Walau penat, lelah ke sana sini; niat murni dan misinya dalam menyebarkan kasih sayang sesama manusia tidak pernah padam. Semuanya dilakukan untuk terus memberi peringatan, inspirasi kepada semua bahawa setiap ujian yang menimpa adalah bukti kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang beriman. Itulah yang sering diingatkannya usai menyempurnakan setiap misi bantuan kepada yang memerlukan.

Kredit Foto: Astro Prima

Mangsa Banjir Di Perak
Terdorong dengan rasa simpati dan belas kasihan apabila mendapat khabar berita penduduk sekitar Bagan Serai, Perak dilanda banjir; team Jejak Ebit Lew tidak menunggu lama. Dari Kuala Lumpur, mereka bertolak ke Perak dan jam 3.00 petang tiba di Kg Changkat Lobak dengan membawa bersama perkakasan dan barangan bagi membantu mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan rumah mereka dibanjiri air. “Kita bantu dan juga beri semangat kepada mereka,” ujar Ustaz Ebit Lew yang turut turun ke rumah meninjau dan bertanya khabar selain mengikuti perkembangan terkini beberapa mangsa banjir di kawasan sekitar Kg Changkat Lobak. Untuk rekod, ini adalah kali ketiga banjir melanda sekitar kawasan Bagan Serai meliputi Kg Air Itam 1, 2 dan 3 yang melibatkan lebih 250 penduduk.

Kredit Foto: Astro Prima

Selepas meninjau beberapa buah rumah yang dinaiki air, seterusnya kru produksi dan team Jejak Ebit Lew bergerak ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menyampaikan sumbangan, bantuan seperti makanan dan barang keperluan lain. SK Parit Hj Aman menjadi lokasi bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat dilanda banjir. Disini, Ustaz Ebit Lew meluangkan sedikit masa memberi kata-kata semangat kepada semua penduduk.

Kredit Foto: Astro Prima

Pesan Ustaz Ebit Lew
Katanya, “Dalam hidup ini, apa yang kita mahukan adalah redha Allah SWT. Kalau Allah redha pada kita, kita dapat segala-galanya. Kalau Allah murka pada kita, kita hilang segala-galanya. Apa sahaja yang berlaku dalam dunia ini, macam kakak-kakak, abang-abang semua kasihan, susah kan? Tiga kali banjir setahun, kita sedih kan? Penat… Ujian pula dengan pekerjaan kita sekarang. Kalau berniaga tak untung seperti mana biasa, ramai yang hilang pekerjaan, dengan Covid-19 lagi… Tapi, semua ujian dalam dunia ini dalam hadis Nabi Muhammad SAW Riwayat Muslim ada menyebut: “Orang Islam ni orang beriman, kalau dia diuji walau dicucuk duri, walau sakit kepala semua itu akan menjadi pahala, diampunkan dosa dan dinaikkan darjat. Ramai orang ingat kalau masuk syurga kerana amalan-amalannya. Sebenarnya yang membezakan kedudukan seseorang di Akhirat nanti ialah kesabaran. Sabar ini maksudnya kita menerima qada dan qadar Allah SWT. Apa yang terjadi ini sebab Allah sayangkan kita. Dalam keadaan kita diuji ini, kita berusaha untuk jaga solat dan solat pada awal waktu. Mungkin kita fikir, dalam keadaan sekarang, dengan kotor dan tak sempurnanya membuatkan kita malas nak solat. Walau apa ujian yang mendatang, jaga solat. Kalau kita jaga solat, Allah mesti akan jaga kita. Itulah kunci syurga.”

Kredit Foto: Astro Prima

Keluarga Daif Di Lembah Bujang, Kedah
Hari kedua, misi membantu dan menyantuni masyarakat diteruskan lagi. Kali ini mereka bertolak dari Bagan Serai Perak ke Lembah Bujang, Kedah bagi membantu sebuah keluarga daif yang hidup serba kekurangan. Hujan lebat menyambut kedatangan team Jejak Ebit Lew ke rumah keluarga ini. “Apabila sampai, saya lihat rumah ini hanya ditampal-tampal dengan kertas pasir dan barangan yang seadanya sahaja,” sambil bertanya khabar dan mendapatkan latar belakang keluarga ini yang mempunyai empat anak.

Kredit Foto: Astro Prima

Nurul, si isteri berkongsi kisah duka apabila anak bongsu mereka dimaklumkan menghidap penyakit hypothyroidism sejak lahir. Suaminya, Noor Asri Md Desa hanya bekerja mencari besi selain melakukan kerja-kerja kampung seperti menjual kelapa sawit, pusing kebun mengikut musim buah dan jika mempunyai pekerjaan suaminya akan dipanggil untuk membantu. Sekadar itu sahaja. Allahu… Bayangkanlah bagaimana sukar dan getirnya hidup keluarga ini. Anak-anak yang masih kecil hidup dalam suasana dan persekitaran yang bukan sahaja tidak selesa tetapi serba-serbi kekurangan. Tidak mempunyai sumber bekalan air bersih, keluarga ini hanya menggunakan air sungai untuk mandi dan sebagainya. Malah apabila hujan dan kepala air mulai turun keluarga ini tidak dapat mandi seperti biasa. Selain itu, bekalan tenaga elektrik pula ditarik dari kawasan bersebelahan rumah.

