Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Lima Tahun Pertama Perkahwinan Banyak Ranjaunya. Ujian Duit, Keluarga, Anak. Kalau Tak Matang, Sabar...

Afiza Kamarulzaman
19/02/2021 15:46 MYT
“A great marriage is not when the ‘perfect couple’ comes together. It is when an imperfect couple learns to enjoy their differences.”
– Dave Meurer


Bukan mudah melalui hidup berumahtangga, apatah lagi bersama individu asing yang baru kita kenali beberapa tahun atau mungkin bulan. Sedangkan hidup bersama adik-beradik sejak lahir pun masih bertikam lidah, bermasam muka.


Jadi, bagaimana untuk melalui kehidupan baru bersama insan yang kita sendiri pilih menjadi peneman sehidup semati? Sebelum kahwin, pastikan kamu lakukan serba sedikit kajian, buat persediaan dan timba seberapa banyak ilmu rumahtangga.


Kuatkan iman. Perkahwinan bukan fasa cuba-cuba atau hanya berserah bulat-bulat pada takdir hidup. Kita harus tahu apa yang kita mahu dan capai dalam sebuah perkahwinan. Ia bukan untuk seronok-seronok memiliki teman hidup.


Bukan juga sekadar ikut-ikutan apabila melihat semua rakan sebaya sudah berumahtangga. Ia tentang diri kamu sendiri dan si dia. Juga, bakal anak-anak yang menjadi ujian dan nikmat dalam rumah tangga.




Kredit Foto: Google




5 Ujian Biasa Dalam Rumahtangga Pada 5 Tahun Pertama

  1. Ujian kewangan – ini adalah ujian paling kerap dihadapi oleh kebanyakan pasangan yang baru berkahwin. Maklumlah, orang muda yang baru mula bekerja pastilah gaji pun cukup-cukup makan. Duit pun banyak habis untuk kerja kahwin, belum dihitung hutang bulanan lagi. Waktu inilah suami isteri melalui fasa susah senang bersama. Makan bersila, tidur atas tilam nipis dan rumah pun kecil berbilik dua saja. Justeru, hati kena kuat. Anggaplah ini sebagai permulaan hidup. Allah menjanjikan rezeki kepada pasangan yang berkahwin. Sama-sama bantu-membantu dan jangan berkira.
  1. Ujian kesefahaman – bukan senang untuk faham orang asing yang tinggal sebumbung, tidur sebantal. Ambil masa untuk mencapai keserasian dan persefahaman. Kita dibesarkan dalam cara hidup dan keluarga yang berbeza, pasti banyak percanggahan rutin seharian dalam rumah seperti cara makan, kebersihan, tidur, hobi dan sebagainya. Jadikan perbezaan ini sebagai tali yang mengukuhkan lagi ikatan dan warna dalam memeriahkan hubungan.
  1. Ujian keluarga – perkahwinan bukan hanya mengikat dua hati suami dan isteri menjadi satu. Malah, ibu ayah, adik-beradik dan saudara-mara pasangan juga menjadi sebahagian daripada hidup kita nanti. Di sinilah nanti, akan ada ramai pasangan yang mula rasa canggung dan tiada biasa untuk bergaul dengan keluarga baru. Ada yang tidak selesa cara berkomunikasi, bergurau dan menegur keluarga pasangan sehingga ada terasa hati dan sebagainya. Positifkan diri dan jangan cepat bersangka buruk. Perlahan-lahan bersuai-kenal dan jangan sesekali bersikap sombong atau kera sumbang.
  1. Ujian anak – setiap perkahwinan akan melangkha ke satu fasa yang lebih besar dipanggil fasa keibubapaan. Anak ini rezeki, juga ujian. Ujian melihat bagaimana kita menjaga amanah Allah sebaik mungkin. Adakah dengan anak meningkatkan lagi takwa dan tanggungjawabmu atau menjadikan kamu lebih lalai dan mencintainya lebih daripada Tuhanmu? Ada juga pasangan yang diuji dengan ketiadaan anak. Setahun, dua tahun, tiga tahun masih tiada tanda kehamilan. Ia juga ujian yang buat pasangan mulai gelisah. Sabar dan teruskan berdoa. Jangan cari salah sesiapa, sebaliknya sama-sama berusaha.
  1. Ujian komitmen – ada orang ambil masa bertahun-tahun untuk sedar yang dia kini sudah bertukar status daripada ‘single’ kepada ‘married’. Ketidakmatangan atau belum bersedia antara penyebab kenapa masih ada pasangan yang sudah berkahwin masih berkelakuan seperti orang bujang. Alasan mereka belum puas ‘enjoy’ dan tidak bersedia memikul tanggungjawab. Mereka tidak tahu membezakan antara komitmen antara kawan dengan pasangan. Bagi mereka kawan sama penting dengan pasangan di rumah. Justeru, berlakulah suami yang suka lepak dengan kawan-kawan sehingga larut malam atau isteri yang sibuk melayan WhatsApp kawan daripada melayan suami. Tiada siapa mamu bantu melainkan diri kamu sendiri. Kesedaran harus bermula dari dalam fikiran yang rasional.


Kredit Foto: Google













#Perkahwinan #Baru Kahwin #Ujian Rumahtangga
;