Wabak Covid-19 bukan biasa-biasa. Nampaknya, ia memberi impak yang di luar dugaan dalam kehidupan setiap kita, tanpa mengira bangsa dan negara. Bukan untuk sehari atau seminggu dua, malah makan bulan yang mengakibatkan rutin hidup berubah semuanya. Kebetulan pula, kita bakal menyambut bulan paling ditunggu umat Islam yakni Ramada beberapa minggu saja lagi.

Dan ini diikuti dengan hari kemenangan kita, Lebaran pada bulan Syawal. Persoalan dan teka-tekinya, adakah kita akan terus diminta untuk duduk di rumah dan tidak dibenarkan melakukan aktiviti sosial seperti biasa? Sehingga kini, jawapannya masih samar. Namun melihatkan keadaan semasa, ada kemungkinan sambutan Aidilfitri tahun ini akan jauh berbeza.



Pastikan Virus Ini Dihapuskan Dulu

Ini yang paling penting buat masa ini. Bukan lagi untuk memikirkan tentang persiapan Raya yang akan buat kita lebih stres dan dilema. Kalaupun mungkin akan bersambung Perintah Kawalan Pergerakan ini, kita harus menerimanya dengan hati terbuka dan melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat dengan baik. Jangan merungut atau cuba untuk melanggarinya. Setiap individu berperanan sama penting.


Jaga kesihatan dan keselamatan diri agar rantaian Covid-19 dapat kita hapuskan secepat mungkin. Kejayaan ini bergantung kepada kita sendiri sejauh mana kita patuh pada arahan yag ditetapkan. Biarlah kita susah sedikit untuk beberapa waktu ini, agar kita dapat lekas keluar dari belenggu wabak Covid-19.




Kredit Foto: Google



Jangan Beli Dulu Baju Atau Persiapan Raya


Dalam keadaan ekonomi yang tidak berapa stabil sekarang ini, kita sendiri tidak tahu bagaimana ramalan masa depan untuk beberapa bulan nanti? Rata-rata pakar ekonomi, menasihati rakyat Malaysia untuk lebihkan menyimpan dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu terutamanya yang berbentu kehendak semata. Ini bukan masanya untuk berhias cantik atau meraikan temasya.


Paling penting sekarang ini adalah memastikan isi rumah cukup makan dan minumnya. Kita sendiri tidak berapa lama lagi masa diperlukan untuk ekonomi negara benar-benar pulih seperti sedia kala. Jadi, dulukan perbelanjaan yang paling utama seperti membeli makanan dan keperluan asas lainnya seperti ubat-ubatan, lampin dan susu anak dan lain-lain keperluan saat kecemasan.



Beraya Seadanya Tanpa Pembaziran

Sekalipun kerajaan membenarkan rakyat untuk menyambut Aidilfitri, beringatlah untuk meraikannya sesederhananya. Ini juga pengajaran terbesar untuk kita yang selama ini banyak melakukan pembaziran apabila meraikan Ramadan dan Syawal. Mungkin mulai tahun ini, kita akan sentiasa beringat untuk tahun seterusnya agar beraya seadanya tanpa melakukan pembaziran yang dimurkai Tuhan.



Kredit Foto: Google

Cukuplah persiapan Raya tahun ini dengan bekalan stok barang-barang basah untuk juadah seperti rendang, nasi impit dan sewaktu dengannya. Tidak perlu lagi menu sepenuh meja atau tambahan biskut, kuih-muih dan manisan yang tidak pasti mampu untuk dihabiskan nanti. Kita sendiri tidak tahu sejauh mana kita boleh merayakannya bersama sanak-saudara dan jiran-tetangga. Jadi, biarlah hidangan tidak berlebih-lebih.

Bukan kedekut tetapi berhemat.