Apabila sebut sampah pasti yang tergambar dalam bayangan kita sesuatu yang kotor, busuk, menjijikkan dan sudah tentulah bukan suatu pemandangan yang indah kan? Tetapi jika dilihat daripada aspek psikologi, tingkah laku yang kotor, busuk dan menjijikkan itulah sebenarnya ada dalam diri kita. Walaupun tidak semua bersikap demikian, tetapi kita tidak dapat lari daripada berada dalam persekitaran mereka yang negatif, suka mencaci maki, ‘mulut puaka’, tikam belakang dan sebagainya. Dan bukankah semua karakter itu ‘sampah’ belaka?


Kredit Foto: Google


Penulis terpanggil untuk berkongsi coretan muat naik yang dikongsi Dr Redza Zainol dalam laman facebook peribadinya. Kerana hakikatnya, mahu atau tidak kita nafikan sebenarnya sama ada kita sendiri adalah pengutip sampah atau kita dikelilingi mereka yang bersifat sedemikian.

Ada manusia yang kita jumpa, mereka ni sama macam lori sampah. Setiap hari kerja dia ialah kutip sampah dari celik mata sampailah sebelum dia tidur. Sampai satu masa, akan penuhlah lori sampah tu. Bila lori penuh, dia dah tak dapat nak kutip sampah baru. Sebab tu dia kena cari tempat untuk buang semua sampah tu tadi.


Lepas dia buang semua sampah tu, barulah dia rasa lega dan akan mula kutip lagi sampah-sampah yang baru. Kitaran ni akan berterusan sampai bertahun-tahun lamanya. Bayangkan kalau kita biarkan semua sampah tu masuk ke dalam diri kita, kita pun akan jadi tong sampah. Sama macam orang tu.
Jujurnya, saya sendiri pernah jadi lori sampah. Keluar pergi kerja, kutip semua sampah dan bawa balik ke rumah. Paling menyesal, saya longgokkan sampah tu pada anak-anak.


Kredit Foto: Google


Balik rumah, patutnya sayang anak tapi anak jadi tempat saya luahkan rasa marah, rasa yang serabut, rasa kecewa. Lama-lama anak pun jadi tantrum dan tak nak dengar cakap. Hari-hari anak bergaduh sesama mereka dan saya fikir mereka yang teruk. Padahal saya yang bawa sampah balik ke rumah.
Satu hari saya cakap pada diri sendiri, saya dah tak nak jadi lori sampah dan tak nak longgokkan sampah pada keluarga saya lagi.


Saya cakap pada kawan saya, perasaan kita ialah kepunyaan kita. Kita yang kawal sepenuhnya. Abaikan perkara negatif yang kita tak boleh kawal. Sebanyak mana pun lori datang dan nak longgokkan sampah, kita tetap saja kuat. Terus fokus pada perkara yang lebih penting iaitu menjaga hati kita dari terima sampah orang lain.


Elakkan Diri Daripada Jadi ‘Pengutip Sampah’ Setiap Hari
  1. Sentiasa Muhasabah Diri

Kredit Foto: Google


Setiap daripada kita ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Seeloknya tonjolkan kelebihan yang ada dan salurkan pada jalan yang betul. Sentiasa ingatkan diri bahawa walau bagaimana cara sekalipun, kita tidak sempurna. Namun tidak salah andai kita pelajari dan perbaiki kekurangan dan kesilapan agar tidak membinasakan diri dan orang lain. Beringatlah, semakin kita mencuba perbaiki, pasti lama-kelamaan unsur-unsur negatif akan hilang dalam diri.
  1. Berfikir Sebelum Bertindak
Biasakan diri untuk membuat pertimbangan sebaik mungkin. Fikir dan perhalusi betul-betul yang mana betul dan salah. Contohnya, sebelum kita memarahi anak fikirkan apakah terlalu besar kesalahan yang dilakukan? Apakah bentuk hukuman yang kita beri setimpal dengan perbuatannya? Ingatlah kesan dan impak yang akan berbekas dalam ingatan dan hati mereka andainya kita terus-terusan melonggokkan ‘sampah’ yang kita kutip setiap hari.

Kredit Foto: Google
  1. Solat Dan Banyakkan Berdoa
Tiada yang lebih mujarab dan mustajab melainkan kita memohon dan meminta pertolongan daripada-Nya. Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Apa jua yang memberatkan kepala kita dengan soal duniawi ini, kembalilah kepada Allah. Khusyuk dalam solat, lakukan solat-solat sunat dan berdoalah. Pohonkan doa supaya kita diberi kecekalan dan kekuatan hati menempuh pelbagai ranjau dan duri selama hidup di atas muka bumi. Merintihlah agar hidup kita terus dipandu dengan peringatan-Nya dan bukannya mengikut hawa nafsu semata-mata. Insya-Allah, pasti dipermudahkan.
  1. Kawal Emosi
Apabila ‘dilonggokkan’ dengan sampah, perlu bijak kawal emosi. Jangan sekali-kali terburu-buru dan terikut dengan apa yang dirasakan ketika itu. Kalau mahu meluahkan rasa marah, stres dan sebagainya salurkan di tempat yang betul. Tenangkan diri. Jika berdiri cuba duduk. Jika masih diselubungi rasa marah dan tekanan yang meluap-luap, minum air dan istighfar. Ambil wudhu adalah pilihan terbaik untuk meredakan emosi yang bercelaru.