Seluruh Malaysia bersorak gembira meraikan kejayaan pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang atau popular dengan panggilan The Pocket Rocketman. Menghadiahkan pingat perak sekali gus menutup kempen kontinjen Malaysia pada hari terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 pastinya memahatkan ingatan diminda semua yang menyaksikan perlumbaan peringat akhir acara Keirin pagi tadi.


Meninjau media sosial, seperti disangka dihujani dengan ucapan tahniah, kegembiraan dan kesyukuran oleh segenap lapisan masyarakat. Sungguh, bukan mudah mahu meraih pingat dalam Sukan Olimpik kerana maklum pesaing yang ada bukan calang-calang hebatnya.


Pun begitu, anak jati Dungun Terengganu ini membuktikan dialah satu-satunya jaguh dari Asia yang berjaya berdiri di atas podium.
Bangga, syukur dan gembira melihat kibaran Jalur Gemilang ketika upacara penyerahan pingat. Melihat susuk tubuhnya yang lebih kecil berbanding tubuh sasa pelumba basikal negara lain, menitipkan rasa bangga dengan kejayaan ini.

A post shared by Astro Arena 801HD (@astroarenahd)




Bukan Laluan Mudah

Ketika ditemubual wartawan Astro Arena, Bazly Azmi mengenai reaksi Datuk Azizulhasni Awang tentang perlumbaan sengit, ujarnya; “Perasaan saya bercampur-baur. Sedih juga sebab saya datang sini untuk menang gold. Dan semua tahu it a huge expectation untuk saya menang gold. Saya the only gold contender dan harapan terakhir untuk kontinjen Malaysia. Tidur pun memang tak lena, tidur-tidur ayam aje sebab memikirkan apa plan untuk hari ini. Tapi memang tak mengganggu apa-apa kayuhan,” kongsinya selepas ditemui ketika selesai acara penyerahan pingat.


Tambahnya lagi, “In quarter final, semi final memang saya execute very well. Alhamdulillah semua okey and we are ready to rumble in the final. Tapi itulah… Inilah sukan, ada ups and down. Sometime kita nak menang tapi benda kita tak boleh nak control.


Tapi saya nak seluruh rakyat Malaysia tahu, daripada awal sampailah hari ini saya memang give more than my very best. Masa saya kayuh tadi memang saya teringat muka anak-anak kat Melbourne, saya teringat wife saya. Dah lama saya tinggalkan mereka,” luahnya yang mula sebak.



A post shared by Astro Arena 801HD (@astroarenahd)




Tinggalkan Keluarga, Kampung Sejak Tingkatan 3

Melanjutkan bicaranya, ”Saya tinggalkan emak saya, ayah saya. Saya tinggalkan keluarga, kampung daripada umur 15 tahun. Sebelum saya fly Tokyo saya dapat tahu ayah saya masuk hospital,” ujarnya sambil menangis dan tidak mampu lagi membendung titisan air mata mengimbas semula ujian yang perlu dilalui. ”Adik-beradik saya cakap Azizul just focus Olimpik saja, jangan fikir ayah.


Ayah saya kena mild stroke tapi saya tak ada option. Saya fikirkan tanggungjawab saya untuk negara. It’s not an easy for me this time. Hari-hari anak saya call tanya bila saya nak balik, bila semua ni nak berakhir. Saya cakap sekejap saja lagi, nak habis dah.


Masa kayuh tadi memang saya teringat muka anak-anak saya, muka isteri saya, emak ayah saya. Saya harap diorang semua tak kecewa dengan result saya hari ni. Saya dah buat yang terbaik untuk mereka, untuk rakyat Malaysia dan of course untuk sukan negara kita” kongsinya lagi sambil menyeka air mata.


Allahu, tidak pernah tergambar begini sekali pengorbanan seorang wira untuk bawa pulang kejayaan buat tanah air tercinta. Bukan calang-calang hebat dugaan yang terpaksa ditempuhi Datuk Azizulhasni Awang. Dan setiap tangisan itu berbayar sudah dengan segala keringat, penat lelah sepanjang sesi latihan juga semuanya.


Dan sebelum mengakhiri sesi temubual, Bazly Azmi sempat berkongsi khabar gembira buat The Pocket Rocketman Man kita. Ucapnya, “Saya terpaksa kongsikan satu berita yang saya simpan dah lama. Azizul… Tya pregnant, anak ketiga Joe,” ucapnya. “Serius ke bro?” soal Datuk Azizulhasni kepada Bazly seraya disambut dengan kalimah Ya Allah dan sujud syukur.


Tidak sabar untuk pulang berjumpa keluarga, akuinya lagi “Guys, terima kasih for the support dan saya minta maaf. I think silver is the best performance for our country for this time,”.
Terima kasih dan sekalung tahniah sekali lagi buat lagenda basikal trek kita yang sekali lagi mengharumkan nama Malaysia dipentas dunia.




A post shared by Astro Arena 801HD (@astroarenahd)