Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

Masin Mulut Ibu, Berkat Restu Ayah – Apa Pun Mahu Diputuskan, Mohonlah RESTU Dan DOA Orang Tuamu.

Afiza Kamarulzaman 27/11/2020 | 08:48 MYT
Siapa pun kita hari ini, ingatlah kita tetap berada di bawah kemuliaan ibu dan ayah. Tanpa mereka kita bukanlah sesiapa. Hatta kita seorang Raja, pemimpin kerajaan, hakim, doktor, jutawan, dermawan mahupun ilmuwan, taraf ibu dan ayah tetap berada di atas kita. Biar pun mereka itu miskin atau cetek pendidikannya.
Maka, andai kini hartamu melebihi ayah dan ibu atau ilmumu lebih tinggi daripada mereka sekali pun, jangan menidakkan hak mereka ke atas kamu. Segal-gala yang kamu miliki adalah hak ibu dan ayah juga. Justeru itu, atas apa tindakan yang ingin kamu lakukan, mohonlah doa dan restu mereka.
Reda Allah Bergantung Pada Reda Orang Tua
Sabda Rasulullah SAW; “Reda ALLAH bergantung kepada reda ibu bapa, manakala kemurkaan ALLAH bergantung kepada kemurkaan ibu bapa.” (Riwayat at-Tirmidzi). Baginda juga ada menyebut; “Dan taatilah kedua ibu bapamu, meskipun mereka memerintahkan kamu agar keluar dari duniamu, maka keluarlah demi mereka berdua.” (Riwayat Ibnu Majah).
Ternyata, Islam sendiri amat menuntut kita untuk mentaati ibu dan ayah dalam apa jua yang diperintahkan selagi tidak melanggari hukum agama. Dan, Allah SWT juga meletakkan kemuliaan kedua orang tua pada peringkat tertinggi sehingga kemarahan mereka juga akan mengundang kemarahan Allah SWT.
Kredit Foto: Google
Masin Mulut Ibu, Berkat Restu Ayah
Tanyalah kepada kebanyakan mereka yang berjaya dalam hidup, sama ada kejayaan dunia dan akhirat, rata-ratanya mengamalkan berbuat baik dengan orang tuanya. Ini juga rahsia menjadikan hati tenang dan kehidupan selamat dunia akhirat. Sebelum melakukan sesuatu perkara yang besar, pasti memohon doa ibu dan restu ayah terlebih dulu.
Ada yang tanya bagaimana jika kita pasti keputusan yang akan kita ambil itu adalah yang terbaik tetapi orang tua tetap tidak merestuinya, adakah perlu kita teruskan pilihan kita sendiri beralah dengan menurut saja kehendak ayah dan ibu?
Jawapannya terletak kepada dirimu sendiri. Fikirlah sedalamnya baik dan buruk sesuatu keputusan itu. Hati orang tua juga sekeras kerak nasi. Satu hari akan beralah juga dengan pujukan anak-anak. Tiada seorang pun ibu dan ayah yang mahukan keburukan dalam hidup anak-anaknya.
Namun, mungkin apa yang kamu lihat tidak dilihat oleh mata kasar mereka pula. Contohnya dalam memilih calon pasangan hidup. Maka, jika kamu tetap mahu menikahi calon yang bukan pilihan mereka, pastikan kamu memelihara hubungan kedua-duanya dengan baik. Di sinilah mungkin ujian bermula.
Kredit Foto: Google
Teruskan Merintih Mohon Doa dan Restu Mereka
Apa pun sikap yang akan ditunjuk oleh kedua orang tua, jangan sesekali menaruh benci dan dendam. Selalulah beralah dan sentiasa bersangka baik walau mungkin hatimu banyak terguris. Lebih banyak sabarmu, lebih pahala besar menanti. Dalam waktu yang sama, jangan berhenti berdoa agar dilembutkan hati mereka untuk menerima keputusanmu.
Ingat, jangan sakiti hati mereka. Biarlah kita yangn tersakiti. Dengan ibu dan ayah, jangan sesekali ada perasaan ego. Lawati mereka sekerap yang boleh dan setiap kali mahu berpisah, salam tangan mereka dan bisikkan ke telinga mereka, “Mak, Ayah, tolong doakan saya ya, restuilah kehidupan saya...”
Insya Allah, walaupun luaran mungkin mereka tidak menzahirkan emosi positif, jauh di lubuk hati mereka pasti ada secuit rasa sayang dan mendoakanmu dalam diam. Sekali lagi, ulang-ulang selalu meminta mereka mendoakan kamu ya.
#Ayah #Ibu #Doa #Restu
;