Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Masya Allah Cantiknya! Pelamin Ilham Jabal Rahmah – Antara ‘Masterpiece’ Reka Teemor Yang Cukup Indah Dan Mempesona.

Huda Hussain
27/03/2021 13:00 MYT
Percayalah, ‘demam’ majlis pernikahan figura kesayangan ramai Noor Neelofa Mohd Nor dan imamnya, Haris Ismail takkan kebah sehari dua ini. Rata-rata di media sosial masih bertebaran foto-foto dan video yang meraikan penyatuan paling dinanti seluruh rakyat Malaysia. Kerana akhirnya Adam bertemu Hawa nya. Bagai pinang dibelah dua, sama cantik sama padan kedua-duanya.

Kredit Foto: IG Neelofa

Terlalu banyak perkara yang menjadi perhatian dan perbualan semua sepanjang majlis pernikahan ini berlangsung. Tetapi apa yang membuat penulis terpanggil untuk menukilkan artikel ini adalah dekorasi dewan di Hotel Grand Hyatt yang berubah wajah bagaikan sebuah taman yang cukup indah. Ia adalah hasil Garapan Reka Teemor, perancang perkahwinan yang tidak asing lagi dalam arena majlis perkahwinan.

Kredit Foto: IG Reka Teemor

Reka Teemor diterajui pasangan suami isteri Faiz Sabari dan Rozana Mumtaz atau lebih dikenali sebagai Faiz dan Mumtaz yang berperanan sebagai pengasas dan pemilik perancang perkahwinan tersohor ini. Telah sekian banyak majlis perkahwinan disempurnakan ditangan mereka dan seluruh team. Baik golongan VIP mahupun selebriti, pastinya setiap konsep perkahwinan ada kelainan tersendiri. Pendek kata apa jua yang terakam diminda mampu direalisasikan dengan sentuhan magis, garapan idea dan kreativiti gabungan duo dinamik ini.

Kredit Foto: IG Reka Teemor

Menyingkap mengenai pelamin indah Neelofa dan Haris, ia adalah interpretasi dari latar gunung-ganang Jabal Rahmah yang cukup signifikan dengan peristiwa ikonik pertemuan semula Nabi Adam dan Hawa. Sekali gus bagaikan melengkapi penceritaan hubungan Neelofa dan Haris yang mula berkenalan pada 2017 dan menjalin cinta pada 2019.

A post shared by REKA TEEMOR (@rekateemor)

Kredit Foto: IG Reka Teemor

Umum mengetahui sebanyak empat tan bunga segar terdiri daripada baby’s breath, orkid putih, ros putih, dan empat jenis bunga lain digunakan untuk melengkapkan hiasan pelamin dan dekorasi dewan. Hinggakan setiap sudut bisa jadi lokasi instaworthy. Cukup indah dan mendamaikan bagaikan berada disebuah taman yang cantik juga mempesonakan. Bertemakan rona putih, ia secara tidak langsung menterjemahkan definisi kesucian dan kebersihan yang menjadi nadi permulaan dalam penyatuan pasangan ini.

Kredit Foto: IG Reka Teemor

Mengambil masa selama tiga minggu untuk disiapkan, team Reka Teemor berjaya menyembunyikan rekaan laluan masuk ke dewan daripada dihidu media. Malah selain konsep pelamin, elemen Islamik lain turut kelihatan pada majlis yang digelarkan 'Wedding of The Year' ini. Misalnya pada aksara Nun dan Ha yang menjadi simbolik kepada nama kedua mempelai juga alunan selawat dan qasidah yang menambah lagi elemen sentimental juga Islamik kontemporari. Moga dengan keberkatan doa semua akan mengiringi detik permulaan kehidupan pasangan pengantin yang baru bergelar suami isteri ini. Barakallahu Feekum Neelofa dan Haris!

Kredit Foto: IG Reka Teemor
#Neelofa #Pelamin #Reka Teemor #PU Riz
;