Masalah tekanan, kemurungan, kerisauan melampau, panic attack, meroyan dan seumpama dengannya sejak kebelakangan ini semakin banyak berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan kes seorang remaja berusia 13 tahun menggantung dirinya akibat tertekan dengan beban kerja sekolah terlalu banyak selain mempunyai masalah lain.

Dan beberapa hari lalu, kita dikejutkan dengan berita seorang ibu di Kemaman, Terengganu mencekik bayinya yang berusia tiga bulan. Benar, ia bukanlah suatu masalah yang dibuat-buat atau sekadar dilakukan untuk meraih perhatian.

Tetapi harus diingat, jika tidak dirawat dengan segera atau dibiarkan berlarutan buruk padahnya. Selain meluahkan perasaan, berkongsi masalah sambil bercerita boleh membantu meredakan tekanan; ada beberapa kaedah lain yang berupaya membantu mengurangkan bebanan akibat masalah ini.


Dan bagi kalian yang kini mungkin berperang dengan diri sendiri melawan tekanan, apa kata cuba langkag berikut.






1. ZIKIR PAGI

Setiap hari Rasulullah SAW akan menghidupkan pagi Baginda dengan memuji zat Allah SWT. Kompilasi zikir pagi yang Rasulullah baca ada dalam Hisnul Muslim (boleh Google untuk muat naik).


Jangan hanya baca sahaja tetapi luangkan masa dan fahamkan maknanya. Kerana percayalah, ada bezanya daripada segi emosi apabila anda sekar membaca sahaja dengan membaca berserta kefahaman.


Disarankan agar anda mengamalkan zikir ini selepas solat Subuh selama 15 minit siap. Jadikannya sebagai rutin, insya-Allah anda akan rasai perubahannya. Selain puji-pujian kepada Allah, tanamkan niat dalam hati memohon kepada-Nya agar diberi petunjuk untuk menghadapi hari yang baru.




2. BERJALAN DI BAWAH MATAHARI

Keluar dari rumah dan cuba lakukan aktiviti di luar walaupun hanya sekadar menyapu. Pancaran matahari pagi banyak manfaat terutamanya untuk merangsang hormon kortisol dan serotonin.

Hormon serotonin juga dipanggil ‘happy hormone’ yang membangkitkan mood ceria dalam diri kita. Malah Allah SWT juga bersumpah demi waktu Dhuha (matahari naik) menunjukkan betapa signifikan waktu ini.


Jika tidak gemar melakukan aktiviti ini, anda juga boleh tanggalkan kasut dan berjalan di atas tanah untuk ‘grounding’. Deria rasa kala memijak ini akan merangsang hormon yang positif dalam tubuh.




3. SOLAT DHUHA

Selain menawarkan kelebihan memperoleh rezeki, solat Dhuha juga mempunyai banyak kelebihan lain.

Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis sohih riwayat Muslim mengatakan bahawa solat Dhuha merupakan sedekah kita pada sendi-sendi tubuh. Tubuh kita sangat memerlukan 'sedekah' ini.

Dan pastinya ada banyak manfaat kesihatan jika dikaji dengan mendalam. Usahlah kita meletakkan niat bersolat dhuha kerana hajat duniawi seperti memperoleh rezeki sebaliknya ikhlaskan hati apabila bersolat kerana Allah.

Semoga dengan niat ikhlas kita mahukan cinta daripada Allah, Dia beri kita kesembuhan khususnya sakit emosi yang kita tanggung.




4. BELAJAR FAHAM AL QURAN, MAKNANYA DAN AMALKAN

Apa kata kita ambil dan luangkan masa dengan tingkatkan kefahaman dengan mendalam mengenai ilmu Al-Quran. Jika sebelum ini kita sekadar membaca sahaja, mengapa tidak kita ‘upgrade’ ke satu tingkat lagi secara berperingkat?


Fahamkan satu persatu ayat Al-Quran yang kita baca, belajar makna linguistiknya kerana terjemahan Bahasa Melayu tidak cukup untuk memberi gambaran maksud tersirat yang Allah sampaikan. Ketahuilah bahawasanya ayat Allah terlalu indah.


Dan untuk itu, disarankan agar belajar dan bergurulah dengan mereka yang bertauliah. Kita patut juga melabur masa dan wang untuk memahami mukijizat yang berupa Al-Quran ini.

Cubalah berdikit-dikit dan insya-Allah dengan izin-Nya pasti diangkat segala kesakitan yang membelenggu pemikiran, menyesakkan dada dan digantikan dengan ketenangan hati.