“Mak! Kita Nak Dodol. Mak! Kita Nak Ketupat” — Kalau Anda Hilang EMAK Macam WANITA INI, Allahurabbi Sedihnya
Public Anonymous User
30/05/2017 12:49 MYT
30/05/2017 12:49 MYT
Oleh: Lily Haslina Nasir
30 Syaaban 1438H
Jumaat, 26 Mei 2017
Mak, kek tahun ni tak mau kek kukus buahlah. Kita orang buat kek coklat aje. Mak, kita buat dodol ajelah ya... tak mau wajik. Tak suka wajik. Mak, buat apa buat sagun tu... tersedak aje makan. Mak, nak bakar sate kat sini ke kat rumah nenek? Ohh… mak buat sebab nak jamu Pakcik Jamal dengan famili dari Norway. Mak, karpet tu biar kami pilih ya... mak pilih nanti kami tak suka coraknya.
Mak buka puasa nanti nak mak buat roti canai telur. Rosie nak bawang lebih, kita tak mau bawang langsung. Mak kalau buat murtabak, daging nak kasar kasar ya. Mak, raya nanti kita buat soto tak payahlah carik ayam. Lecehlah. Mak, nanti raya kita buat kuih koya/putu kacang sama batang buruk ya. Tapi tepung kacang tu kita beli siap ajelah. Tak larat nak giling...
Mak, jahit kemeja Syafiq dari kain batik lepas mak ke? Mak, nanti jahitkan gaun Anis yang sulam-sulam tu ya...
Dan lapisan demi lapisan kenangan dengan mak tak pernah habis. Betullah kata adinda Rosie. Mak itu rumah kami. Perginya mak, kami macam hilang rumah. Muncul saja Ramadan dan Syawal memang kami selalu tenggelam dalam pusaran kenangan. Mudah-mudahan dapat jumpa mak di rumah sana nanti.
Apa khabar agaknya mak di rumah sana?
1 Ramadan 1438H
Sabtu, 27 Mei 2017
Tetiba jadi sangat-sangat ingat pada mak. Kalaulah Melaka tu dekat harus saya pulang sekarang! Allah! Nenek yang menggantikan emak pun dah tak ada. Kalaulah mak ada lagi agaknya saya dan Rosie sudah kecoh plan itu plan ini, belikan mak itu belikan mak ini. Kalaulah mak ada lagi, agaknya saya dengan bahagianya akan senaraikan pada mak buku yang saya tulis, buku yang bakal terbit, buku yang dah terbit dan buku yang masih dalam bentuk manuskrip. Dan saya tahu mak dengan tekun akan baca buku saya.
Kalau mak ada agaknya, saya akan asyik telefon dia mengadu itu mengadu ini, cerita itu cerita ini perihal cucu-cucu mak yang selalu buat saya angin.
Dan agaknya kalau mak ada, saya yang selalu hilang sabar ajar anak yang masih kecil akan minta mak ajarkan Matematik pada cucu-cucunya sebagaimana yang mak ajar kepada cucu sulungnya, Syafiq dulu.
Agaknya kalau mak ada dan saya mengeluh penat mengejar deadline menulis, mak akan tegur, “Siapa suruh berhenti kerja?” Begitulah agaknya, kalau mak ada lagi…
Hemm… saya sebak sekarang! Oh waktu macam ini saya fikir punya wang pun tak guna. Saya tak boleh beli emak saya untuk kembali bersama saya...
13 Ramadan 1432H
Sabtu, 13 Ogos 2011
Emak itu rumah kami. Emak itu negeri kami. Emak itu syurga kami. Bila tiba-tiba emak tak ada, saya memang terjelepuk dan masih ingat lagi... di hospital, Busu saya Dr. Jabar menenangkan, mengusap kepala saya yang dah tak mampu menangis, tak mampu berdiri.
