Highlights
“Kita Koreklah Kubur Ayah, Bawa Dia Balik Kejap.” RAMADAN Pertama Tanpa Suami, Isteri Ini Rindu Solat Bersama.
Selepas saling mengenali selama lebih tujuh tahun, Erja dan suami, Muhammad Faiz kemudiannya mengambil keputusan untuk mengikat tali pernikahan pada 26 November 2011. Cinta yang bersemi disemarakkan dengan kehadiran dua cahaya mata. Sungguh, kebahagiaan yang tercipta di singgahsana mereka bagaikan sebuah syurga dunia yang diimpikan setiap wanita. Erja dan suami berjanji setia untuk terus bersama selagi nyawa dikandung badan. Mahu sama-sama melihat anak-anak mereka membesar.
Alangkah indahnya hidup sepasang suami dan isteri yang kekal bersama sehingga rambut memutih dan wajah berkedutan. Itulah impian Erja dan suami, mahu terus bersama selamanya. Namun, siapalah kita untuk berpegang pada perancangan dunia, sementelah Allah sudah tuliskan semua takdir hidup kita di Luf Mahfuz. Akhirnya, suami ‘ingkar janji’, dia pergi dulu meninggal Erja pada tanggal 18 September 2019 pada usia mereka 35 tahun. Meninggalkan bersama benih cinta mereka, Nur Fathia Imaan, 8 tahun dan Nur Fayha Iman, 4 tahun. Allah. Dunia terasa gelap. Pandangan kabur. Jiwa bagaikan melayang tanpa paksi.
Kredit Foto: Erja Nasir
Kalau boleh Erja kongsikan apa sakit arwah suami? Dan bagaimana keadaan arwah sebelum meninggal?
Arwah dimasukkan ke wad kerana tibi, sebulan berada di ICU sebelum akhirnya meninggal dunia. Sebulan di ICU dia kena intubated. Jadi, arwah tidak boleh bercakap selama sebulan itu. Setakat isyarat-isyarat ringkas atau dia tulis pada kertas, itu pun susah nak faham kerana tangannya bengkak disebabkan drip dan ototnya lemah. Setiap hari saya berada di sisinya, dua kali sehari saya ke hospital untuk luangkan masa dua jam bersama di ICU.
Bagaimana Erja menerima perkhabaran arwah telah tiada waktu itu?
Sebulan di ICU, tiga kali pihak hospital telefon tengah malam suruh datang ke hospital kerana terdapat seperti isyarat arwah akan pergi. Namun, arwah masih mampu untuk survived sebanyak dua kali itu, hanya pada panggilan ke tiga, ternyata itulah panggilan terakhir yang arwah benar-benar pergi untuk selamanya. Perasaan waktu itu? Entahlah. Mungkin sudah reda dengan apa saja ketentuan Tuhan. Arwah pergi pada keesokannya pada jam 9.53 pagi. Saya memang menemaninya sepanjang malam itu. Sebenarnya, arwah sudah tidak sedarkan diri sejak tiga hari sebelum itu. Dia on and off sedar kerana ubat tidur yang diberikan terlalu kuat.
Kredit Foto: Erja Nasir
Apa reaksi terakhir arwah bersama Erja?
Tiga hari sebelum arwah tidak sedarkan diri, arwah ada terjaga dan membuka mata seluasnya serta boleh bertindak balas. Ketika itu, saya sempat meminta ampun kepadanya. Saya tanya dia semula, “Awak ampunkan saya tak?” Dia kedip matanya dua kali. Itu sudah memadai untuk saya berasa tenang dan syukur. Arwah memang seorang yang tak banyak cakap, namun tiga bulan sebelum pemergiannya, sikap itu lebih ketara. Arwah banyak diam.
Ada apa-apa sikap pelik arwah di hari-hari terakhirnya?
Momen-momen sebelum dia dimasukkan ke wad, dia ada minta disuapkan makan. Memang agak pelik sebab jarang berlaku. Ketika menyuapkannya itu memang terasa agak janggal tetapi biasalah kita tidak fikir apa-apa pun. Siapa sangka, itulah suapan terakhir saya untuk arwah. Oh ya, saya ada terdengar arwah nasihatkan anak-anak, “Janganlah bising-bising, dengar cakap Ibu. Kesian Ibu penat buat kerja sorang-sorang. Fathia dah besar, kena dengar cakap Ibu, kesian Ibu.” Nasihat yang tidak pernah diucapkan sebelum ini. Pertama dan terakhir.
Kredit Foto: Erja Nasir
Apa lagi kenangan terakhir bersama arwah yang akan tersemat di hati Erja?
Ketika saya membawanya ke hospital, waktu di rumah lagi dia tak mampu untuk bangun dan berjalan. Dah tak larat sangat. Sementara tunggu dia perlahan-lahan bangun tu, dia suruh saya ambil wangnya di bank untuk beli kasut saya. Oh, dia masih ingat! Beberapa minggu sebelum tu, saya ada beritahu nak beli kasut tapi tak berkesempatan.
Bagaimana anak-anak ketika melihat jenazah arwah?
Alhamdulillah, urusan pengembumian arwah berjalan lancar. Ketika hendak cium jenazah, anak-anak tercengang saja. Kakak menangis masa itu.
Bagaimana penerimaan anak-anak pada awal ketiadaan arwah?
