Seorang lelaki itu tergalas di bahunya begitu banyak amanah dan tanggungjawab. Atas kekuatan dan kelebihan yang dimiliki, Allah menjadikan mereka ini umpama dahan dan sayap untuk melindungi kaum Hawa. Andai rapuhnya dahan lelaki, maka runtuhlah semua penghuni yang berada di bawahnya. Tidak hairanlah kenapa lelaki itu dianggap sebagai nakhoda kapal yang mengemudi perjalanan sebuah keluarga.



Ibu; Tiket Lelaki Ke Syurga, Isteri; Jambatan Suami Ke Jannah

Sungguh bertuah seorang lelaki yang dapat menjadikan ibu dan isteri saham untuknya menuju ke syurga dengan mudah. Jika sepanjang hidup ibu itu, kamu dapat mencurah bakti dan memuliakannya tanpa sedikit pun mencalarkan hatinya, pasti ia menjadi tiketmu untuk masuk ke syurga kelak. Kerana begitu banyak cara dan peluang yang boleh diperlakukan untuk mendapat pahala dengan hanya menjaga dan mendapat redha daripada ibu.


Begitu halnya, jika kamu turut mempunyai isteri. Isteri itu juga boleh menjadi jambatan kepada suami untuk melangkah megah ke syurga Allah idaman semua. Lihatlah bagaimana Rasulullah melayani dan menyantuni isterinya? Tiada seorang pun suami di dunia ini mampu meniru apa yang dilakukan Rasulullah dalam melapangkan hati para isterinya. Walau mempunyai ramai isteri, baginda mampu bersikap adil. Dan, kamu yang seorang pun belum tentu.



Kredit Foto: Google


Seimbangkan Kedua Amanah Itu

Sebagai lelaki, gunakanlah kekuatan dan kuasa yang ada dengan cara paling baik. Hati wanita sememangnya sukar diduga. Adakala datang perasaan senstitif, tiba-tiba menjadi aktif. Tidak semena-mena dia merintih. Begitulah berseninya Allah menciptakan makhluk bernama wanita itu. Dan, menjadi tanggungjawab kamu sebagai anak lelaki dan suami untuk membahagiakan mereka sama adil agar mereka mampu hidup dalam kemuafakatan.


Ada ibu terluka hatinya dek anak lelaki yang melebihkan isteri. Sejak berkahwin, ibu diketepikan, isteri menjadi keagungan. Apabila ibu mohon bantuan, isteri dirujuknya dulu. Jika isteri tidak setuju, suami terus membisu. Betapa besarlah dosa si suami kerana mengguris hati ibu dan bimbangnya jatuh derhaka. Kalau tidak sempat memohon ampun? Nauzubillahminzalik.


Ada pula lelaki yang terlalu melebih-lebihkan si ibu sehingga mengabaikan tanggungjawabnya terhadap isteri. Walaupun isteri berhak ke atas pendapatan suami, namun dek hasutan ibu, suami memberi ibu lebih daripada porsi yang sepatutnya dimiliki si isteri – yang nyata menjadi tanggungjawab suami untuk dinafkahi. Ada ibu yang menjadi batu api memecah-belahkan hubungan anak lelakinya dengan isteri sehingga isteri sengsara. Itu juga dosa yang perlu ditanggung suami.



Kredit Foto: Google


Muafakatkan Ibu dan Isteri, Nescaya Bahagia Hidupmu

Apabila sudah menjengah alam rumah tangga, seorang lelaki harus berusaha untuk menjadi suami yang baik dan dalam masa yang sama tidak melupakan ibu yang melahirkan. Bergelar suami bukan bermakna kamu hanya perlu fikirkan tentang bagaimana menafkahi isteri zahir dan batin dan kemudian menjadi bapa yang baik kepada anak-anak. Tetapi, lebih dari itu kamu perlu fikirkan juga bagaimana memesrakan hubungan ibu dan menantunya.


Kesejahteraan dua wanita ini penting jika kamu mahu bahagia di dunia dan akhirat. Percayalah, jika kamu mampu membawa kedua ini dalam kehidupan yang harmoni, nescaya kehidupanmu akan menjadi lapang dan tenang. Sedalam mana pun masalah yang datang pasti mampu diatasi kerana adanya dua bidadari ini di kiri dan kananmu.


Jadilah lelaki yang bijak dalam menangani dilema dan kemelut yang mungkin timbul antara ibu dan isteri. Selalu berlaku perselisihan berpanjangan antara ibu dan isteri adalah kerana suami sendiri bersikap tidak ambil peduali, membiarkan perbalahan kecil menjadi besar dan akhirnya membiak barah yang tidak dapat diselamatkan lagi. Maka, dari sekecil-kecil isu, seharusnya suami tangani dengan segera dan pastikan ia selesa dengan cara paling baik tanpa mengguris hati keduanya.



Kredit Foto: Google