Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

LELAKI – Ubah Tabiat INI Dahulu Kalau Nak Kahwin. Jadi SUAMI Dan IMAM Bukan Senang ‘Bro’!

Huda Hussain
26/09/2020 02:20 MYT
Kata orang jika sudah terdetik niat dalam hati untuk mendirikan rumahtangga pasti Allah akan lorongkan atau permudahkan hajat itu. Tetapi, jangan harapkan itu sahaja semata-mata. Sebagai lelaki, banyak persediaan yang harus disiapkan dan diperkemaskan untuk memimpin dan membimbing bakal isteri dan bakal anak kelak. Dibahunya tergalas tanggungjawab berat. Ada perkara yang perlu dia tanggung dan ada perkara yang perlu dia jawab dalam soal ini.


Lihat saja situasi mudah kalau kita mahu memulakan perjalanan jauh untuk balik kampung misalnya. Pasti sehari dua sebelumnya kita sudah mengemas pakaian, pastikan rumah berada dalam keadaan bersih dan baik, suis dan gas ditutup dan lain-lain. Malah lebih penting, kenderaan yang dinaiki diselenggara dengan baik. Angin tayar dipastikan cukup, minyak hitam ditukar, air dan bateri diperiksa terlebih dahulu sama ada belum tamat tempoh dan banyak lagi elemen teknikal lain yang kaum lelaki lebih arif.


Begitulah juga konsepnya dalam perjalanan kita mendirikan masjid. Perlulah ada persiapan rapi kerana secara simboliknya kita juga akan menempuh satu perjalanan yang panjang. Kita tidak akan tahu apa ujian dan rintangan yang bakal dilalui di hadapan atau sepanjang perjalanan itu. Tetapi jika sudah ada persiapan sebagai bekalan, secara tidak langsung kita lebih bersedia dan yakin serta positif melaluinya. Berikut antara elemen atau tabiat yang perlu diubah andai sudah memasang niat untuk berkahwin.

Kredit Foto: Google

1. Solat

Kalau sekarang anda culas menunaikan solat atau hanya solat mengikut mood dan melakukannya apabila perlu; maka mulai hari ini tanamkan tekad dan usahakan untuk tidak meninggalkannya. Cuba cukupkan dari dua ke tiga waktu atau dari empat menjadi lima waktu. Usahakan juga solat di awal waktu. Mengapa solat ini penting? Kerana ia adalah tiang agama. Kalau anda gagal kukuhkan lima tiang ini, bagaimana untuk anda bina asas yang kuat lagi utuh dalam rumahtangga? Kalau anda masih terbawa-bawa perangai yang hanya solat bila perlu atau tak solat langsung dalam rumahtangga yang dibina, jangan terkejut kalau anda gagal pertahankan masjid itu. Rumahtangga takkan kekal lama kerana imamnya boleh meninggalkan dan lupa akan Allah, apatah lagi manusia.


2. Pekerjaan

Sebelum berkahwin, pastikan anda mempunyai pekerjaan dan yang stabil. Stabil daripada segi pendapatan, syarikat dan majikan dan anda selesa berkhidmat disitu untuk satu tempoh tertentu. Ingat ya, nak bela anak orang apatah lagi mahu diberi makan nafakah dan sebagainya; bukanlah satu perkara mudah. Kerja tak boleh ikut suka, ikut rasa hati, kerja sekejap berhenti kemudian mengganggur hingga dapat pekerjaan lain dan sebagainya. Kerana apa? Apabila berkahwin nanti, ada isteri dan anak yang perlu disara, perlu pastikan makan pakainya cukup dan banyak lagi. Berbekalkan hasil duit gaji (jika kerja makan gaji) itulah yang menyara seisi keluarga. Maka dengan itu, pastikan anda mempunyai kerja yang stabil dan berpendapatan tetap.

Kredit Foto: Google

3. Perangai Bujang

Terlalu banyak kalau mahu disenaraikan. Antara yang perangai bujang yang popular adalah tabiat melepak, keluar rumah malam dan pulang hingga awal pagi, main game berjam-jam lamanya, merempit dan lain-lain. Ubah tabiat ini dan ubahlah gaya hidup anda. Misalnya kurangkan kekerapan keluar rumah dan balik lebih awal atau hanya keluar pada masa-masa tertentu sahaja. Didik dan cuba kawal diri untuk biasakan dengan rutin baru ini. Bukan apa, apabila sudah ada anak, mereka akan melihat apa yang kita lakukan. Dari situ mereka akan ingat dan mengikut. Sudah pasti kita tidak mahu mereka terikut dengan tabiat dan perangai buruk kita kan? Jadi, cuba usahakan okey buang perangai bujang itu.


4. Belajar Lakukan Kerja-Kerja Rumah

Jangan sekali-kali meletakkan bebanan atau tugas-tugas menguruskan rumah seperti membasuh, mengemas, memasak dan sebagainya adalah tugas hakiki isteri semata-mata. Sebagai lelaki, anda perlu tahu melakukan kerja-kerja asas dalam rumahtangga seperti menyapu, melipat pakaian, membasuh pinggan mangkuk, menyidai baju, mengemop dan lain-lain. Kalau perkara asas ini sudah biasa anda lakukan semasa bujang, tidak mustahil anda boleh teruskan dan bantu isteri apabila berkahwin nanti. Tak hilang ‘macho’ pun kalau tahu buat kerja tau!

Kredit Foto: Google

5. Kaki Perempuan? Sudah-Sudahlah Tu. Jaga Pergaulan.

Sebelum berkahwin, mungkin anda mempunyai ramai kawan perempuan. Anda selalu berhubung, berjumpa dan keluar dengan mereka atas nama ‘kawan’. Tapi apabila dah berkahwin, anda tak boleh keluar lagi dengan perempuan walaupun dia hanya seorang kawan sahaja. Sebab apa? Anda sudah beristeri dan tiada keperluan untuk ada kawan perempuan yang anda masih berhubung rapat lagi. Kawan perempuan selepas berkahwin hanyalah si isteri seorang sahaja. Maka, anda perlu menjarakkan diri atau kurangkan berhubung saat bakal menjadi suami.


Perkahwinan merupakan ikatan suci yang menghalalkan hubungan antara seorang lelaki dan seorang perempuan. Perkahwinan bukan sekadar untuk memuaskan nafsu semata-mata. Tapi ia adalah satu tanggungjawab dan amanah untuk dipikul, digalas dan dilaksanakan. Oleh siapa? Yakni seorang lelaki, suami, imam, pemimpin dan pembimbing kepad seorang perempuan yang diciptakan dari rusuk kiri yang bengkok untuk diluruskan dalam menuju ke jalan yang diredai Allah SWT.

Kredit : Peguam Syarie Khidmat Masyarakat
#Perkahwinan #Sikap #Lelaki
;