Kredit Foto: Astro Prima

Tambah syahdu apabila Noor Asri tidak menyangka Ustaz Ebit Lew sanggup datang ke rumah mereka dalam keadaan hujan lebat seperti hari itu. Lantas dia berkata, “Andai kata ini hari terakhirku, aku akan buat perubahan untuk isteri dan anak-anakku. Doa kepada ustaz, murahkan rezeki, panjangkan umur. Syukur Alhamdulillah atas semua ini.


Terpanggil untuk berkongsi rezeki dan membantu, Ustaz Ebit Lew bermurah hati menyediakan tempat tinggal yang jauh lebih selesa buat keluarga ini. Dan berpindahlah keluarga ini ke kawasan perumahan teres tidak jauh dari rumah asal mereka. Ujar Ustaz Ebit Lew lagi, “Kita ada saudara atau orang terdekat yang boleh kita telefon untuk minta bantuan. Tapi setengah orang dalam hidup mereka tiada sesiapa. Mereka hanya mampu berdoa dan berdoa sambil mengharapkan suatu hari nanti doa mereka akan dikabulkan. Mereka redha dengan takdir tetapi mereka sentiasa berusaha dengan cara mereka sendiri. Dan untuk itu, kita cari mereka untuk membantu dan tolong supaya mereka dapat berasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah. Sekali gus mereka gembira dan berasa dekat dengan Allah,” terangnya bersungguh.

Kredit Foto: Astro Prima

Pesan Ustaz Ebit Lew
Menangis ini ubat. Bila susah, cikgu saya ajar solat. Bila sedih tahu tak perlu buat apa? Solat dua rakaat, tahajud ke, dhuha dan menangislah. Menangis kepada Allah ini kekuatan kita. Sekarang tahu atau tak sebab apa orang Islam jadi lemah? Sebab kita tak beri masa untuk menangis kepada Allah. Depan Allah kita tunjuk kuat. Berapa ramai orang tak mahu solat, sujud kepada Allah? Sebab dia rasa dia kuat. Jadi, kita kalau lemah; kita sudah ada sifat untuk dekat dengan Allah. Kalau rasa kuat, kita sebenarnya sombong. Jadi apabila solat, mintalah pada Allah dan menangislah semahunya.


Ziarah Bob Lokman
Menghidap penyakit jantung sejak 20 tahun lalu, komposer, penulis lirik, pelakon dan pelawak terkenal Bob Lokman berhadapan dengan risiko kematian mengejut jika tidak menjalani pembedahan. Dan selepas ramai yang ‘tagged’ Ustaz Ebit Lew di Facebook, team Jejak Ebit Lew bergerak ke Kubang Kerian, Kelantan pula untuk menziarahi Bob Lokman. Mereka berpelukan mesra usai Ustaz Ebit Lew menyapanya. Melihat suasana rumah dan kehidupan dijalani dengan serba sederhana, bagi Ustaz Ebit Lew ia secara tidak langsung mengingatkan kita kepada hari Akhirat.

Kredit Foto: Astro Prima

Memang benarlah serba sederhana kehidupan insan seni berbakat besar ini. Dia sentiasa mengingati mati selain meminta tolong kepada Ustaz Ebit Lew agar beri pesanan kepada semua orang. “Ustaz, kalau jumpa semua orang, tolong beritahu saya minta maaf sebab dunia saya maca mini. Kadang-kadang mulut saya terlepas cakap dan sebagainya. Jadi saya nak minta maaf,” pinta Bob Lokman.


Saya sumbangkan sedikit dana yang diperlukan untuk menjalani pembedahan itu. Syukur Alhamdulillah, selepas tabung khas untuk bantu Bob Lokman dibuka ramai yang menyumbang. Dan tanggal 2 Disember lalu, Bob Lokman telah selamat menjalani pembedahan Cardiac Resynchronazation Theraphy & Defibrillator (CRTD) di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star, Kedah.

Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Lew
Bersabar itu susah tapi bersabar itu juga paling tinggi darjatnya. Kita berjumpa sesiapa pun, bukan setakat kita beri sumbangan tetapi kata-kata semangat dan doa. Dan orang yang sedang sakit ini doanya makbul. Dia diuji dan sebab doanya makbul saya pun mendapat sebahagian daripada apa yang dia tanggung. Saya berdoa semoga beliau cepat sembuh, kuat dan dapat berkongsi inspirasi kepada semua orang.

Kredit Foto: Astro Prima