Adab budaya orang dulu-dulu memang sangat halus dan terpuji. Orang sekarang pun susah nak ikut dan tiru. Zaman berganti dan sikap manusia pun berubah. Antara adab yang sangat dijaga orang dulu adalah mengenai menyambut tetamu datang ke rumah. Orang dulu sangat menghargai dan memuliakan tetamu.

Selaras dengan tuntutan agama yang sangat menitikberatkan layanan tuan rumah kepada tetamunya. Penulis teringat dengan arwah ibu saudara penulis dulu. Walaupun sudah meninggal dunia, namun sehingga kini namanya sentiasa disebut-sebut dengan kebaikan dan sikap mulia yang ada dalam dirinya.


Selain suka membantu orang, arwah juga seorang yang sangat ‘berat’ apabila orang datang bertandang ke rumah. Walau pun, arwah bukanlah orang yang kaya, duit pun bukannya ada sangat, namun dapur di rumahnya tidak pernah tidak berasap. Stok makanan sentiasa bersusun di rak kayunya.


Apabila ditanya, kenapa dibeli banyak-banyak barang dapur sedangkan arwah makan berdua saja dengan suaminya. Jawab ibu saudara, “Senang nanti kalau ada orang datang mengejut atau malam-malam. Taklah malu dengan tetamu kalau rumah ada barang makan,” Ujarnya penuh ikhlas.



Kredit Foto: Google


Pentingnya Tetamu Jamah Makan Sebelum Pulang


Bagi orang dulu, apabila tetamu datang ke rumah wajib menjamah sedikit makanan dan minuman sebelum dibenarkan pulang. Semiskin-miskin rumah itu, pasti ada dihidangkan air bujang dengan biskut kering. Buat syarat dan untuk elak orang mengata. Bukanlah mahu fikir apa orang kata tapi inilah adab unik bangsa kita.


Apatah lagi jika tetamu itu tumpang bermalam. Pasti dicukupkan makan pagi, tengah hari, petang dan malamnya. Sebab itu dulu, kalau menjengah saudara jauh, hotel dan homestay tidak laku kerana kebanyakan kita akan tidur bermalam di rumah saudara-mara kerana layanan yang diberikan bagaikan ‘Raja’.


Orang dulu juga berasakan berkatnya kehadiran tetamu itu jika pulangnya dengan perut yang kenyang dan kegembiraan. Orang sekarang mana difikirkan itu semua. Lagi suka kalau tetamu itu melarang untuk dijamu apa-apa dengan alasan, “Sudah kenyang”. Tidak salahkan, sesekali melayani tetamu sebaiknya.


Makan dan minum kita menjadi perkara penting bagi orang dulu kerana di situlah titik kebahagiaan apabila seseorang itu kekenyangan. Dan, ia juga sebagai tanda kita menghargai kehadirannya. Tidak salah terus diamalkan jika ia perkara yang baik dan membawa keharmonian dalam masyarakat.


Kredit Foto: Google