Ya Allah, patutlah pada malam 30 Ogos 2003 itu saya mimpi kereta saya pancit empat-empat tayar. Kami empat adik-beradik. Saya mimpi kami terkandas hanya kerana empat tayar pancit. Oh, bukankah jantung kami mula berdegup, kami mula bergerak di dalam emak? Dan apabila emak tiada, kami semacam hilang arah. Benar, yang hidup pastinya pergi namun kekadang dalam limpahan kasih sayang, kita belum bersedia.
Mimpi aneh itu terjawab apabila jam satu pagi saya dapat panggilan telefon, emak rebah di rumah. Bergegas ke Melaka keadaan bagi saya sangat membingungkan.Saya jadi kecamuk memikirkan yang bukan-bukan. Kurang lebih 10 hari majlis nikah Rosie dari tarikh tersebut. Saya berkali-kali menyoal diri. Kalau apa-apa jadi pada emak, mampukah saya menggantikan tempat emak menguruskan majlis adik? Dan ya... saya kemalangan sewaktu mahu segera sampai ke hospital memeluk emak.
Hati semakin tidak enak. Sampai di hospital, bila mengurut emak, hati saya semakin sebak, bimbang dan rasa hopeless. Saya bagai dapat rasa emak tak lama, tapi macam mana? Pernikahan Rosie? Oh, saya bukan celupar, tapi saya harus fikirkan...
Saya tanya nenek dan bonda saudara yang lain. Kata nenek, "Nenek doa sesangat Allah pinjamkan emak Lily untuk tengok Rosie nikah.... Apa nak buat Lily, ni Allah tentukan...."
Oh, berjuraian air mata saya masa tu.
Allah kasihankan kami. Selepas beberapa jam majlis nikah, selepas emak kembali ke hospital, baru emak dijemput. Oh, menggeletar saya masa itu. Tak terkata melihat Rosie yang mengharungi malam pertama bergelar isteri mengaji di hadapan jenazah emak. Ya, dugaan amat berat buat kami.
Waktu itu barulah saya sedar, oh, patutlah emak bertegas mahu menempah berjenis-jenis kuih. Biar kami membantah kata membazir. Rupa-rupanya emak menempah untuk kuih majlis tahlilnya.
Apabila jenazah di rumah nenek, berkali-kali nenek pesan, tatap emak puas-puas, Lily. Saya akui tak punya kekuatan. Saya bagai tak bersedia untuk itu. Tapi bila disingkap perlahan kain menutup wajah emak, saya terkaku. Subhanallah! Perempuan yang satu ini, perempuan yang sudah terpisah dari rohnya, perempuan yang membesarkan kami dengan segala air mata, kudrat dan keikhlasan itu, pergi dengan wajah yang senyum.
Allah... itu saja yang mampu saya sebut.
Saya terpempan, tergamam dengan detik yang Allah berikan itu. Maka redalah kami dengan apa yang terjadi. Nenek pesan lagi. Mak Ngah pesan juga, "Mak senyum Lily… Doa aje banyak-banyak. Mak mesti tak mau tengok anak-anak dia sedih."
Tapi itu kata orang. Itu pujukan orang. Banyak benda drastik saya buat selepas mak tak ada. Antaranya saya berhenti kerja. Saya juga hilang deria manis bahagia di hari raya.
Ya, saya mahu pulang mana? Nyawa saya untuk terus senyum hanya terlekat pada anak. Saya sudah hilang emak. Saya tak mahu hilang saat saya bersama anak-anak. Dan, ya... saya banyak berusaha menjadi teman, kawan tengkar, rakan gurau bersama anak, kerana saya mahu jadi macam emak saya. Emak dahululah tempat saya kongsi segala.