Tiga bulan pertama sangat mencabar, susah mahu dijelaskan bagaimana mahu melayani lara anak-anak waktu itu. Kedua-dua mereka sangat sensitif. Si adik nangis-nangis nak ikut ibu pergi kerja, tak nak duduk dengan nenek dia. Padahal nenek itulah her fave person in the world. Hahaha... Tapi sejak ayah tak ada, masing-masing mahu berkepit je dengan Ibu. Kalau ketika sedang solat, masa tu tiba-tiba yang sulung akan jadi sedih dan berdiri di sebelah saya sampai saya habis tahiyat akhir.
Kemudian, dia baring atas peha dan nangis tersedu-sedan. Nak tidur malam pun menangis. Sampai sekarang, sedih dan rindu mereka masih ada walaupun dah okey sedikit. Baru semalam, kakak beritahu sebelum tidur, rasa seperti Ayah pergi out station saja. Sedar tak sedar sudah lapan bulan arwah tinggalkan kami.
Kredit Foto: Erja Nasir
Kredit Foto: Erja Nasir
Bagaimana dengan yang bongsu?
Adik selalu tersasul panggil Ayah...Ayah...Ayah. Masa awal-awal Ayah tiada, Adik duduk dekat balkoni sambil termenung jauh. Tiba-tiba, dia menjerti, “Ayahhhh....” Kakak yang dengar terus berlari ke situ dan menjenguk ke bawah. Terus kakak cakap, “Adik ni, Ayah mana ada dahlah. Then, adik ckp adalah Ayah. Kakak kata lagi, “Tak ada!”. Sudahnya bergaduh dua beradik itu. Memang menjadi kelaziman, mereka akan menjerit panggil Ayah setiap kali melihat Ayah mereka balik. Memang boleh nampak dari balkoni, kereta Ayah masuk ke parking.
Masa mula-mula arwah meninggal, Adik pernah cerita kepada saya tiga hari berturut-turut cerita yang sama. Kata Adik, “Adik nampak Ayah bangun dari kubur, naik atas jumpa Allah. Ayah tanya adik nak toys tak? Adik cakaplah nak. Lepas tu, adik ikut Ayah naik atas jumpa Allah.” Pada mulanya, saya buat tak endah saja tetapi setelah tiga hari berturut-turut, ceritanya konsisten tak berubah langsung membuatkan saya terfikir sejenak. Dan, sampai sekarang ini saya masih rasa kosong.
Kredit Foto: Erja Nasir
Bagaimana Erja menahan perasaan melihatkan keadaan anak-anak yang rindukan Ayah mereka?
Saya sejenis yang susah nak menangis depan anak-anak tapi kalau di belakang tu habislah. Selagi boleh tahan, saya cuba. Cuma, ada sekali tu si adik ajak saya pergi korek kubur Ayah. Katanya, kita angkat pasir Ayah, bawa Ayah balik sekejap. Saya cakap Ayah tak boleh balik dah. Adik balas, tak apalah kita bawa balik sekejap, nanti kita letak balik.
Aduhai, masa ni memang tak boleh tertahan dah air mata ni. Bercucuran jugalah akhirnya. Dia masih tidak faham apa itu meninggal? Setiap miggu memang saya bawa anak-anak ziarah kubur arwah. Mereka sangat teruja setiap kali mahu ke sana. Siap-siap dah dengan baju yang nak digayakan, seolah-olah mahu bercantik-cantik di depan Ayah mereka. Kadang-kadang, saya cuba untuk tidak mahu dengar luahan mereka, kerana saya tidak mampu...
Bagaimana Ramadan tahun pertama ini tanpa arwah?
Untuk semua orang pun, puasa tahun ini memang berbeza disebabkan Covid-19. Saya rasa, inilah hikmahnya, tidaklah terasa sangat kejanggalan Ramadan itu untuk kami sekeluarga sebab tahu seluruh dunia melalui kejanggalan itu. Cuma apabila waku berbuka puasa itu teringatlah lauk-pauk dan kuih-muih kegemaran arwah.
Ayam percik, sambal tumis ikan bilis, bubur kacang dan air tebu. Tentunya saya rindu untuk memasakkan hidangan istimewa untuk arwah. Sejak arwah tiada, memang saya tak masuk dapur dah. Kalau masak pun, untuk makanan anak-anak je, saya cuba elakkan makanan kegemaran arwah. Dan, saya juga rindukan saat solat berjemaah bersamanya.
Kredit Foto: Erja Nasir
Bagaimana agaknya sambutan Lebaran nanti?
Seperti yang saya katakan tadi, memang berbeza bukan untuk kami sahaja tetapi semua orang juga. Tapi yang lebih sedihnya kerana tidak dapat balik ke kampung suami Raya kali ini. Anak-anak memang mahu sangat beraya di sana. Yalah, kalau pun arwah sudah tiada, dapat lepaskan rindu kepada ibu ayah arwah pun sudah memadai. Nampaknya, Fathia muncung apabila diberitahu kita tidak dapat pulang beraya tahun ini.
Apa harapan Erja selepas ini?
Kami kekal tabah dan dapat teruskan kehidupan ini dengan baik, walaupun mungkin tidak akan sama seperti adanya arwah. Insya Allah, saya kuat demi anak-anak dan saya harap anak-anak juga kuat untuk saya.
Kredit Foto: Erja Nasir
Must-Watch Video