikirkan. Jika terlepas hukuman di dunia, kifarah lain pasti ada.