Emak pergi, separuh jiwa saya pergi…
19 Ramadan 1437H
Jumaat, 24 Jun 2016
Lirik ini memang sangat luar biasa. Gigih saya Google jam 2.00 pagi. Dan hati saya terkejut apabila yang keluar nama Arwah Zaihasra sebagai penulis liriknya. Penyair yang sangat saya minat sejak sekolah. Setiap satu puisinya sangat-sangat berbekas di hati. Saya tak pandai tulis puisi, tapi sangat menghargai puisi. Lirik ini, lagu ini, sejak kecil saya dah biasa dengar sebab tinggal bersama-sama pakcik-pakcik di rumah nenek, saya terdedah dengan buku, piring hitam dan kaset.
Saya fikir tadi (sebelum jam 1.00 pagi) saya siapkan kerja bertemankan lagu ni, saya boleh cepat sudahkan apa yang patut, boleh hilang mengantuk. Tapi cukup sejam asyik ulang ulang ulang dan ulang… Oh, serius hati saya semakin luluh ingatkan arwah mak.
Tak pasal-pasal saya rasa panas macam nak demam teringatkan mak...
Senja berulang rindu
Dan ku sebut namamu
Dalam suara yang bisu
Engkaukah itu
Saya selalu harapkan tidur saya mimpikan emak. Dan bila begini, baru saya faham kenapa emak dulu kekadang selepas solat, selepas mengaji dan berdoa dia menangis teringatkan arwah bapanya. Saya yang blur dulu kekadang selalu tanya, “Asal mak nangis teringat datuk?”
Bodohnya saya masa tu!
Dan lagi… baru saya tahu, saya memang serba-serbi sangat mirip emak… raut muka, suara (ini orang kata) tapi degil saya ini tentunya bukan daripada emak.
Dan ku ulang kembali
Sewaktu dalam sunyi
Nyanyian kata hati
Rindukah itu
Saya suka fikir yang bukan-bukan, yang jauh entah ke mana. Selalu saya fikir begini, boleh ke saya jumpa emak di sana? Atau entah-entah saya banyak dosa dengan emak.
Ya saya masih ingat lagi macam mana saya hampir pitam, Rosie tergamam, Hanif terkaku bila doktor sahkan mak dah tak ada depan kami. Semuanya beberapa jam selepas pernikahan Rosie.
Mak pergi tepat pada hari lahirnya di bulan Rejab, di keliling saudaranya sebab sepanjang majlis Rosie, mak dalam keadaan separuh sedar dan masih mahu paksa diri bersalaman dan meminta maaf dengan semua yang sempat jumpa dia, Allahu Akbar!
Ya saya masih ingat lagi macam mana saya hampir pitam, Rosie tergamam, Hanif terkaku bila doktor sahkan mak dah tak ada depan kami. Semuanya beberapa jam selepas pernikahan Rosie.
Mak pergi tepat pada hari lahirnya di bulan Rejab, di keliling saudaranya sebab sepanjang majlis Rosie, mak dalam keadaan separuh sedar dan masih mahu paksa diri bersalaman dan meminta maaf dengan semua yang sempat jumpa dia, Allahu Akbar!
Biarkan kemesraan berlalu
bersama kesunyian yang padu
Akan ku sebut namamu selalu
Namun ada rindu yang lebih dari itu
Sebut emak, terkenangkan emak, mengaji untuk emak… selalu buat saya berakhir dengan menangis sendiri. Apabila sesekali anak murid emak bertanya saya di Facebook, “Cikgu Jamilah apa khabar?”, malah ada juga yang berkata, “Kak Lily, kirim salam pada Cikgu Jamilah ya…"
Oh, sebenarnya rasa tak bernafas saya dibuatnya, sebab emak saya sudah tak ada sejak 2003.
Dan kalau ada yang menegur saya biarpun tidak kenal saya dan ayatnya begini, “Anak cikgu Jamilah ya?? Muka sama Cikgu Jamilah…"
Oh, memang rasa merah muka sebenarnya menahan sebak.
Kasih di mana janji
Dan kau teruskah lari
Dari ku yang menanti
Engkaukah itu
Emak pergi, separuh jiwa saya pergi...